Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Tazkirah Ramadhan (9)

Diciptakan manusia di atas fitrah atau kesemulajadian menyembah ALLAH, tuhan yang menciptakan-NYA. Fitrah tidak dibina dengan ilmu, bahkan ia adalah binaan asal seluruh makhluk tanpa tuntutan menambah ilmu.

Justeru anda boleh melihat ada di antara muslim yang soleh adalah orang awam yang sedikit sekali ilmunya. Dengan ilmu yang sedikit mengenai Islam dan iman, dia sudah melihat wujud dan esa ALLAH dalam hidupnya, lalu dia menyembah ALLAH dengan penuh khusyu’.

Tetapi fitrah adalah kesucian yang diciptakan ALLAH di alam atas (alam malakut) yang penuh kesucian. Ia begitu sensitif dan akan terdedah kepada gangguan kekotoran jika diletakkan di tempat yang tidak suci dan bersih.

Oleh kerana manusia diciptakan dengan ketentuan san hikmat daripada-NYA untuk dihantar hidup di dunia yang penuh kekotoran dan ujian, maka fitrah yang suci itu mula dilekati dan dicomoti kekotoran duniawi sebaik bayi kecil dilahirkan ke dunia bersama fitrah kesemulajadiannya yang mengenali dan menyembah Allah.

Setiap manusia sudah dikotori dunia kecuali para nabi yang maksum yang dijaga rapi fitrah mereka dengan kehendak ALLAH yang penuh hikmah. Kekotoran akhirnya menutup fitrah dan membutakannya daripada mengenali ALLAH. Berlakulah kekufuran dalam kehidupan. Kufur bermaksud tutupan. Fitrah yang tertimbus, tertutup dan terhalang daripada mengenal al haq.

Dihidangkan ILMU dalam kehidupan manusia. Ilmu adalah kekayaan dan anugerah. Ilmu adalah cahaya, petunjuk dan penawar yang didatangkan oleh ALLAH buat menyucikan kembali fitrah manusia yang comot, kabur dan rabun dalam mengenal dan melihat ALLAH.

Lihatlah betapa orang yang dianugerahi ilmu begitu maju ke hadapan menuju ALLAH. Mereka berjaya membersihkan jiwa dan mengembalikan fitrah yang bersinar. Dengan ilmu juga, mereka mampu menghindar fitrah daripada serangan kekotoran duniawi. Anda melihat betapa orang-orang berilmu hidup zuhud di dunia dengan ibadah dan amal soleh yang terbaik yang menyinari dunia dengan cahaya kebenaran.

Justeru pilihlah kehidupan berilmu. Pilihlah kehidupan menyucikan kembali fitrah kita yang berdepan ujian yang dahsyat. Dengan ALLAH kita bergagah dan kepada-NYA kita bergantung.

Itulah semangat Ramadhan yang hujungnya adalah perayaan Eidul Fitr. Merayakan kejayaan kembali kepada fitrah yang bersinar buat diri menyembah ALLAH tuhan yang maha agung.

Advertisements