Sumber : Web JHEAINS

Mengikut Akta Orang Orang Papa 1977, mengemis ditakrifkan sebagai apa-apa kelakuan yang dikira akan mendorong pemberian sedekah, berpura-pura menyanyi, bermain, berlakon, menawarkan sesuatu untuk jualan atau selainnya. Mengemis adalah merupakan satu kaedah memperolehi wang secara mudah dan tidak sah di sisi undangundang negara ini.

Perbuatan mengemis atau meminta-minta juga adalah dilarang oleh Islam. Ini kerana sikap sedemikian akan menyebabkan seseorang manusia malas untuk berdikari bagi mencari nafkah yang halal. Manakala bagi pengemis dalam kalangan penagih dan kaki botol maka sudah pasti wang hasil sumbangan orang ramai akan digunakan bagi membeli dadah, arak atau bahan-bahan terlarang lain yang bagi memenuhi keperluan ketagihan mereka.

Rasulullah SAW telah menegaskan bahawa orang yang meminta-minta tanpa mahu berusaha adalah antara golongan yang dicela. Hadith riwayat Abdullah bin Umar RA berkata: Nabi SAW bersabda:

مَا یَزَالُ الرَّجُلُ یَسْأَلُ النَّاسَ حَتَّى یَأْتِيَ یَوْمَ الْقِیَامَةِ لَیْسَ فِي وَجْھِھِ مُزْعَةُ لَحٍ

Bermaksud: “Terus-menerus seseorang itu suka meminta-minta kepada orang lain hingga pada hari kiamat dia datang dalam keadaan di wajahnya tidak ada sepotong daging pun.” (Riwayat . Al-Bukhari no. 1474 dan Muslim no. 1725)

Meminta-minta sumbangan atau mengemis pada dasarnya tidak disyari’atkan dalam agama Islam. Bahkan jika melakukannya dengan cara menipu atau berdusta kepada orang ramai atau pihak tertentu yang diminta sumbangan dengan cara menampakkan dirinya seakan-akan dia adalah orang yang sedang kesulitan ekonomi, atau sangat mengharapkan pembiayaan atau perawatan keluarganya yang sakit, atau untuk membiayai kegiatan tertentu, maka hukumnya haram dan berdosa apatah lagi apabila ada golongan yang mengambil kesempatan memperalatkan atas nama rumah anak-anak yatim dan bersandarkan atas nama agama Islam untuk memohon derma atau sumbangan dari orang ramai.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA ia berkata: Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَأَلَ النَّاسَ أَمْوَالَھُمْ تَكَثُّرًا فَإِنَّمَا یَسْأَلُ جَمْرًا فَلْیَسْتَقِلَّ أَوْ لِیَسْتَكْثِرْ

Bermaksud: “Barang siapa meminta-minta kepada manusia harta mereka untuk memperbanyak hartanya, maka sesungguhnya dia hanyalah sedang meminta bara api. Maka hendaknya dia mempersedikit atau memperbanyak.”

Diriwayatkan dari Hubsyi bin Junaadah RA , ia berkata: Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَأَلَ مِنْ غَیْرِ فَقْرٍ فَكَأَنَّمَا یَأْكُلُ الْجَمْرَ

Bermaksud: “Barang siapa meminta-minta kepada orang lain tanpa adanya keperluan mendesak, maka seolah-olah ia memakan bara api.”

Disebutkan dalam sebuah Hadith bahawa di sana terdapat beberapa keadaan yang membolehkan seseorang untuk mengemis atau meminta-minta sumbangan. Di antara keadaan-keadaan tersebut ialah:

(1) Ketika seseorang menanggung beban diyat (denda) atau pelunasan hutang orang lain, ia boleh meminta-minta sampai ia melunasinya, kemudian berhenti.

(2) Ketika seseorang ditimpa musibah yang menghabiskan seluruh hartanya, ia boleh meminta-minta sampai ia mendapatkan sandaran hidup.

(3) Ketika seseorang tertimpa kefakiran yang sangat sehingga disaksikan oleh 3 orang berakal cerdas dari kaumnya bahwa dia tertimpa kefakiran, maka halal baginya meminta-minta sampai dia mendapatkan penegak bagi kehidupannya.

Dalam tiga keadaan ini seseorang diperbolehkan untuk meminta-minta sumbangan atau mengemis. Hal ini berdasarkan apa yang diriwayatkan dari Sahabat Qabishah bin Mukhariq Al-Hilali radhiyallahu ‘anhu, ia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud:

“Wahai Qabishah! Sesungguhnya meminta-minta itu tidak halal, kecuali bagi salah satu dari tiga orang: Seseorang yang menanggung beban (hutang orang lain, diyat/denda), ia boleh meminta-minta sampai ia melunasinya, kemudian berhenti. Dan seseorang yang ditimpa musibah yang menghabiskan hartanya, ia boleh memintaminta sampai ia mendapatkan sandaran hidup. Dan seseorang yang ditimpa kesengsaraan hidup sehingga ada tiga orang yang berakal dari kaumnya mengatakan, ‘Si fulan telah ditimpa kesengsaraan hidup,’ ia boleh meminta-minta sampai mendapatkan sandaran hidup. Meminta-minta selain untuk ketiga hal itu, wahai Qabishah! Adalah haram, dan orang yang memakannya adalah memakan yang haram”. (HR. Abu Daud; No. 1398; At-Tirmizi; No. 590; Ibnu Majah; No. 2198].

Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat, sepanjang tahun 2013 sebanyak 127 Operasi Bersepadu dan 860 Operasi Berjadual telah dijalankan dan menyelamatkan seramai 1,048 orang papa (pengemis) yang terdiri dari 854 orang rakyat tempatan dan 194 orang warga asing.

Manakala sepanjang tahun 2014 seramai 1469 orang pengemis diselamatkan yang terdiri dari 1088 pengemis tempatan dan 381 pengemis warga asing melalui 122 Operasi Bersepadu dan 906 Operasi Berjadual. Angka ini terus memperlihatkan peningkatan kerana sepanjang tahun 2015 sebanyak 1527 orang pengemis yang meliputi 1115 orang rakyat tempatan dan 412 orang warga asing terlibat dalam aktiviti pengemisan dan diselamatkan diseluruh negara.

Mereka yang diselamatkan ini, ditempatkan untuk pemulihan dan perlindungan di Desa Bina Diri kendalian JKM untuk sesuatu tempoh tidak lebih dari tiga tahun dan akan kembali semula kepada masyarakat selepas tamat Perintah Mahkamah. Angka ini pasti dapat dikurangkan sekiranya kita menjadi rakyat yang prihatin terhadap gejala sosial ini. Elakkan dari memberi sumbangan kita kepada pengemis-pengemis jalanan apatah lagi kepada mereka yang terlibat dalam sindiket mengemis yang bertopengkan nama agama Islam.

Selain daripada kita menunaikan zakat fitrah yang di fardhukan, salurkan derma dan sumbangan melalui saluran yang tepat agar sedekah jariah kita dapat memberi manafaat terutama bagi rumah anak-anak yatim, ibu tunggal, warga emas yang fakir, jiran tetangga yang miskin, masjid dan surau serta kepada NGO Islam.

Advertisements