Sumber : Web JHEAINS

Seorang Ulama pernah berkata: “Barangsiapa mengetahui dirinya nescaya ia mengetahui Tuhannya.”

Maksud yang kita boleh faham daripada perkataan ahli Sufi ini ialah bahawa jika kita selidik dan memeriksa dengan menggunakan fikiran kita sedalam-dalamnya serta perhatikan dengan halus dan teliti akan tiap-tiap anggota badan kita, dan mempelajari apa faedahnya, bagaimana bentuk dan rupanya serta di mana letaknya nescaya kita akan nampak kehebatan Allah SWT. Allah SWT berfirman di dalam surah Adz Zaariyat, ayat 20-21:

Maksudnya: “Dan pada bumi ini ada banyak tanda-tanda (mengenai adanya Tuhan dan kebesaranNya) bagi orang-orang yang mahu percaya, dan begitu juga (tanda-tanda itu banyak boleh didapati) di dalam diri kamu sendiri. Tidakkah kamu melihatnya?”

Allah SWT menciptakan kita bermula dari setitik air mani. Setitik air mani ini tidak akan berharga jikalau Allah tidak memelihara, menghidupkannya dengan memberi segala keperluan untuk tinggal di dalam rahim ibu. Belum juga akan berharga sekiranya Allah tidak memudahkan baginya keluar ke atas bumi. Dan belum juga akan berharga kalau Allah tidak besarkan serta diberi akal fikiran.

Dengan akal yang Allah kurniakan kepada manusia, jadilah manusia itu raja, menteri, professor, doktor, jurutera, pensyarah, guru dan lain-lain yang pandai, kuat, kaya dan hidup bebas. Dengan akal fikiranlah, manusia berupaya meratakan gunung, membelah angkasa, menyelami lautan dan meneroka bumi semahu-mahunya.

Tetapi tidak selama-lamanya begitu, manusia tidak akan boleh semahumahunya mengikuti kehendaknya. Kita akan mati. Kita pasti mati. Sesudah mati, Allah SWT berjanji untuk menghidup dan membangkitkan kita kembali di hari Qiamat. Apakah alasan untuk kita tidak percaya akan janji Allah SWT ini? Siapakah kita untuk menolak kedatangannya? Allah SWT berfirman di dalam surah Luqman, ayat 28:

Maksudnya: “Tidaklah (susah) menciptakan dan membangkitkan kamu (dari dalam kubur) melainkan hanya seperti (mencipta dan membangkitkan) satu jiwa sahaja. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

Tujuan hidup dan mati telah ditentukan Allah. Persoalan mati untuk memberi semangat meneruskan hidup. Itulah sebenarnya skrip kehidupan buat Insan. Malangnya, manusia sering mencipta skrip hidup rekaannya sendiri. Skrip hidup ciptaan manusia pasti berakhir dengan kegagalan dan kemusnahan.

Fikirkan nikmat-nikmat Allah saat ini. Mata, telinga, kaki, tangan semuanya yang sangat penting untuk keperluan hidup, Allah kurniakan tanpa menagih bayaran satu sen pun daripada kita. Walhal harga sepasang kaki palsu beribu-ribu ringgit, gigi palsu juga mahal. Apatah lagi mata, telinga, hati, lidah dan akal yang Allah SWT kurniakan, tentunya memang tidak ternilai.

Dengan apa hendak dibalas pemberian yang begitu besar? Fikirkan pula apakah sudah kita berterima kasih kepada Allah? Sudahkah kita tunaikan suruhan-Nya? Sudahkah kita berhenti daripada membuat perkaraperkara yang dilarang-Nya? Sudah cukupkah bakti kita sebagai hamba untuk membalas kemurahan dan kasih sayang Allah yang Maha Pengasih ini? Lihatlah beras yang kita jadikan nasi.

Dapatkah pokok padi itu tumbuh dengan sendiri kalau Allah tidak turunkan hujan? Dapatkah manusia membuat air? Dapatkah manusia melubangi tanah dengan sehalushalusnya hingga akar pokok itu dapat menjalar mencari makanan dan minumannya? Manusia menanam tetapi Allah yang menumbuhkan.

Lihatlah juga bagaimana Allah tadbir manusia dengan ajaran-ajaran-Nya. Solat akan menjaga kita dari melakukan kerosakan dan kemungkaran. Zakat pula akan memastikan kekayaan dibahagikan dengan seadilnya. Puasa pula akan menjana sifat keihsanan dan ketaqwaan. Sesudah berfikir dan membuat kesimpulan, Insya Allah hati akan celik, hati akan nampak kewujudan, kemurahan dan kekuasaan Allah SWT.

Hati akan menyedarkan akal tentang perlunya Allah itu disembah. Hati akan mengarahkan kaki, tangan dan seluruh anggota lahir menunaikan perintah Allah dan berhenti daripada mengerjakan larangan-Nya. Kalau hati tidak berbuat begitu, patut sangat hati itu ditangisi, kerana butanya hati lebih parah daripada butanya mata.

Semoga dengan Ilmu dan pemikiran yang mendalam, diikuti dengan misi dan visi yang jelas dalam hidup akan membawa kita lebih dekat kepada Allah SWT. Insya Allah bila hati dan akal sudah celik, akan lebih mendalam kecintaan kita kepada allah dan rasulnya yang mulia. Kita akan lebih fokus terhadap apa yang perlu kita lakukan dengan penuh khusyuk, telus, yakin, redha serta sabar menghadapi rencah kehidupan.