Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/40462-kisah-banduan-akhirnya-istiqamah

USTAZ ROSLI ABD JABAR | 21 Mac 2016.

DAH lama sangat tak mencoret, hari ni saya belanja sebuah coretan.

Jumpa seorang jamaah masjid, selepas kuliah bersembang seketika dengannya, dia ajk masjid. Kami bersembang agak panjang, walaupun baru tu je kenal, seperti dia tak puas-puas nak bercerita tentang dirinya.

Oleh sebab saya ada program lain, dia ajak saya berjumpa minum pagi keesokannya. Saya memenuhi permintaannya, lelaki seusia saya, namun dia nampak lebih tua mungkin kerana cara pemakaiannya dan jambangnya yang agak terbiar.

“Ustaz boleh tulis kisah saya ni”, katanya, saya kata, saya dah lama tak menulis, agak sibuk dan tak sempat nak menulis walaupun banyak kisah-kisah manusia di sekeliling saya yang boleh saya tulis untuk ambil pengajaran, namun bila dengar ceritanya saya gagahi untuk coretkan sedikit kisahnya untuk dijadikan iktibar kita bersama.

Dia anak lelaki tunggal, ayahnya hanya kerja kampung dan dah meninggal. Dia anak yang liar dan sering memeningkan kepala ayah dan ibunya. Masa umur 14 tahun dia dah mula mencuri, umur 16 tahun dia dah berhenti sekolah, ayah dan maknya dah tak larat nak memujuk dia untuk bersekolah.

Ayahnya seorang yang sangat lembut dan tak pernah putus asa menasihatinya. Pelbagai usaha dilakukan oleh ayahnya supaya dia jadi anak yang baik. Ayahnya sanggup lakukan apa sahaja untuknya. Dia mula sebak bila bercerita kisah ayahnya yang sangat baik.

Dia pernah tipu ayahnya, nakkan modal konon nak berniaga, ayahnya berusaha untuk dapatkan 2 ribu ringgit, kumpul dan sanggup berhutang, tapi dia guna buat berjudi, tapi ayahnya tetap berlembut dan menasihati dia. Bukan sekali dua tapi banyak kali dia perdaya ayahnya untuk dapatkan duit, namun ayahnya tetap juga tidak membencinya, “kalau marah pun seminggu jer Ustaz, pastu dia pujuk saya semula”.

“Dua kali saya masuk penjara, saya mencuri dan pecah kedai orang”, katanya. Kesalahan pertama dia dipenjara 3 tahun dan kedua 5 tahun. Dua kakaknya pun tak larat nak menasihati dia, maknya pun dah tak mampu berkata apa-apa lagi. Namun ayahnya tak pernah putus asa berusaha agar dia berubah.

Ayah jual kebun untuk jamin dia ketika dilokap kali pertama, tiada lagi harta ayah, kebun tiada geran berapa sen lah sangat dapatnya. Dia dijatuhkan hukuman penjara 3 tahun. Hampir setiap bulan ayahnya datang ziarah dia dipenjara, bawa makanan.

“Bila hari raya dia dan mak serta kakak datang seawal pagi sambut raya bersama saya dipenjara”.

Dipenjarakan kali kedua selang dua tahun selepas bebas dari penjara kali pertama. “Masa ikat jamin saya kali kedua, saya tak tahu ayah ambil duit dari mana”. Masa dia dipenjara, ayahnya masih jugak seperti dulu tetap datang walaupun kali kedua dipenjara agak jauh dari tempat tinggalnya memerlukan 4 jam perjalanan.

Ayah tetap datang dengan bas, kadang-kadang berdua dengan mak, tapi biasanya dia seorang kerana jimatkan kos tambang bas, tapi makanan masakan ibunya tetap ada. Setahun sebelum keluar dari penjara, ayahnya meninggal “masa tu usia saya 35 tahun, ayah pula dah 60-an”, katanya. Ayahnya mengidap strok otak.

Bila ayahnya meninggal, tiada lagi sesiapa datang menziarahinya, maknya tak pandai dan takut nak naik bas seorang diri, kakak-kakaknya dah bersuami, agak sukar untuk datang, dalam tempoh setahun tu hanya sekali sahaja seorang kakaknya datang, itupun hari raya, “saya tak salahkan mereka, sebab mereka pun orang susah juga”.

“Mereka susahpun kerana saya, walaupun kakaknya pintar juga di sekolah, tapi keewangan sangat terhad, duit ayah habis kerana menampung kejahatan saya, kakak menjadi korban, tak dapat belajar”, ceritanya. Hatinya mula terasa penyesalan bila ayahnya meninggal, apatah lagi bila tiada lagi orang datang menziarahinya, dia mula rasa bahawa tiada orang yang menyayanginya kecuali ayahnya.

