Sumber : Web JHEAINS

Hakikatnya, ibadah puasa mendisiplinkan kita kembali supaya ingat akan Allah SWT, sentiasa patuh kepada-Nya dan membina kekuatan iman bagi mencapai darjat muttakin. Ini bererti menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk memastikan iman dan takwa sentiasa terpahat kukuh dalam diri dengan melaksanakan amal ibadah dengan bersungguh-sungguh.

Iman merupakan roh bagi Islam dan amal ibadat itu merupakan jasad baginya. Dengan pelaksanaan ibadat, akan terbina keutuhan diri dalaman sekali gus melahirkan peribadi terpuji. Justeru, bulan Ramadan yang mulia dan penuh rahmat ini harus dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti ibadat.

Ini kerana, menurut Salman al-Farisi, Rasulullah saw sewaktu berkhutbah pada hari terakhir Syaaban sempena ketibaan Ramadan ada menegaskan bahawa sesiapa yang mengerjakan amalan sunat pada bulan Ramadan, maka ganjarannya seperti orang melakukan amalan wajib pada bulan lain. Dan sesiapa yang melakukan satu amalan wajib pada bulan ini, maka balasannya seperti orang yang melakukan 70 amalan wajib pada bulan lain.

Oleh hal yang demikian, bulan Ramadan bukan sahaja datang bersamanya pemfarduan ibadah puasa, malahan merupakan ruang dan peluang yang dikurniakan Allah kepada hamba-hamba-Nya untuk melipatgandakan amal ibadat. Hikmahnya adalah untuk membolehkan kita sebagai hamba-Nya mencari dan mengumpul sebanyak mungkin pahala buat bekalan dan kesenangan di akhirat kelak. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang ;yang memaafkan kesalahan orang.

Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah. Dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).” (S. Ali-Imraan: 133- 135).

Sejajar dengan anjuran Allah SWT tersebut, hiasilah bulan Ramadan ini dengan amal-amal wajib dan sunat. Selain berpuasa pada siang harinya, sama-samalah kita imarahkan malam-malam Ramadan ini dengan solat tarawih, tadarus al-Quran, solat tahajud, berzikir dan beristighfar. Bagi yang berkemampuan, ringankanlah tangan untuk menghulurkan sedekah kepada golongan fakir dan miskin dan anak-anak yatim. Bagi yang menyimpan perasaan marah dan dendam kepada seseorang, tenangkanlah ia dengan kemaafan dan tolak ansur yang tulus.

Bagi sesiapa yang merasakan dirinya berbuat salah terhadap seseorang, cepat-cepatlah memohon kemaafan daripadanya. Dan bagi kita semua yang tidak pernah sunyi daripada melakukan kesalahan dan dosa, sebaiknyalah kita segera bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT. Sesungguhnya, keikhlasan bersedekah, memadam api kemarahan, suka memaafkan kesalahan orang dan segera bertaubat adalah antara ciri-ciri orang yang bertaqwa.

Belum pasti kita akan berkesempatan lagi bersua dengan bulan Ramadan di tahun-tahun akan datang. Begitu juga, belum pasti sama ada kita akan terus berada dalam keadaan sihat wal afiat untuk mengimarah Ramadan ini dan bulan Ramadan akan datang. Semuanya terletak dalam kekuasaan Allah SWT.

Yang terdaya oleh kita hanyalah berdoa kepada Allah SWT memohon supaya dilanjutkan usia serta dikurniakan kesihatan yang baik agar berpeluang bertemu lagi dengan Ramadan mendatang, sekali gus dapat mengerjakan ibadah puasa yang besar fadilatnya.

Tetapi andai terasa Ramadan ini merupakan yang terakhir kalinya, maka pergunakanlah baki hayat yang masih tersisa, tubuh badan yang sihat dan harta yang ada untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti ibadat serta memperbanyakkan amal kebajikan untuk mencapai darjat muttakin. Sesungguhnya setiap amalan yang baik akan beroleh ganjaran yang setimpal dari Allah SWT:

Maksudnya: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (S. Al-Zalzalah: 7-8).

Advertisements