Sumber : Web JHEAINS

Rasulullah bersabda, maksudnya: “Ibarat seorang mukmin dengan mukmin yang lain adalah seumpama sebuah binaan yang terdiri daripada bahan binaan yang saling sokong menyokong, lengkap melengkapi antara satu sama lain hingga terciptanya sebuah binaan yang tersergam kukuh.” (HR Al-Bukhari).

Sehubungan dengan sabda Baginda SAW tersebut, maka betapa indahnya jika setiap Muslim memelihara dan mengamalkan prinsip-prinsip ukhuwah Islamiah. Ini kerana nilai serta semangat ukhuwah menjana perasaan kasih sayang, cinta dan penghormatan mendalam terhadap sesama Islam.

Bilamana nilai ukhuwah Islamiah ini diamalkan dan menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan kita, maka ia akan menjadi pemangkin kepada kekuatan, kejayaan dan kecemerlangan ummah dan negara. Ini adalah isyarat jelas betapa pentingnya kita semua menyubur dan memulihara ukhuwah atau persaudaraan di kalangan umat Islam pada setiap masa dan tempat.

Dalam hubungan ini, kita sebagai umat Islam wajib menghayati dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar dengan tunduk dan patuh mengerjakan semua suruhan Allah SWT dan menjauhi semua yang dilarang-Nya bagi mempertingkat keimanan mencapai darjat muttaqqin. Ini kerana, hanya keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT sahaja satu-satunya tenaga penggerak atau sumber kekuatan menyatupadukan ummah, bukannya harta benda dan imbuhan duniawi lainnya. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan Dialah (Allah) yang menyatupadukan di antara hati mereka (yang beriman). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (S. Al-Anfal: 63).

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT mempertautkan hati orang mukmin dalam jalinan ukhuwah berasaskan keimanan. Jalinan ukhuwah tidak akan dapat disemarakkan dan diperkukuhkan meski manusia menghamburkan harta benda dan memberikan pelbagai imbuhan duniawi lainnya.

Dalam kerangka memelihara ukhuwah atau persaudaraan, Islam melarang perbuatan menzalimi, mencela dan menganiaya sesama Muslim. Demikian juga Islam melarang penganutnya daripada mengumpat dan mengaibkan orang lain kerana ia akan mencetuskan permusuhan dan kebencian.

Sehubungan itu, bersempena dengan Syawal yang mulia ini, marilah kita pupuk dan suburkan lagi semangat ukhuwah di kalangan masyarakat melalui penganjuran majlis rumah terbuka dan ziarah menziarahi antara satu sama lain sambil bermaaf-maafan.

Memohon maaf dan memaafkan antara satu sama lain atas kesalahan dan dosa yang dilakukan dapat mengikis perasaan dendam dan sakit hati, sekali gus menjambatani usaha memperkukuhkan ukhuwah dan menjernihkan semula hubungan khususnya di kalangan masyarakat Islam.

Sama-samalah kita membudayakan amalan memberi dan menjawab salam serta maaf memaafkan bagi melahirkan perasaan kasih sayang dan hormat menghormati dalam kehidupan bermasyarakat. Sesungguhnya sifat memohon maaf dan memberi kemaafan merupakan antara ciri orang yang bertakwa yang beroleh balasan syurga.

Advertisements