Sumber : Web JHEAINS

Marilah kita merenung, menghayati dan mengamalkan setiap ajaran dan Syariat Islam di dalam Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW tentang perkara-perkara berkaitan makan minum dan sumber rezeki seperti berikut:

Pertama: Makanlah yang halal lagi baik. Islam menyuruh umatnya makan minum yang halal lagi baik, sebagaimana firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”. (Surah Al-Baqarah, ayat 168)

Maka, umat Islam jangan mengambil mudah tentang perkara halal haram dalam kehidupan kita, terutama makan minum, pakaian, bahan gunaan harian dan memilih restoran untuk berjamu selera bersama anak isteri, keluarga, kawan dan sahabat. Kerana Rasulullah SAW mengingatkan dalam sabdanya yang bermaksud:

“Setiap daging yang tumbuh daripada (makanan) yang haram, maka api neraka lebih utama baginya (membakarnya)”. (HR At-Thabrani)

Umat Islam jangan terkeliru oleh iklan, promosi dan kempen para usahawan yang sekadar ingin meraih untung perniagaan yang bermatlamat mencari laba untung duniawi sehingga melupakan halal haram sesuatu produk yang dipasarkan kepada pengguna atau pelanggan.

Kedua: Mencari yang halal adalah fardu/wajib. Jangan ambil harta secara salah, sebagai sumber rezeki dan kehidupan anak isteri dan keluarga, sebagaimana firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (mengambil) harta-harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya)”. (Surah Al-Baqarah, ayat 188)

Ayat ini, melarang umat Islam mengambil harta orang lain secara salah dan jangan mengamal rasuah. Sebab perbuatan sedemikian suatu dosa. Oleh itu, umat Islam hendaklah menjauhi amalan rasuah, kerana orang yang melakukannya termasuk orang yang dilaknat oleh Allah SWT, sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang menjadi orang perantaraan”. (HR Imam Ahmad)

Ingatlah, sesungguhnya Islam adalah agama yang sangat menitik beratkan perkara halal percarian rezeki, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Mencari yang halal itu adalah fardu/wajib ke atas setiap orang Islam”. (HR Ibnu Abdil-Barr)

Ketiga: Berniagalah untuk memperolehi kekayaan secara halal. Islam anjurkan perniagaan, yakni menghalalkan perniagaan dan mengharamkan riba, pilihlah perniagaan sesungguhnya inilah jalan terbaik, lebih berkat dan selamat dunia akhirat, firman Allah SWT:

Maksudnya: “…Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: ‘Bahawa sesungguhnya berjual beli (berniaga) itu sama saja seperti riba’. Pada hal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba…”. (Surah Al-Baqarah, ayat 275)

Kelebihan berniaga, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sembilan persepuluh sumber rezeki (boleh diperolehi) melalui perniagaan”. (HR Imam At-Tirmizi)

Mulianya peniaga yang jujur, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Peniaga-peniaga yang jujur dan amanah (akan ditempatkan) bersama dengan para Nabi, siddiqin dan para syuhada”. (HR Imam At-Tirmizi)

Perlunya harta untuk tegakkan agama dan urusan hidup, sebagaimana Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila pada akhir zaman nanti umat manusia tak dapat tidak mesti menyediakan harta untuk menegakkan urusan agama dan urusan dunianya”. (HR At-Thabrani)

Ingatlah, halal haram itu bukan terbatas pada perkara makan minum semata-mata. Tetapi halal haram juga termasuk perkara-perkara yang berkaitan dengan sumber rezeki dan pencarian yang berupa wang ringgit, gaji/upah dan sebagainya.

Keempat: Tinggalkan riba sebagai sumber pencarian dan rezeki. Riba adalah perkara yang dilarang di dalam Islam, ia juga berkaitan sumber rezeki dan akan dimakan oleh kita dan anak isteri serta keluarga, firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang beriman”. (Surah Al-Baqarah, ayat 278)

Keadaan golongan yang suka memakan riba seperti orang yang dirasuk syaitan, firman Allah SWT:

Maksudnya: “Orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhoyong-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu…”. (Surah Al-Baqarah, ayat 275)

Advertisements