Archive for 22 Jun 2016


TAZKIRAH RAMADHAN (8)

Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Tazkirah Ramadhan (8)

Hadiah Ramadhan untuk kita adalah hari raya Idil Fitr. Idil Fitr bererti kembali kepada asal fitrah. Kita bergembira pada pagi raya kerana dengan fitrah bersinar yang disucikan kembali oleh Ramadhan, kita merasai dekatnya hubungan dan taqarrub kita kepada ALLAH di bulan yang mulia ini.

Justeru Ramadhan adalah usaha bersungguh-sungguh menggilap fitrah. Fitrah yang sejahtera adalah mencukupi buat menyembah ALLAH. Maka bukanlah janggal untuk kita melihat orang awam biasa lebih khusyu’ dan ikhlas ibadahnya kepada ALLAH berbanding sesetengah orang yang tinggi ilmunya tetapi sombong terhadap ALLAH dan manusia.

Di bulan Ramadhan ini, mari-lah menyembah ALLAH dengan fitrah, seolah-olah tiada lagi kesibukan di dunia ini selain kesibukan menyembah ALLAH.

(Tazkirah Ramadhan 9 adalah keterangan insya ALLAH)

Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Tazkirah Ramadhan (7)

#Akta355

Apabila satu hasil kajian mudah oleh seorang tokoh anak muda negara yang melibatkan undian lebih 20 ribu pengguna twitter menunjukkan lebih 80% rakyat Malaysia menyokong pelaksanaan hukum hudud (apatah lagi jika sekadar meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah melalui pindaan akta 355) untuk orang Islam, maka kita boleh meneguhkan beberapa hakikat berikut:

1) Arus kesedaran Islam di kalangan rakyat adalah semakin bertambah baik dan kuat berbanding dulu.

2) Arus inilah yang menjadi punca kerajaan BN akhirnya bersetuju meminda akta 355 yang bertujuan meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah.

Adalah nyata liatnya pihak kerajaan sebelum ini untuk menyokong pindaan ini. Tekanan tinggi oleh rakyat di samping faktor-faktor politik dan selainnya akhirnya memaksa kerajaan untuk bersetuju meminda akta ini melalui rang undang-undang persendirian presiden PAS.

3) Arus kesedaran Islam adalah paling ketara di kalangan penjawat awam dan para ilmuan muslim. Merekalah sebenarnya yang berjaya meyakinkan orang-orang politik tentang tuntutan dan keperluan sistem Islam diperkasakan di dalam pentadbiran kerajaan dan masyarakat.

4) Fenomena ini menguatkan hakikat bahawa perubahan atau islah sesebuah kerajaan, sebagaimana ia bermula dari atas oleh pemerintah sendiri, ia juga boleh bermula dari bawah oleh rakyat yang menjadi faktor pendesak yang kuat.

5) Kebanyakan tuntutan perjuangan PAS yang diterima dan dilaksanakan oleh kerajaan selama ini banyak dibantu dan disokong oleh arus rakyat daripada pelbagai peringkat. Ini menunjukkan PAS lebih berperanan dan lebih cepat membina pemikiran rakyat berbanding membina pemerintah.

6) Suatu hari tuntutan ke arah sebuah kerajaan yang adil, bersih, cekap dan berintegriti akan pasti tercapai. Sukar untuk melihat cepatnya kerajaan berubah. Tetapi kerajaan pasti berubah dengan berubahnya minda dan pemikiran rakyat yang sedang bergerak begitu positif.

7) Gerakan Islam (PAS) usah gusar dengan tuduhan musuh bahawa mereka hanya tahu berbicara mengenai hukum dan syariah Islam tetapi membelakangkan bicara mengenai penyelewengan dan salah laku pihak kerajaan (BN) dalam pelbagai skandal ekonomi dan kewangan. Hakikatnya PAS-lah pemilik penentangan terhadap kerajaan yang korup sejak dulu lagi. Ia sejarah yang ditulis tinta emas. Ia tidak akan berubah dengan izin Allah.

8) Hanya sanya yang menakutkan musuh adalah kecenderungan rakyat untuk kembali kepada Islam yang syumul dalam pemerintahan negara.

9) Matlamat mereka adalah menukar kerajaan BN. Matlamat PAS ialah menukar atau membina sebuah kerajaan dengan nilai-nilai Islam yang sejagat dan syumul.

10) Menjadi kewajiban setiap individu muslim untuk terus memugar kesedaran dan kebangkitan Islam dalam negara. Ia perjuangan yang diwarisi daripada nenek moyang terdahulu. Jangan terleka daripada sejarah gemilang Islam di tanah air tercinta dengan tipudaya dan makar pihak yang memusuhi Islam.

#TazkiahNafs
#SalamRamadhan

%d bloggers like this: