Sumber : Web JHEAINS

Hakikatnya, banyak manfaat yang manusia boleh perolehi daripada al-Quran sama ada dengan membaca atau mengajarkannya. Prasyaratnya ialah umat Islam hendaklah terlebih dahulu menunaikan tiga hak asas terhadap Kalamullah itu.

Pertama, hak untuk membaca dan bertilawah kepadanya.

Kedua, hak untuk bertakbir atau memahami makna dan menjiwai kehidupan.

Dan Ketiga, hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya.

Dengan kata lain, umat Islam dituntut supaya mempelajari, membaca, menghayati dan mengamalkan alQuran yang menjadi sumber pedoman serta hidayat. Untuk ini, pengajian atau pengajaran/pembelajaran alQuran hendaklah dihidupkan dan disemarakkan dalam masyarakat. Ini selaras sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Orang yang paling baik di antara kalian ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.” (HR. Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi).

Kepentingan kelas pengajaran/pembelajaran al-Quran bukan sekadar melahirkan orang yang tahu membacanya sahaja. Pengajian al-Quran harus menjurus ke arah melahirkan Muslim yang mahu dan tahu memahami, memikirkan, menghayati dan mengamalkan ajaran yang terkandung di dalamn kitab suci yang maha agung itu. Ini sejajar dengan Hadith daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Al-Quran ini adalah hidangan Allah. Oleh itu hadaplah hidangan Allah ini sepuas hati kamu. Al-Quran ini adalah tali Allah (cahaya yang menjadi petunjuk), cahaya yang terang dan ubat yang mujarab, pengawal bagi orang yang berpegang dengannya, penyelamat bagi orang yang mengikutinya, sesiapa yang tersesat akan dipandunya, sesiapa yang menyimpang akan dibetulkan, keajaibannya tidak berhenti, keagungan dan kemanisan bacaannya tidak akan terjejas walau sekerap mana sekalipun dijulang. Bacalah kerana Allah akan memberikan kamu ganjaran jika kamu membacanya setiap satu huruf 10 ganjaran. Saya tidak katakan Alif Laam Miim sebagai satu huruf tetapi Alif (satu huruf), Laam (satu huruf) dan Miim (satu huruf)”. (HR. Al-Hakim).

Dengan berpandukan kepada mafhum Hadith tersebut, kita beroleh pengajaran bahawa seseorang yang rajin dan khusyuk membaca, menghayati dan mentadabbur ayat-ayat suci al-Quran akan beroleh pelbagai ganjaran. Selain beroleh pahala, membaca al-Quran juga boleh menambahkan ilmu pengetahuan dan meraih pertolongan Allah SWT. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah (Al-Quran) dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara berterang-terangan, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari limpah kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepada-Nya).” (S. Fatir: 29-30).

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.”

Sementara itu, Hadith daripada Abu Malik Al-Harith bin ‘Asyim Al-Ash’ari pula mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Al-Quran ialah hujah bagimu (membelamu) atau hujah ke atasmu (yang membinasakanmu).” (HR. Muslim).

Jelas daripada petikan ayat al-Quran dan Hadith Rasulullah tersebut, membaca al-Quran adalah jalan untuk mendapat ganjaran pahala dan syafaat (pertolongan) daripada Allah SWT. Inilah sebabnya maka dalam kehidupan seharian seorang mukmin, pengajian Al-Quran perlu dititikberatkan kerana melalui alQuran Allah memberi petunjuk kepada hamba-Nya untuk mencapai keredaan dan keselamatan.

Dan kerana al-Quran pula Allah mengeluarkan hamba-Nya daripada kegelapan kepada cahaya. Dengan membaca dan memuliakan al-Quran juga akan beroleh ketenangan dan rahmat dari Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Tiada suatu kaum yang berhimpun di dalam rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid) membaca kitab Allah (al-Quran) dan tadarus antara mereka melainkan akan diturunkan ketenangan ke atas mereka, disirami ke atas mereka rahmat, dikelilingi oleh para malaikat dan Allah menyebut-nyebut mereka pada sesiapa di sisinya.” (HR. Muslim).