Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/40262-pas-dan-tarbiah-cinta-ulama

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | 06 Mac 2016.

Antara dendangan tarbiyah dalam PAS ialah memupuk rasa cinta terhadap para ulama. Mencintai para ulama adalah antara adab besar yang diajar oleh Islam. Justeru PAS telah berjaya mendidik ahlinya untuk berakhlak dengan sebaik-baik adab dalam Islam.

Dalam krisis kepimpinan yang melanda PAS baru-baru ini, ahli PAS melalui para perwakilan muktamar PAS telah membuktikan bahawa mereka kekal menjulang para ulama ketika asakan banyak bertumpu kepada usaha mengubah dan melenyapkan konsep kepimpinan ulama dalam parti. Ia pastinya menjadi satu bukti kejayaan sistem tarbiyah PAS yang menyanjung kecintaan kepada ilmu dan para ulama.

Islam adalah ugama ilmu. Mengenali Allah adalah dengan ilmu. Iman kepadaNya juga dihasilkan melalui ilmu. Takwa juga ditingkatkan darjat ketinggiannya dengan ilmu. Tanpa ilmu, ketiga-tiga sifat utama tadi pasti gagal diperolehi. Apabila gagal, seseorang muslim akan terperangkap dalam dakwaan lidah dan omongan kosong di dalam beragama. Kesannya, tanpa sedar, mereka akan hidup dalam dunia kejahilan, kefasiqan dan kemunafikan.

Semua makhluk Allah beriman kepada Allah dengan fitrah penciptaan masing-masing. Allah menciptakan mereka. Maka mereka tahu sedari asal bahawa Allahlah sang pencipta yang maha agung yang telah menciptakan mereka. Maka semua bertasbih, bertahmid dan menyembah Allah tanpa henti. Tiada yang menghalang dan melupakan mereka daripada mengenali Allah sebagai pencipta mereka. Fitrah mereka begitu suci.

Manusia juga mengenali Allah melalui fitrah penciptaan tersebut. Tidak ada bayi yang lahir kecuali dia adalah muslim yang begitu suci pengenalan mereka terhadap Allah. Bayi adalah putih bersih dengan fitrah iman dan Islam.

Tetapi fitrah si bayi akhirnya berhadapan kekalutan dan gangguan. Ia bermula apabila ibu bapa mereka mula mendidik mereka mengenal dunia dan kehidupan. Jika ibu bapa mereka adalah muslim, maka kesucian fitrah si bayi akan ditentukan oleh keupayaan ibu bapa di dalam mendidik dan mengekalkan keaslian fitrahnya mengenali Allah. Semakin didikan agama ditekankan, semakin terjagalah fitrah si anak.

Tetapi jika ibu bapa mereka bukan seorang muslim, maka ia adalah proses pencemaran yang dahsyat ke atas fitrah. Ia akan dikotori dengan ajaran dan maklumat yang salah. Sedikit demi sedikit ia menjadi hitam dan kabur daripada melihat Allah. Akhirnya, apabila si bayi itu telah akil baligh dan dewasa, mereka lupa dan tidak lagi mengenali Allah.

Di sinilah ilmu berperanan dalam kehidupan manusia. Ia datang untuk kembali menyucikan dan menggilap fitrah yang hitam dan kotor. Atau ia datang untuk menambahkan lagi kemilau fitrah dengan pengetahuan yang bertambah-tambah terhadap keagungan Allah dan kebesaranNya. Akhirnya manusia akan kembali mengenal dan beriman kepada Allah sesudah kegagalan fungsi fitrah pada pertarungan awalnya berhadapan ujian duniawi yang dihijabi kejahilan.

Apabila manusia sudah mengenal Allah, mereka akan terus terpesona dengan keagunganNya. Hati mereka meronta-ronta untuk tambah mengenali dan mendekatiNya. Diciptakan kelazatan tertinggi di dalam diri pada mengenali Allah dan mendekatiNya. Manusia mula menyedari kehadiran ruh dalam diri yang begitu obses untuk melonjak ke alam atas. Mereka akan mula merasa malu dan bersalah melayan nafsu diri yang kebinatangan sifatnya yang mendorong mereka bergelumang dalam lumpur duniawi yang menghinakan.

Perlumbaan ke alam atas itu semuanya berlaku melalui penambahan ilmu, iman dan amal. Gabungan ilmu, iman dan amal itu dinamakan takwa. Takwa itulah yang menghasilkan lonjakan ke atas, dari satu tingkat ke satu tingkat yang lebih tinggi di dalam mengenal Allah.

Perhatikan ayat Allah yang memberikat kredit nyata kepada para ilmuan dan para mukmin. Firman Allah: “Allah mengangkat orang-orang yang beriman daripada kalangan kamu dan juga orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat (yang besar).” (Al-Mujadilah: 11)

Perbahasan mengenai kemukjizatan ilmu adalah cukup menarik dan mengasyikkan. Justeru secara mudah sahaja untuk difahami bagaimana Islam begitu mendidik umatnya agar berlumba mencari ilmu dan merajakan ahli ilmu dengan berkerumun di sekeliling mereka. Mencintai ilmu dan ahlinya adalah antara adab tertingggi dalam kehidupan umat Islam.

