Sumber : Web JHEAINS

Manusia adalah makhluk yang hidup bermasyarakat yang perlu saling berhubungan dan berkomunikasi antara satu sama lain. Hakikat ini menuntut setiap Muslim supaya berusaha mewujudkan persekitaran yang aman, damai dan harmoni. Setiap perbuatan yang baik akan mendapat balasan yang baik, demikian pula sebaliknya.

Justeru, adalah penting bagi umat Islam memiliki akhlak yang baik dan terpuji bagi mewujudkan budaya saling hormat menghormati, bantu membantu dan saling menasihati ke arah kebaikan dan kesejahteraan bersama. Ia sebagai upaya memastikan segala perilaku dan tindak tanduk diterima baik oleh semua pihak agar tiada seorang pun yang merasa gusar dan sakit hati dengan kewujudan Islam dan umatnya di sesebuah penempatan.

Ini sejajar dengan status Islam sebagai agama rahmatan lil alamin. Dalam sebuah Hadithnya, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

“Mukmin yang bergaul di tengah-tengah masyarakat dan bersabar atas segala gangguan, mereka lebih baik daripada mukmin yang tidak bergaul dan tidak bersabar dengan gangguan orang.” (HR Ahmad).

Sehubungan itu, seorang mukmin seharusnya berinteraksi dan bergaul baik dengan orang serta masyarakat di sekelilingnya. Ini kerana, interaksi dan pergaulan juga merupakan satu bentuk sarana dakwah yang berkesan bagi mengangkat martabat dan peradaban ummah yang dapat menjamin keadilan, keselamatan dan kesejahteraan dalam masyarakat dan negara.

Malahan, melalui interaksi dan pergaulan juga dapat menguji akhlak, kejujuran, kematangan selain menguji sejauh mana seseorang itu mampu mempertahankan prinsip hidup sebagai seorang Muslim di dalam persekitaran yang berbagai bentuk godaan dan cabarannya.

Rasulullah SAW ada menjelaskan perihal Muslim sejati melalui sabdanya yang bermaksud: “Seorang Muslim yang sejati ialah orang Islam di sekelilingnya yang berasa selamat daripada lidahnya dan tangannya; seorang Mukmin sejati ialah orang Mukmin di sekelilingnya berasa aman terhadap diri mereka dan harta benda mereka sendiri; dan seorang yang berhijrah dengan sebenarnya ialah seorang yang meninggalkan perkara keji, lalu menjauhinya.” (HR Ahmad).

Dengan mengambil pengajaran daripada mafhum Hadith Rasulullah ini, adalah penting bagi setiap anggota masyarakat memelihara lidah dan hati masing-masing bagi mewujudkan persefahaman, perhubungan dan pergaulan yang baik dalam konteks hidup bermasyarakat. Ini penting kerana pada hati dan lidah terletak sifat kebaikan dan kejahatan manusia.

Diriwayatkan bahawa ada seorang wanita yang kaya dan memiliki banyak ternakan. Pada suatu hari, wanita itu menyuruh orang suruhannya menghadiahkan seekor kambing kepada Lukman alHakim untuk disembelih. Lalu wanita itu berpesan kepada orang suruhannya dengan berkata: “setelah kambing itu disembelih katakan kepada Lukman al-Hakim bahawa aku meminta bahagian tidak baik yang ada dalam tubuh badan kambing itu kerana aku mahu memakannya.”

Dan setelah kambing itu disembelih, Lukman al-Hakim pun mengambil sebahagian hati dan sebahagian lidah kambing itu lalu membungkusnya dan menyerahkannya kepada orang suruhan wanita itu. Orang suruhan itu pun membawa balik bungkusan itu dan memberikannya kepada wanita kaya tersebut.

Wanita itu terkejut dan merasa hairan melihat sebahagian daripada hati dan lidah kambing dalam bungkusan itu . Ini kerana dia meminta bahagian yang tidak baik tetapi Lukman al-Hakim memberikan lidah dan hati yang diangap baik dan bagus oleh wanita itu. Setelah dimasak dan dimakan sebahagian daripada lidah dan hati itu, dia pun berfikir dan tertanya-tanya kenapa Lukman al-Hakim memberikan sebahagian hati dan lidah, sedangkan dia meminta benda yang tidak baik daripada kambing itu.

Beberapa hari selepas itu, wanita kaya berkenaan sekali lagi menghadiahkan seekor kambing kepada Lukman al-Hakim dengan berpesan supaya diberikan bahagian yang baik. Bagaimanapun, selepas kambing itu disembelih, Lukman al-Hakim tetap mengambil sebahagian hati serta sebahagian lidah lalu membungkusnya dan menghantarkannya kepada wanita kaya itu.

Maka, sekali lagi wanita itu kehairanan lantas berkata: “Aku meminta yang tidak baik, Lukman alHakim memberi hati dan lidah, aku minta yang baik, Lukman al-Hakim memberi hati dan lidah juga.”

Akhirnya, wanita kaya tersebut datang menemui Lukman al-Hakim memmohon penjelasan dengan katanya: “Wahai Lukman al-Hakim yang bijaksana, aku meminta kepada kamu, apakah perkara yang baik yang ada dalam badan kambing untuk dimakan. Apabila aku minta yang tidak baik pun kamu beri hati serta lidah, demikian juga dengan yang baik pun kamu beri aku hati dan lidah juga. Apakah pengajaran serta hikmah di sebalik semuanya itu?”

Lukman al-Hakim pun menjelaskan dengan berkata: “Yang paling mustahak dan yang perlu kita jaga dalam badan kita ini adalah dua perkara, iaitu hati dan lidah. Hati ialah tempat iman kepada Allah, hati tempat keyakinan kepada Allah, hati tempat jatuh pandangan Allah, sedangkan yang lain tempat jatuh pandangan manusia. Utamakan tempat jatuh pandangan Allah, kita bimbang kalau hati kita ada sifat mazmumah, sifat kotor, sifat keji, takut iman akan keluar, hidayah akan keluar, sebab itu aku kirimkan kepada puan hati, hati yang perlu dijaga.”

“Begitu juga dengan lidah. Lidah lebih tajam daripada mata pedang. Dengan sebab lidah manusia boleh bermusuhan, dengan sebab lidah orang boleh bercerai-berai, dengan sebab lidah, orang boleh binasa, dengan sebab lidah orang boleh putus silaturrahim.” “Sebab itu, apabila puan meminta yang tidak baik, aku berikan hati dan lidah, yang baik pun aku berikan hati dan lidah. Ini bermakna hati dan lidah ini kita jaga baik baik, insyaAllah kita selamat di dunia dan selamat di akhirat.”

Advertisements