Sumber : Web JHEAINS

Jika usia kita hari ini 30, 40 atau 50 tahun, bermakna kita sudah berpuasa antara 15, 25 atau 35 kali. Apakah kesan terbesar ibadah puasa Ramadan ini kepada diri, sikap, sahsiah, akhlak, iman dan taqwa kita.

Sesungguhnya ibadah puasa itu amat berkesan dalam membentuk peribadi, sahsiah, akhlak, kesihatan dan kehidupan umat Islam, sebab ibadah puasa itu mempunyai fadilatnya khusus kepada orang yang berpuasa dengan iman dan ikhlas semata-mata kerana Allah Ta’ala. Marilah kita renung, hayati dan amalkan segala amal soleh dan amal ibadah bagi memperolehi fadilat dan kebaikan ibadah puasa kepada orang yang berpuasa, antaranya, ialah:

1. Puasa menghapus dosa, hal ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampun dosa-dosanya yang telah lalu dan sesiapa yang bersolat pada malam LailatulQadar dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampunkan dosadosanya yang telah lalu”. (HR Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, At-Tirmizi dan An-Nasa’ie)

2. Orang berpuasa pasti akan dikurniakan kesihatan, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “…berpuasalah nescaya kamu menjadi sihat dan menggembaralah nescaya kamu menjadi kaya…”. (HR At-Thabrani)

3. Solat malam dibalas syurga. Sabda Rasulullah SAW lagi, yang bermaksud: “Wahai manusia, sebarluaskanlah ucapan salam dan berilah makan serta solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamat”. (HR Imam AtTirmizi)

4. Qiamul-lail atau berjaga malam untuk beribadah seperti Solat Sunat Tarawih, tadarus Al-Quran, Solat Tahajud, berzikir, istighfar, bertasbih, tahmid dan lain-lain mencegah perbuatan keji, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hendaklah kamu sentiasa menghidupkan malam, sesungguhnya amalan ini adalah amalan orang solihin sebelum kami, ia adalah mendekatkan diri kepada Tuhan kamu, menghapuskan dosa dan menegah daripada melakukan amalan keji”. (HR Imam At-Tirmizi)

5. Syafaat puasa dan banyak membaca Al-Quran, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Puasa dan Al-Quran memohon syafaat kepada Allah pada hari Kiamat bagi orang yang berbakti (yang selalu berpuasa dan banyak pula membaca Al-Quran)…”. (HR Imam Ahmad dan lain-nya)

6. Memperolehi limpahan rahmat bagi orang yang bertadarus membaca Al-Quran sepanjang bulan Ramadan, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “…dan tidak berhimpun suatu kaum dalam sebuah rumah (masjid atau surau) dari rumah-rumah Allah, sedang mereka membaca Kitabullah (Al-Quran) serta mereka mempelajari kandungan isinya, melainkan turun kepada mereka semangat tenang tenteram dan mereka diliputi oleh limpahan rahmat, mereka pula dilingkungi oleh Malaikat serta mereka juga dipuji oleh Allah Ta’ala dalam kalangan (Malaikat) yang ada di sisi-Nya”. (HR Muslim)

7. Terselamat dari bakaran api neraka. Dari Abu Said Al-Khudri RA berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seorang hamba berpuasa satu hari di jalan Allah, melainkan dengan puasa satu hari itu, Allah menjauhkan wajahnya dari api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun”. (HR Muttafuqun A’laihi)

Ketahuilah, bahawa Allah SWT mengurniakan hamba-hamba-Nya yang beriman dengan bulan Ramadan penuh rahmat dan barakah ini, ia hanya sebulan dalam setahun.

Oleh itu, sebagai umat Islam yang beriman marilah kita rebut dan cari segala peluang dan tawaran yang terbaik ini dengan mengisi sebulan Ramadan ini sebanyak-banyak amal ibadah, amal soleh dan kebajikan seperti qiamullail, tadarus Al-Quran, sedekah, hadir majlis ilmu dan lain-lain. Namun, sia-sialah dan rugilah orang yang berpuasa tetapi sekadar lapar dahaga sahaja, berqiamul-lail sekadar berjaga malam sahaja, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Boleh jadi seorang yang berpuasa untung daripada puasanya sekadar lapar dan dahaga dan boleh jadi seorang yang solat malam (berqiamul-lail) untungnya sekadar berjaga malam”. (HR Imam Ahmad dan Al-Hakim)

Advertisements