Sumber : Web JHEAINS
Kepentingan menjaga kebersihan dari sudut jasmani atau fizikal, beruntunglah orang yang menjaga kebersihan, malah di sisi Allah SWT akan memperolehi ganjaran pahala yang banyak, kerana melakukan perkara yang diperintah-Nya serta disukaiNya, antara perkara yang dituntut kita menjaganya, ialah:
1. Menjaga kebersihan tubuh badan merupakan perkara utama, untuk beribadah perlu bersih tubuh badan, sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (pada hal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian dari kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib…”. (Surah Al-Maidah, ayat 6)
2. Menjaga kebersihan mulut dan gigi. Perkara ini sangat diambil berat oleh Baginda Rasulullah SAW, sebagaimana sabdanya yang bermaksud:
“Jika tidak menjadi keberatan kepada umatku, maka sungguh aku akan perintahkan bersiwak (mengosok gigi) setiap kali hendak solat”. (HR Imam AlBukhari)
3. Kebersihan masjid/surau. Masjid/surau bagi umat Islam adalah pusat kehidupan umat sebagai tempat beribadah, belajar, bertemu, bermesyuarat dan bermasyarakat. Kerana itu menjaga kebersihannya amat dianjurkan dalam Islam, terutama kawasan tandas masjid dan surau.
Dari Aisyah RA berkata: “Rasulullah SAW telah memerintahkan kepada kami untuk membangunkan masjid di tempat-tempat tinggal dan supaya selalu dibersihkan serta diberi wangi-wangian”. (HR Imam Ahmad, At-Tirmizi, Ibnu Majah dan Abu Daud)
4. Menjaga kebersihan bangunan atau premis seperti rumah, sekolah, pejabat, premis perniagaan/pusat beli belah, dewan orang ramai, balai raya, juga tandas, halaman, persekitaran, jalan raya, pusat rekreasi, kolam, parit dan sebagainya. Islam adalah agama yang menganjurkan kebersihan, kerana sesungguhnya Allah SWT Maha Bersih, Dia menyukai kebersihan, sebagaimana diriwayatkan daripada Saad bin Abi Waqqas dari bapanya dari Rasulullah SAW (bersabda) yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah Ta’ala itu Maha Suci yang menyukai hal-hal yang suci. Dia Maha Bersih yang menyukai kebersihan. Dia Maha Mulia yang menyukai kemuliaan. Dia Maha Indah yang menyukai keindahan, kerana itu bersihkanlah tempat-tempat kamu”. (HR Imam At-Tirmizi)
Bangunan, premis, tandas dan persekitaran yang bersih bermula dari diri kita, anak isteri, ahli keluarga dan masyarakat. Jangan jadikan jalan raya tempat buang sampah, jangan jadikan parit, sungai dan laut tong sampah kita. Ingatlah, kebersihan itu bermakna kesihatan kita, ahli keluarga, anak isteri/suami dan masyarakat dan alam sekitar termasuk haiwan.
5. Menjaga kebersihan makan minum dari segi halal haramnya. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”. (Surah Al-Baqarah, ayat 168)
Ingatlah, doa kita tidak akan makbul dan daging yang tumbuh dari makanan yang haram itu, api neraka yang akan membakarnya. Oleh itu bersama-sama kita menjauhi dari segala sumber yang haram itu, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“…Daging yang tumbuh daripada yang haram, maka api neraka lebih utama baginya”. (HR Imam Ahmad)
6. Menjaga kebersihan pakaian. Umat Islam dianjurkan berpakaian yang indah, kemas dan bersih terutama ketika hendak ke masjid menunaikan ibadat solat. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan solat)…”. (Surah Al-A’raaf, ayat 31)
7. Menjaga kebersihan halaman rumah. Jagalah kebersihan rumah, halaman dan persekitarannya, Sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud:
“Bersihkanlah halaman rumah kalian. Sebab orang Yahudi tidak membersihkan halaman rumah mereka”. (HR At-Thabrani).
Dalam Hadith lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah Maha Baik. Kerana itu bersihkanlah halaman rumah dan teras rumah kamu. Janganlah kamu menyerupai Yahudi, mereka mengumpulkan sampah di rumah”. (HR Al-Bazzar)