“Lebih kurang sebulan sebelum keluar, saya rasa sebak sangat dan tak sabar nak balik, nak tengok basikal ayah, katil ayah, topi yang selalu ayah pakai dan semua yang selalu ayah guna, entah macamana perasaan saya begitu, saya rasa menyesal sangat hingga saya menangis je bila teringatkan ayah. Dia keluar penjara disambut oleh mak dan seorang kakaknya.

“Mak saya macam putus asa dengan saya, apa yang saya cakap, macam dia tak endah, saya tak salahkan dia, hati ibu mana yang tak kecewa, tapi tak kecil hati sebab semuanya salah saya”. Dia nekad untuk berubah, dia kerja kontrak dan berkebun sikit-sikit untuk mencari pendapatan menampung diri dan ibunya.

Selepas dua tahun perubahannya barulah kelihatan maknya yakin dengannya dan mula bersikap seperti ayahnya yang sentiasa menasihatinya, dia nekad mengumpul duit untuk menunaikan umrah bersama ibunya. Di usianya 40 tahun hajatnya tercapai untuk menunaikan Umrah bersama ibunya, tidak dapat dibayangkan betapa gembira ibunya, kerana tak menyangka anaknya yang sebegini mampu membawa ia keMekah.

“Anak saya dah 6 orang”, katanya, saya tanya dia bila dia kawin, dia kata masa umur dia 42 tahun, maknanya baru lapan tahun kawin, saya hairan jugak takkan usia perkahwinan begitu dapat anak dah 6 orang, “kembar ke?, tanya saya, dia ketawa tengok saya kehairanan “tak lah Ustaz, anak segera 4 orang, anak hasil usaha sendiri ada 2 orang”, katanya.

Saya ketawa bila dia kata “anak hasil usaha sendiri”, hahaha, dia pun ketawa jugak. Dia berkahwin dengan seorang guru janda anak 4, sekarang ni dia dah jadi kontraktor kelas F, “Alhamdulillah rezeki Allah bagi” katanya. Maknya meninggal 2 tahun lepas, “Alhamdulillah saya sempat minta maaf dengan mak dan sempat bawa dia gi umrah, cuma saya harap ayah maafkan saya”, katanya sebak.

“Tapi ada arwah mak bagi tahu, masa ayah belum kena strok dia bersembang dengan mak, ayah kata dia sayang semua anak-anaknya dan maafkan semuanya dan ayah juga pesan supaya minta maaf dengan anak-anaknya jika kesalahan dia mendidik menjadikan anak-anak jadi jahat”.

“Saya harap Allah ampunkan dosa saya, banyak sangat salah saya terutama dengan ayah”, katanya.

Begitulah kasih ayah, tak mungkin seorang ayah sanggup melihat anaknya menderita, walau susah macamna sekalipun dia tetap berusaha agar anak-anaknya dapat bebas dari kesusahan walaupun dia sendiri menderita. Penat lelah ayah hanya dihabiskan untuk menyara anak, sakit pening ayah adalah kerana berhempas pulas tenaganya untuk anak-anak, ayah tak bersusah payah mencari duit melainkan untuk anak-anaknya, begitulah pengorbanan seorang ayah.

Dia mula berjinak dengan aktif kesurau dan masjid sejak berkahwin, sebelum ni jarang-jarang je, banyak solat kat rumah je katanya. Isterinya sentiasa mendorong. Dia juga aktif sebagai bendahari PAS cawangan di kampungnya. Pagi tu dia pakai baju FASTAQIM, “saya nak pakai baju ni, biar Ustaz tahu bahawa saya ni istiqamah hingga kemenangan,” katanya. Dia masuk PAS sebelum gi umrah lagi.

Sejak dia bergaul dengan orang PAS, dia rajin belajar dan telahpun khatam al-Qur’an, “belajar ngaji dengan Ust …………….,”. Saya senyum bila dia sebut nama rakan seperjuangan saya. Lama jugak kami bertenggek di kedai kopi, matanya semakin jernih, mungkin air matanya tadi telah membersihkannya.

Dia bekalkan saya udang galah, “ni bawak balik”, siap dengan tong dan air batunya sekali, bolehlah bertahan untuk dua hari lagi permusafiran saya. Kami berpisah kerana saya perlu meneruskan perjalanan seawal mungkin kerana berceramah di lokasi yang agak jauh dari tempatnya, dari utara akan keselatan.

“Jalan baik-baik Ustaz.”

“Insya-Allah”, kata saya.

Sepanjang perjalanan saya selama hampir 13 jam, jarang-jarang perkara lain bermain di otak dan hati saya, melainkan kisahnya, seperti menonton filem yang banyak anugerahnya. Saya tak sempat membesar bersama ayah kerana menjadi anak yatim pada usia 4 tahun tapi dapat saya rasakan betapa besarnya pengorbanan seorang ayah. Dunia kita berada dalam hati seorang ayah. – HARAKAHDAILY 21/3/2016

Penulis ialah Pesuruh Jaya PAS Pahang dan Adun Tanjung Lumpur