Sumber : Web JHEAINS

Dalam sejarah ketamadunan manusia telah menunjukkan betapa nikmat keamanan memberi sumbangan besar kepada kemakmuran dan kesejahteraan dunia. Kesejahteraan bererti kita bebas dari segala bentuk ancaman yang menggugat keharmonian hidup. Kita amat bersyukur bahawa negara kita berada dalam suasana aman dan damai. Walaupun pada ketika ini sedang menghadapi beberapa isu yang boleh mengancam keselamatan negara.

Dengan kesejahteraan dan ketenteraman yang dikecapi kita dapat melakukan urusan kehidupan dengan lancar, tenang dan juga membawa banyak kebaikan serta rezeki kepada manusia dan negara. Firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl ayat: 112:

Maksudnya: “Dan Allah memberikan satu misalan; Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, tetapi penduduknya kufurkan nikmatnikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka telah lakukan.”

Memelihara kemakmuran dan keamanan adalah suatu yang dituntut dalam kehidupan tanpa mengira anutan agama, bangsa atau keturunan. Sejarah telah membuktikan Nabi Ibrahim AS semasa meneroka pembukaan Mekah sebagai pusat ibadah dan tanah suci telah mendoakan agar Mekah dikurniakan Allah SWT dengan keamanan dan kemakmuran.

Kita juga telah menyaksikan betapa sukar dan malangnya negara-negara yang dilanda bencana alam, kebakaran-kebakaran berprofil tinggi yang meragut nyawa dan melibatkan kerugian jutaan ringgit. Merenung kembali kepada banjir besar yang melanda di bahagian selatan dan pantai timur negara pada suatu ketika benar-benar menguji ketahanan dan mengerah pengorbanan pasukan penyelamat seperti jabatan bomba, tentera, polis dan sebagainya.

Mengambil kesempatan bersempena Hari Anggota Bomba Sedunia yang akan sambut pada 10 Mei ini, khatib ingin menarik perhatian jemaah untuk bersama-sama mengimbas kembali tragedi-tragedi pahit yang telah menimpa negara dan pengorbanan-pengorbanan anggota bomba dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran awam terpelihara seadanya.

Demi tugas dan tanggungjawab yang digalas, para anggota bomba terpaksa meninggalkan keluarga tercinta dan mempertaruhkan nyawa untuk menempuh api kebakaran yang kepanasannya mencecah ribuan darjah celsius bagi menyelamatkan nyawa mangsa yang terperangkap, menyelam ke dasar lautan dan sungai untuk mencari mangsa yang hilang, bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa bencana seperti tanah runtuh, banjir lumpur, tsunami, runtuhan bangunan tinggi dan pelbagai lagi kerja-kerja menyelamat.

Jerih payah yang tidak mengenal erti siang atau malam ini bukanlah kerana untuk meraih pingat atau kepentingan tertentu, namun semuanya dilakukan untuk menjamin kesejahteraan dan keselamatan masyarakat sebagai satu amanah.

Mungkin masih ada yang tidak menyedari kepentingan pasukan penyelamat umumnya dan jabatan bomba khususnya dalam memastikan kesejahteraan masyarakat di negara ini. 3 Pada tahun lalu sahaja, sebanyak 82,600 panggilan kebakaran dan menyelamat yang dicatatkan di mana bersamaan purata 1,588 panggilan seminggu.

Angka tersebut menunjukkan betapa besarnya peranan, tanggungjawab dan pengorbanan dari setiap anggota bomba. Sejajar dengan itu, khatib ingin menegaskan bahawa kesedaran masyarakat terhadap aspek keselamatan dan bahaya kebakaran perlu dipertingkatkan. Keadaan ini begitu membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius oleh setiap lapisan masyarakat.

Janganlah kita memandang enteng dan sikap sambil lewa dalam aspek yang melibatkan keselamatan dan pencegahan kebakaran di sekeliling kita. Sebagai contoh, masyarakat perlu menjaga dan melindungi pili-pili bomba dan alat pemadam kebakaran di persekitaran kita, serta melaporkan segera sekiranya terdapat kerosakan.

Advertisements