Kemudian, haruslah difahami bahawa ilmu itu di sebalik kesungguhan manusia berlumba memperolehinya dengan rangsangan fitrah, akal dan nafsu di dalam diri, ia juga adalah satu anugerah daripadaNya yang istimewa. Maksudnya ia bukan sekadar usaha, bahkan ia adalah usaha dan redhaNya.

Perhatikan, ramai pendamba ilmu yang sesat dalam ilmu mereka. Mereka merasakan mereka telah berada dalam dunia ilmu tetapi mereka gagal mengesan bahawa mereka dalam kesesatan. Mereka kufur kepada Allah yang mengurniai mereka akal, kehendak dan ilmu. Mengapa?

Perhatikan juga, ramai yang berilmu tetapi tiada taqwa dalam diri mereka. Apa untung diberikan gula tetapi tiada manisnya? Diberi ubat tetapi tiada kesembuhannya? Tanamannya subur tetapi buahnya tiada. Mereka mendapatkan apa yang mereka usahakan iaitu ilmu. Malangnya mereka tidak memperolehi buah ilmu iaitu takwa. Mengapa?

Saya ingin menjelaskan di sini, bahawa ilmu itu di sebalik kita mampu berusaha menghasilkannya, tetapi di dalam Islam kita diajar bahawa ilmu adalah anugerah Allah yang dikurniakan kepada sesiapa yang dikehendakinya. Mereka adalah orang teristimewa. Allah maha mengetahui siapakah yang istimewa di sisiNya dan layak menerima kurniaan hebat ini.

Apabila anda memahami ini, anda akan mudah memahami betapa benarnya ugama Islam bukan hanya mengajar umatnya mencintai ilmu, bahkan turut mencintai ahli ilmu atau para ulama juga. Mereka adalah anugerah Allah kepada manusia selepas ianya adalah anugerah kepada si pemilik ilmu itu sendiri.

Bayangkan sebuah masyarakat yang jahil, mereka pula hidup tanpa ahli ilmu di sisi mereka. Bagaimana mereka akan memperolehi hidayat? Justeru ajakan mencintai ahli ilmu adalah ajakan kepada memperolehi ilmu dan buahnya (taqwa) oleh semua manusia.

Tahukah anda siapakah orang yang paling mencintai ahli ilmu?

Allah menetapkan tiada manusia yang paling berilmu. Setiap manusia yang dilihat paling tinggi ilmunya akan didapati kurang ilmunya dalam cabang-cabang ilmu tertentu. Kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir dalam surah al Kahfi adalah satu contoh bagaimana Allah mengajar Nabi Musa erti anugerahNya kepada orang-orang yang dikehendakiNya. Dia mengajar Nabi Musa erti kecintaan tak bertepi dan tak berhabisan terhadap ahli ilmu.

Justeru dalam konteks penghormatan dan kecintaan terhadap ahli ilmu, anda akan dapati orang yang paling mencintai ahli ilmu atau para ulama adalah para ulama sendiri. Menakjubkan bukan?

Merekalah orang yang paling tahu nilai ilmu. Justeru setiap kurniaan ilmu oleh Allah kepada mereka akan disyukuri sungguh-sungguh dan setiap ilmu yang belum dianugerahi akan didamba sungguh-sungguh oleh mereka. Oleh kerana ilmu diperolehi melalui ahli ilmu, maka kita dapati merekalah yang paling mencintai ahli ilmu yang lain.

Hasilnya juga menakjubkan. Anda akan dapati para ulamak adalah orang yang paling berakhlak dengan sifat tawadhuk, merendah diri, khusyu’ dan ‘ikram’ (menghormati) yang tinggi. Apabila mereka menyuruh agar kita mencintai para ulama, kita akan dapati merekalah sebenarnya yang paling mencintai para ulama atau sesama mereka.

RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam secara keseluruhannya dikurniakan ilmu paling banyak dan tinggi. Justeru kita dapati baginda dianugerahi dengan akhlak tertinggi.

PAS akan terus maju dalam perjuangannya selama mana pegangannya terhadap nilai mencintai ilmu dan ahli ilmu dipertahankan. Kepimpinan ulama bukanlah satu pemaksaan untuk menerima kekuasaan kelompok tertentu, bahkan ia menjadi satu medan perlumbaan untuk saling menerima kelebihan dan anugerah Allah ke atas setiap ahli ilmu. Apa pun ilmu, asalkan ianya membuahkan takwa dan memantapkan kekuasaan perjuangan menegakkan agama di dalam diri setiap kita. – HARAKAHDAILY 6/3/2016

*Artikel adalah untuk siri kolum ‘Terang Rembulan’ akhbar Harakah.