Archive for 28 Mei 2016


Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/41287-difitnah-kerana-ajak-manusia-kepada-islam

USTAZ ROSLI ABD JABAR | 24 Mei 2016.

SETENANG AIR – SIRI 6

HEBATNYA jiwa pejuang Islam begitulah ungkapan hati saya bila melihat ketegasan As-Syahid Sheikh Mariur Rahman Nizami pemimpin Jamiat Islami yang dihukum mati oleh kerajaan Bangladesh, diusia beliau 73 tahun, Allah anugerahkan kepadanya Syahid setelah sekian lama dia bersabar dan Istiqamah diatas perjuangan Islam.

Insan yang tua ini telahpun mengidap berbagai penyakit, tubuhnya juga begitu lemah, sama seperti As Syahid Sheikh Ahmad Yasin pemimpin HAMAS yang dibunuh dengan menggunakan helikopter Apache sehingga tubuh tua dan tidak bermaya itu hancur berkecai. Apakah yang mampu dilakukan oleh insan-insan tua tersebut, namun mereka sangat digeruni sehingga jalan untuk menghilangkan ketakutan mereka hanya dengan cara membunuhnya.

Pada usia awal remaja saya, negara kita dikejutkan dengan peristiwa Memali, As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya dibunuh, orang kampung yang tidak ada apa-apa ini diserang dengan menggunakan senjata api dan turut dilengkapi dengan kereta perisai. Mereka ditembak tanpa kasihan belas, sepertinya mereka adalah golongan komunis ataupun pengganas.

Pada masa itu berdetik dalam hati, salah apakah mereka? Begitu juga apabila sembang politik dengan orang kampung saya pada zaman usia remaja saya, pelbagai tuduhan dan nista dilemparkan kepada orang PAS, walhal orang PAS yang saya kenali dikampung saya adalah mereka yang jernih mukanya, sentiasa solat berjamaah, rajin menuntut ilmu dan baik akhlaknya.

Masa berlalu mencambahkan kecerdikan dan kematangan berfikir, mencari dan terus mencari punca, bongkar segala bentuk cerita dari orang-orang yang lebih tahu dan intima saya di dalam PAS memahamkan saya betapa perjuangan Islam itu sentiasa berhadapan dengan musuh yang cuba memadamkan cahayanya, bukan setakat dengan mulut-mulut mereka malahan dengan apa jua kekuatan yang mereka ada.

Namun PAS adalah sebuah parti tarbiyyah, ahlinya sangat memahami tentang ini, ahli PAS sangat memahami bahawa PAS dibenci bukan kerana batang tubuh seorang manusia, tetapi kerana Islam yang menjadi dasar kepada perjuangan PAS. Tubuh As-Syahid Matiur Rahman Nizami dan As-Syahid Ahmad Yasin terlalu tua, namun beliau sangat digeruni bukan kerana batang tubuhnya tetapi kerana Islam yang menjadi perjuangannya.

Begitulah juga PAS, walaupun PAS bukannya parti memerintah, bukan juga parti yang berduit, bukan juga sebuah armada tentera yang memiliki kelengkapan senjata, namun musuh siang malam memfitnah untuk jauhkan manusia dari PAS, tidak lain dan tidak bukan kerana PAS adalah sebuah parti yang mengajak manusia kepada Islam bukan sahaja kepada amalan Fardiyyah malahan PAS turut berada di medan politik untuk menyertai pilihan raya.

