Sumber : Web JHEAINS

Walaupun telah diketahui umum bahawa zakat adalah salah satu rukun Islam dan merupakan ibadah, tetapi sebenarnya lebih dari itu, zakat adalah satu sistem kehartaan dan ekonomi yang menjamin keadilan sosial dan mengharmonisasikan sebuah masyarakat.

Zakat bukan saja menghalang pembekuan harta, malah menggalakkan harta kekayaan itu beredar di kalangan anggota masyarakat dalam persekitaran ekonomi yang sihat.

Fenomena orang yang berada, menyempurnakan keperluan orang yang tidak berkemampuan, saling menghormati dan berkasih sayang dikalangan anggota masyarakat tanpa mengira perbezaan darjat dan keturunan adalah manifestasi penghayatan ibadah zakat dan cerminan pengurusan dana zakat yang cekap lagi berkesan. Dalam sebuah Hadith, Rasulullah SAW telah bersabda semasa mengutus Muaz bin Jabal:

فَأَعْلِمْھُمْ اَنَّ االلهَ تَعَالَى اْفتَرَضَ عَلَیْھِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِھِمْ تُؤْخَذُ مِنْ اَغْنِیَائِھِمْ، وَتُرَدُّ إِلَى فُقَرَائِھِمْ

Maksudnya: “…Maka beritahulah oleh kamu kepada mereka bahawa Allah s.w.t telah mewajibkan dari sebahagian harta-harta mereka untuk disedekahkan (sebagai zakat), diambil dari orang kaya untuk diberikan kepada mereka yang fakir.” (HR Bukhari dan Muslim)

Menurut para Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah, zakat terbahagi kepada dua bahagian iaitu zakat Badaniah (fitrah) dan zakat Maliah (harta). Zakat Badaniah atau Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan dengan kadar satu gantang Baghdad makanan asasi lagi mengenyangkan bagi penduduk sesebuah negeri bersamaan 2,700 gram mengikut timbangan metrik (bagi beras sebagai makanan asasi di Malaysia) ke atas orang-orang Islam laki-laki dan perempuan, hamba sahaya atau merdeka dengan syarat-syarat berikut:

1. Masih hidup di kala matahari terbenam di hari akhir bulan Ramadan atau meninggal dunia selepas terbenam matahari pada hari akhir bulan Ramadan;

2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari;

3. Mempunyai sesuatu (makanan / harta / wang) yang lebih daripada keperluannya dan orang-orang yang disarainya untuk satu hari dan satu malam (raya); dan

4. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada hari akhir bulan Ramadan dan berkekalan Islamnya. Dalam sebuah Hadith riwayat Imam Muslim:

إِنَّ رَسُوْلَ االلهِ صَلَّى االلهُ عَلَیْھِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ صَاعًا مِنْ شَعِیْرٍ عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى مِنَ الْمُسْلِمِیْنَ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas manusia dengan mengeluarkan satu gantang Baghdad kurma atau sya’er (gandum) ke atas tiap orang merdeka atau hamba, laki-laki atau perempuan yang terdiri daripada orang Islam.” (HR Muslim)

Advertisements