Sumber : Web JHEAINS
Sesungguhnya mati itu adalah benar, kenikmatan dan seksa di alam kubur adalah benar, pertanyaan Munkar dan Nankir adalah benar. Demikianlah antara rangkap talkin yang dibacakan kepada si mati sesudah dikebumikan. Ia secara langsung memberi peringatan kepada yang masih hidup bahawa tiada seorang pun yang akan terlepas daripada menghadapi mati.
Malaikat maut akan sentiasa mendapatkan sesiapa saja yang masa hidupnya akan berakhir di dunia ini. Jika masanya itu sudah tiba, maka tiada sesiapa pun dapat melarikan atau melepaskan diri daripada maut sebagaimana dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:
Yang bermaksud: “Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh…” (S. An-Nisaa’: 78).
Oleh itu, setiap orang perlu tahu dan mahu menghargai dirinya dengan bersedia untuk menghadapi saat kematian. Kematian yang menoktahkan kelazatan kehidupan di dunia serta gerbang pertama menuju akhirat tidak seharusnya dilihat sebagai suatu yang ngeri dan menakutkan.
Sebaliknya, kematian itu harus ditanggapi sebagai peringatan dan ibrah untuk menjauhkan diri dari perbuatan maksiat, melunakkan hati yang keras dan mengikis kebanggaan terhadap dunia kerana hakikatnya kehidupan dunia adalah bersifat sementara. Kehidupan akhirat jua yang kekal abadi.
Diriwayatkan bahawa pada suatu ketika Abdullah bin Umar mendatangi majelis Rasulullah yang sedang berkumpul bersama para sahabat. Seorang sahabat Ansar di antara mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling cerdas dan pemurah itu?” Baginda menjawab, Orang yang paling rajin mengingat kematian serta paling baik persiapannya dalam menghadapinya. Itulah orang cerdas yang akan memperoleh kehormatan di dunia dan kemuliaan di akhirat kelak.” (HR Al-Hakim, At-Thabrani dan At-Tirmizi).
Justeru, marilah kita tarbiah diri kita dan ahli keluarga kita supaya sentiasa insaf dan mengingati mati dengan membuat persiapan menghadapinya. Untuk ini, mari kita mematuhi perintah Allah SWT, beramal soleh, bersifat dengan sifat mahmudah, beristighfar serta menjauhi perbuatan yang dilarang yang boleh mencemarkan maruah diri sebagai makhluk yang terbaik ciptaan Allah SWT.
Sesungguhnya, hanya amal soleh yang akan menjadi teman sejati si mati. Ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud:
“Tiga perkara yang akan mengiringi jenazah ke kubur; hartanya, keluarganya dan amalnya. Harta dan keluarganya akan meninggalkannya dan yang tinggal hanyalah amalannya.” (HR Al-Bukhari).
Sebaik-baik manusia adalah orang yang panjang umurnya dan baik perbuatannya, sedangkan sejahatjahat manusia ialah orang yang panjang umurnya tetapi jahat kelakuannya. Atas hakikat itu, semoga hendaknya kita tidak dilalaikan oleh urusan dunia sehingga lupa membuat persiapan bekalan untuk mengadap Allah SWT. Ingatlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati”. (HR Al-Hakim dan Al-Baihaqi)
Sehubungan itu, marilah kita berusaha sedaya upaya melakukan yang terbaik dalam menjunjung perintah Allah dan Rasul-Nya untuk meraih balasan syurga dan menjauhi azab neraka. Maka, marilah beribadat dengan memperbanyakkan amal soleh semasa sihat sebelum ditimpa penyakit. Hulurkanlah sedekah semasa masih berharta sebelum papa.
Berzikirlah sewaktu masih mempunyai kelapangan sebelum dilanda kesibukan urusan dunia. Berusahalah mencari keperluan dunia dan akhirat semasa masih muda dan bertenaga sebelum tua dan uzur. Pendek kata, beramallah semasa masih hidup kerana ia adalah bekalan Berharga menuju akhirat.