Politik adalah medan dakwah berskala tinggi, ia sebuah medan pertempuran untuk merebut kuasa pemerintahan. Semakin besar ruangnya, semakin besar semakin besar pula mehnahnya. Pengamal politik adalah manusia tegar dengan pertembungan sama ada pemerintah atau pembangkang, siapapun akan tersingkir jika tidak memiliki ketegaran untuk berjuang dan pertahankan dasar atau ideologi perjuangannya, keyakinan terhadap apa yang diperjuangkan menjadi menjadi teras yang paling kukuh untuk berterusan sehingga mati atas dasar perjuangannya. – HARAKAHDAILY 24/5/2016

Sumber : Web JHEAINS

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi Muhammad SAW bersabda, yang bermaksud: “Jauhilah oleh kamu semua tujuh kebinasaan.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah apakah tujuh kebinasaan tersebut?” Jawab Rasulullah, tujuh kebinasaan itu ialah syirik kepada Allah, sihir, membunuh diri yang diharamkan Allah melainkan dengan hak, makan riba, makan harta anak yatim, berpaling atau lari dari medan peperangan dan menuduh wanita-wanita Mukmin yang baik.” (HR As-Syaikhan).

Melalui Hadithnya ini, Rasulullah SAW mengingatkan kita semua supaya menjauhi tujuh perkara yang disenaraikannya kerana ia membawa kebinasaan. Perkara-perkara itu disifatkan Baginda sebagai berbahaya dan membawa kebinasaan kerana ia menggugat keimanan dan akidah seperti perbuatan syirik dan sihir. Manakala perbuatan makan riba, makan harta anak yatim dan sebagainya itu berpotensi mengancam keharmonian dan kesejahteraan hidup bermasyarakat.

Justeru, menjadi kewajipan bagi setiap Muslim menjauhi perkara-perkara keji tersebut di samping bertanggungjawab mencegah saudara seagama daripada terbabit melakukannya sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Dalam erti kata lain, setiap Muslim bukan sahaja wajib menjauhi daripada segala perbuatan dilarang Allah SWT dan Rasul-Nya, malah wajib mencegah apa jua bentuk perbuatan mungkar dan maksiat yang berlaku dalam lingkungan keluarga dan masyarakat. Tanggungjawab yang berat tetapi mulia ini terakam pada firman Allah SWT:

Yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang Berjaya.” (S. Ali Imran: 104).

Di dalam ayat yang telah dibacakan itu, Allah SWT menganjurkan supaya ada di kalangan umat Islam pihak yang berperanan serta bertanggungjawab melakukan Amar Makruf, yakni menyuruh dan mengajak melakukan kebaikan di samping melakukan Nahi Mungkar, iatu mencegah perbuatan salah atau jahat.

Dan sayugia ditegaskan di sini bahawa sesungguhnya Amar Makruf mempunyai pengertian dan skop yang luas merangkumi seluruh ruang lingkup kehidupan manusia. Terangkum di dalamnya menyeru umat Islam agar kembali kepada Islam secara keseluruhannya sejajar dengan perintah Allah SWT:

Yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hakamnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (S. Al-Baqarah: 208).

Sehubungan itu, menyeru serta memandu manusia melaksanakan ibadah solat, puasa, zakat, haji, berakhlak mulia dan menuntut ilmu termasuk dalam skop pengertian Amar Makruf. Demikian juga halnya dengan menyeru manusia ke arah perpaduan dan kesatuan ummah, menegakkan keadilan sosial, membasmi kemiskinan dan berjuang menegakkan Islam juga dikira Amar Makruf.

Ini bermakna, apa jua usaha dan perjuangan yang menjurus ke arah kebaikan dan kesejahteraan ummah menurut landasan Islam tergolong sebagai perbuatan Amar Makruf. Sementara itu, apa saja perbuatan ditegah Islam adalah wajib dihalang dan dicegah agar tidak merebak dalam masyarakat. Ia memerlukan tindakan Nahi Mungkar yang mencakupi pengertian mencegah segala bentuk maksiat dan dosa yang berlaku menurut kemampuan dan bidang kuasa yang ada. Ini bertepatan dengan anjuran Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud:

“Sesiapa daripada kamu yang ternampak kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya atau mencegahnya dengan tangannya (kuasanya). Sekiranya dia tidak mampu dengan tangannya, maka hendaklah dia mengubahnya (mencegahnya) juga dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu juga, maka dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.” (HR Muslim)

%d bloggers like this: