Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/41180-kisah-markas-tarbiyah-macam-buaian
SETENANG AIR – SIRI 4
MUNGKIN dah ratusan markas diseluruh pelosok negara saya berceramah, dari markas yang kecil hingga yang tersergam, yang mencecah puluhan ribu ringgit hingga kepada jutaan ringgit, ada bangunan markas yang disewa, beli dan dibina secara upah ataupun gotong-royong.
Begitu juga tanah yang dibina markas, ada yang dibeli dan ada juga yang diwakafkan kepada PAS. Dah tak terhitung banyaknya, rasanya dah berbilion ringgit duit dihabiskan untuk membina markas atau pusat tatbiyyah PAS di seluruh negara, malahan di cawangan pelosok kampung pun ada markas.
Pernah saya berusrah sekali disebuah markas yang sangat dhaif disebuah kampung terpencil, hanya boleh menaiki motorsikal di Kuala Lipis pada tahun 90-an. Dibuat dalam kebun getah seorang ahli, ahlinya hanya sekitar 25 orang termasuk muslimat. Semua ahli hanya kerja kampung sebahagian besarnya adalah penoreh getah. Bersyahadah saya apabila melangkah kaki menaiki tangga markas.
Mahunya tidak, bangunan markas kayu itu hanya bertiangkan kayu bulat, pokok hutan yang ditebang, dinding kayunya hanya baru sebahagian, atap zink buruk yang entah dari mana diperolehi dengan kekudanya juga dari kayu-kayu hutan. Bangunan markas itu menari-nari mengikut hayunan kaki saya walaupun saya ni bertubuh kecil, kurus kering pulak pada masa tu.
Sahabat di sana ketawa bila saya katakan ‘macam naik buaian’, ketua cawangan PAS kata ‘jangan bimbang Ustaz, kalau roboh, kita syahid bersama’, hihihi. Mereka bina secara gotong-royong, masa tu program lepas asar, tak boleh buat malam sebab tak ada elektrik. Yang duduk dalam markas sekitar 10 orang, muslimat semua duduk di bawah, bentang tikar atas tanah.
“Kami himpun getah 2 ‘pot’ seminggu setiap orang.” Masa tu harga getah sekitar 60 hingga 80 sen sekilo. “Yang takde getah bagi je apa sahaja. Yang bagi ikan sungai pun ada,” kata ketua cawangan. Markas itu dibina secara bergotong-royong dengan kos dalam 3 ribu ringgit, upah orang cari dan angkat kayu juga beli sedikit papan dinding dan atap yang tidak mencukupi dicampur dengan atap terpakai.
Panas berasap rasanya nak habiskan usrah sekitar satu jam setengah. Macam dok dalam “sauna”. Macam port kominis pun ada jugak, dok dalam kebun. Begitulah semangat ahli PAS dalam usaha membina markas atau pusat tarbiyyah harakiyyah ditempat masing-masing.
Betapa ahli PAS sanggup membina markas atau pusat tarbiyyah kerana mereka melihat kepentingan tarbiyyah sebagai nadi kepada jamaah.
Namun begitu, dari markas yang dhaif inilah lahirnya graduasi amilin ISTIQAMAH yang sanggup untuk berkorban apa sahaja demi perjuangan Islam. Tidak seindah universiti atau balai raya, namun kelahiran pusat tarbiyyah ini mampu membina ketamadunan dan pembangunan jiwa yang kental demi perjuangan untuk menegakkan agama Allah SWT melalui wadah PAS.
Esok saya sambung lagi cerita Markaz PAS, cuma nak bagitaunya, orang PAS sangat pentingkan tarbiyyah sebab itu bila adanya cawangan, maka pastinya akan ada markas yang menjadi pusat tarbiyyah dibina walaupun kecil, kalau kat bandar atau kawasan orang berduit tu, usah ceritalah, hingga ada markas yang dibina dengan kos jutaan ringgit. – HARAKAHDAILY 13/5/2016