Sumber : Web JHEAINS

Taqwa yang terhimpun di dalamnya beberapa ciri mulia dan istimewa sebagaimana yang diungkapkan oleh Saidina Ali RA yang bermaksud:

“Kandungan taqwa itu ada empat perkara, iaitu takut kepada Allah yang Maha Esa, bersyukur kepada nikmat pemberian-Nya biarpun sedikit, beramal dengan al-Quran, sentiasa bersiap sedia untuk bertemu Allah SWT”.

Dengan berpandukan kepada justifikasi taqwa yang diberikan oleh Saidina Ali tersebut, dapat disimpulkan bahawa asas sifat taqwa itu mempunyai sekurang-kurangnya empat ciri utama.

Pertama, takut kepada Allah SWT. Ia membawa erti menyedari serta menginsafi dengan hati yang tulus bahawa sesungguhnya Allah Maha Besar lagi Maha Berkuasa atas sekalian makhluk ciptaan-Nya. Lantaran kesedaran itu, lahir kesungguhan untuk menurut perintah Allah SWT, tidak melakukan dan tidak menghampiri perkara atau perbuatan yang ditegah-Nya sebagai upaya menghindari azab neraka yang maha pedih. Ini bertepatan dengan anjuran Allah SWT:

Yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepada-Nya (dengan mematuhi perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.” (S. Al-Maa’idah: 35).

Kedua, bersyukur kepada Allah SWT. Bersyukur dalam erti kata sentiasa mengingati Allah Yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani. Ia melahirkan perasaan reda serta qanaah terhadap kurniaan Allah SWT kerana pasrah bahawa di sebalik setiap kurniaannya sama ada berupa kesenangan mahupun kesusahan mengandung hikmah yang tertentu. 3 Ini selaras dengan anjuran Allah SWT dalam firman-Nya:

Yang bermaksud: “Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan ; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku).” (S. Al-Baqarah: 152).

Ciri ketiga yang patut ada pada orang yang bertaqwa itu ialah beramal dengan al-Quran. Ini sejajar dengan penurunan al-Quran itu untuk dibaca, difahami segala makna dan tuntutan ayat-ayatnya, seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai sekelian manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (al-Quran sebagai) Nur (cahaya) Yang menerangi (segala apa jua Yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan Yang kekal di akhirat kelak).” (S. An-Nisaa’: 174).

Memandangkan al-Quran itu banyak kelebihan serta besar fadilatnya bagi manusia, maka Rasulullah SAW menganjurkan kita semua supaya belajar, mengajar dan mengamalkan Kitab Suci yang maha agung itu. Sabda Baginda SAW, maksudnya:

“Muslim yang terbaik antara kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran kemudian mereka mengajarkannya pula kepada orang lain.”

Sementara itu, ciri keempat orang yang bertaqwa ialah bersiap sedia menghadapi ajal untuk bertemu dengan Allah SWT. Siap sedia dalam erti kata menghiasi hidup di dunia ini dengan amal-amal soleh yang dapat mendekatkan lagi diri dengan Allah SWT di samping mengeratkan hubungan sesama manusia. Ia dapat diterjemahkan melalui perlaksanaan solat, zakat, puasa, haji, infaq dan lain-lain lagi.

Kesimpulannya, taqwa merupakan peningkatan kualiti iman. Tidak akan ada taqwa tanpa landasan iman yang benar, bersih dari kemusyrikan, khurafat dan tahayul. Dalam erti kata yang lain, membentuk sifat taqwa menuntut kita supaya meninggalkan segala perbuatan dosa dan maksiat serta sentiasa taat kepada semua perintah Allah SWT. Dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah SWT beserta orang yang bertaqwa, dan orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

Kerana itu, selagi hidup di dunia ini, kita hendaklah berusaha sedaya upaya meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT di samping memperbanyakkan amal soleh. Ini penting kerana kebahagiaan dan kejayaan sebenar seseorang itu ialah apabila dia diputuskan di mahsyar nanti sebagai ahli syurga yang merupakan tempat hamba-hamba Allah yang bertaqwa dan beramal soleh.

Advertisements