Sumber : Web JHEAINS

Dalam mendepani kenaikan harga barang keperluan dan perkhidmatan akhir-akhir ini, adalah amat wajar bagi kita semua mengamalkan kesederhanaan dan berjimat cermat. Kita harus mendisiplinkan diri untuk membeli barang yang benar-benar perlu sahaja dalam ruang lingkup kemampuan kita.

Jangan sesekali berbelanja melebihi pendapatan atau di luar kemampuan kerana tabiat itu boleh menjerumuskan diri kepada bahana hutang dan muflis. Di dalam al-Quran Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (S. At-Talaaq: 7).

Melalui ayat ini, Allah SWT antara lain menjelaskan bahawa Dia mengurniakan rezeki kepada manusia menurut kadar yang tertentu. Kerana itu, Allah SWT menganjurkan manusia supaya berbelanja sesuai dengan kemampuan masing-masing. Sesiapa yang dapat mendisiplinkan dirinya dengan tatacara perbelanjaan yang disarankan ini, dia tidak akan dihimpit kesusahan seperti bebenan hutang dan membazir.

Dengan hal yang demikian, amalan berjimat cermat secara berterusan dan istiqamah memungkinkan seseorang itu menikmati kehidupan yang lebih makmur. Manakala mereka yang berbelanja “biar papa asal bergaya” akan dicengkam kesempitan hidup.

Peringatan ini disampaikan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang berjimat cermat, tentu Allah memberikan kekayaan kepadanya. Dan sesiapa yang boros, tentu Allah menjadikannya miskin. Dan sesiapa yang merendah diri, tentu Allah akan mengangkat (darjatnya) dan sesiapa yang bongkak atau sombong nescaya Allah akan memutuskannya (memusuhinya)”. (HR alBazzar).

Hakikatnya, sebagai pembeli atau pengguna, kita perlu tahu membezakan antara barang-barang daruriyyah (keperluan asas), hajiyyah (keselesaan) atau tahsiniyyah (kesempurnaan). Pengetahuan serta kefahaman dalam hal ini penting bagi memandu kita membeli serta memperolehi barang-barang yang benar-benar memenuhi keperluan asas sahaja dan bukannya membeli barang-barang mengikut kemahuan.

Pengguna Muslim mesti memberi perhatian kepada aspek ini agar terselamat daripada berbelanja pada perkaraperkara Tarafiyyah, yakni perbelanjaan yang membawa kepada pembaziran. Sehubungan itu, Hari Hak-Hak Pengguna yang diraikan pada 15 Mac setiap tahun diharap dapat meningkatkan kesedaran kita semua terhadap hak dan peranan kita sebagai pengguna.

Ia penting kerana kita selaku pengguna menghadapi masalah dalam soal membeli-belah atau perkara yang berkaitan dengan jual beli. Kita harus melengkapkan diri dengan pengetahuan untuk menghadapi masalah-masalah berkenaan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan pengiklanan.