Sumber : Web JHEAINS

Pada zaman yang serba mencabar ini, anak-anak lebih terdedah dengan pelbagai anasir negatif yang boleh menyebabkan mereka lalai dan leka, sebagai contoh leka dengan telefon pintar, leka dengan internet dan leka dengan pelbagai jenis bentuk hiburan.

Akhirnya peranan guru sebagai pembimbing sebenar telah dipinggirkan, mereka lebih percaya kepada maklumat yang diambil daripada internet yang belum pasti kesahihannya. Budaya ini boleh menyebabkan kekeliruan dan salah faham berlaku dalam perkara ibadah, akhlak dan lebih membimbangkan lagi jika melibatkan akidah.

Kita juga dikejutkan dengan pelbagai berita berkaitan penyertaan rakyat Malaysia dalam kumpulan militan Islamic State dan lebih mengejutkan apabila ada murid sekolah yang terlibat sama. Menurut sumber berita, strategi licik cubaan merekrut pelajar sekolah itu menggunakan medium facebook sebelum membiayai perjalanan mereka ke negara tertentu dengan memberikan tafsiran sempit terhadap erti jihad sebenar semata-mata ingin mendapat balasan syurga.

Al Quran telah mengingatkan kita tentang kepentingan masa. Maka sebagai umat Islam, masa berkualiti amat penting khususnya kepada anak-anak. Hasil kajian yang telah dibuat, masa anak-anak berada di sekolah hanya 15% manakala masa untuk tidur 33% sementara 52% pula masa anak-anak berada di rumah dan bersama komuniti masyarakat. Marilah kita bersama-sama memastikan kualiti masa anak-anak dijaga dan diuruskan dengan baik agar tidak menyesal di kemudian hari sebagaimana sabda junjungan Nabi Muhammad SAW:

“اِغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ : شَبَابَكَ قَبْلَ ھَرَمِكَ ، وَصِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ ، وَغِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ ، وَفَرَاغَكَ قَبْلَ شُغْلِكَ ، وَحَیَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ “

Yang bermaksud: “Rebutlah peluang lima keadaan sebelum datangnya lima yang lain, keadaan mudamu sebelum datangnya masa tuamu dan keadaan sihatmu sebelum datangnya faqirmu, keadaan lapangmu sebelum datangnya keadaan sibukmu dan keadaanmu masih hidup sebelum datangnya matimu”. (Riwayat Tirmizi)

Pertama – Guru merupakan insan yang perlu dihormati dan dihargai jasanya, bukan diperlekeh apatah lagi dihina

Kedua – Ibu bapa dan masyakarat juga perlu berperanan sebagai seorang guru di luar sekolah

Ketiga – Pengurusan masa yang berkualiti penting bagi melahirkan pelajar yang cemerlang akademik dan akhlaknya.

Keempat – Negara amat memerlukan modal insan yang berakhlak mulia dan mempunyai kemahiran yang tinggi; dan

Kelima – Semua pihak perlu berganding bahu dalam memartabat pendidikan demi mencapai kebahagian dunia dan akhirat.

Ingatlah, Negara cemerlang terhasil daripada umat cemerlang, umat cemerlang terhasil daripada keluarga yang cemerlang, keluarga cemerlang terhasil dari individu cemerlang manakala individu cemerlang terhasil daripada didikan insan bernama guru.

Advertisements