Sumber : Web JHEAINS

Lebih kurang setahun yang lalu, iaitu tepatnya pada 5 Jun 2015, gunung Kinabalu dan kawasan sekitarnya telah digegarkan oleh gempa bumi berkekuatan 5.9 pada skala Richter pada kira-kira jam 7.13 pagi.

Peristiwa yang tidak pernah diduga itu bukan sahaja telah menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda serta infrastruktur, malahan hingga ke hari ini masih ada mangsa yang trauma mengenangkannya. Bak kata pepatah: betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Dari cakap-cakap orang kebanyakan, kononnya petaka gempa itu berlaku disebabkan oleh perbuatan salah laku beberapa pelancong asing yang berbogel di puncak gunung yang tertinggi di Asia Tenggara itu. Walaupun dakwaan itu tidak dapat dibuktikan secara saintifik, namun hakikatnya setiap musibah dan bencana yang terjadi berpunca daripada sebab akibat perbuatan dan onar manusia sendiri. Kenyataan ini bertepatan dengan peringatan yang diberikan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

Yang bermaksud: “Dan apa jua yang menimpa kamu dari suatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” (S. Asy-Syuraa: 32).

Mafhum ayat ini menjelaskan bahawa bencana serta musibah yang menimpa manusia di muka bumi ini adalah angkara manusia sendiri. Ia merujuk kepada sikap sebahagian besar manusia yang enggan melaksanakan suruhan Allah SWT tetapi seronok pula melakukan maksiat dan kemungkaran yang dilarang-Nya.

Lantaran kedegilan dan kesombongan manusia itu, Allah SWT menurunkan bala sebagai amaran serta pengajaran agar manusia kembali bertaubat dan mengamalkan ajaran agama kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani hamba-hamba-Nya yang mahu beringat dan kembali beriman kepada-Nya.

Walau apapun sebab-musabab di sebalik bencana gempa bumi yang melanda negeri Sabah tahun lalu tersebut, yang pasti, tiada siapapun di antara rakyat negeri ini yang mahu mengalami sekali lagi peristiwa yang mengerikan itu.

Maka, marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripada musibah itu dengan menyakini bahawa di sebalik setiap takdir Allah SWT pasti ada hikmahnya yang tersirat. Sebagai Muslim, kita wajib meyakini bahawa Allah SWT adalah Zat yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Mustahil bagi Allah untuk berlaku zalim terhadap manusia dan makhluk lain yang menghuni alam ini.

Cuma, kita harus menerima hakikat bahawa dalam hidup ini kita tidak akan terlepas daripada diuji oleh Allah SWT. Ujian itu pula berbagai bentuk, seperti bencana alam, kesihatan, kesakitan, kematian, kekayaan, kemiskinan dan sebagainya. Pendek kata, sama ada kebahagiaan, kesenangan mahupun kesusahan yang kita alami berupa ujian. Ia antara lain bertujuan menguji sejauh mana tahap kesabaran, keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT selaras firman-Nya:

Yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar; (Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka mengucapkan Inna Lillahi wa ilahi raji’un (iaitu sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali). Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan berbagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk hidayah.” (S. Al-Baqarah: 155-157).

Melalui ayat ini, Allah SWT menganjurkan kita supaya tidak berasa lemah semangat, berduka cita, berputus asa, bersedih secara berlebihan, apatah lagi menyalahkan takdir tatkala menghadapi musibah dan bencana yang berlaku.

Sebaliknya, setiap musibah dan bencana yang melanda hendaklah dihadapi dengan sabar dan bertawakal kepada Allah SWT. Ini kerana, musibah mahupun bencana yang menimpa itu selain merupakan satu pengajaran, ia juga menguji sejauh mana tahap keimanan dan kesabaran kita.

Justeru, kesabaran dalam menghadapi segala bentuk musibah hendaklah kita zahirkan dengan mengucapkan lafaz al-istirja’, iaitu “Inna Lillahi wa ilahi raji’un: yang bererti: sesungguhnya kami ini milik Allah SWT dan kepada-Nya kami kembali. Lafaz al-istirja’ ini melambangkan kemurnian tauhid, yakni menyedari serta memahami bahawa semua perkara di dunia ini adalah milik mutlak Allah SWT. Hakikatnya, apa yang kita miliki pada hari ini bukanlah milik kita tetapi kita semua harus sentiasa bersangka baik terhadap apa yang Allah SWT takdirkan untuk kita.

Advertisements