Sumber : Web JHEAINS

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenalkenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujuraat: 13)

Allah SWT yang menjadikan manusia itu ada lelaki dan ada perempuan. Yang menjadikan manusia itu berbeza bangsa dan bahasa. Jika segala perbezaan antara lelaki dan perempuan, serta kelainan antara bangsa-bangsa yang wujud di dunia ini, kita anggap ia sebagai punca masalah, apakah kita mahu menisbahkan masalah kita kepada Allah SWT?

Jika hidup jadi susah kerana suami gagal memahami isteri kerana dia seorang perempuan. Dan jika seorang hidupnya jadi susah kerana gagal memahami jirannya kerana beliau berbangsa lain, apakah kesusahan itu juga salah Allah SWT? Na’uzubillahi min zalik..

Allah SWT menciptakan manusia itu berbeza jantina, berbeza bangsa dan budaya, bukan untuk mereka berbalah dan tenggelam dalam khilaf dan masalah. Sebaliknya atas satu tujuan yang besar: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan Yang lain).

Ya, segala perbezaan itu tujuannya adalah supaya manusia mengecam dan mengenal. Belajar antara satu sama lain. Kerana manusia sering menjadi musuh kepada apa yang dia tidak tahu. Misalnya: Perbezaan dalam dunia rumahtangga Mengurus sebuah rumahtangga tidak mudah untuk mencapai kebahagiaan, jika suami tidak dapat mengecam perbezaan cara berfikir dan cara bekerja isteri yang merupakan seorang perempuan.

Sebahagian daripada lelaki, hanyalah mahu menikmati dan tahu perbezaan fisiologi, perbezaan tubuh badan antara lelaki dan perempuan. Tetapi perbezaan akal, emosi, dan pertimbangan, suami sering sahaja mahu isterinya berfikir seperti dia, faham seperti fahamnya dia dan membuat keputusan seperti keputusan suami. Itu juga agak mustahil untuk dipenuhi.

Lelaki dan perempuan berbeza pertimbangan Wanita itu kekuatannya adalah pada emosi dan perasaan. Kerana itu biarpun tubuhnya tidak segagah seorang lelaki, Allah SWT menjadikan wanita sebagai pihak yang berkeupayaan untuk hamil mengandungkan anak selama 9 bulan di dalam perutnya.

Itu memerlukan kekuatan perasaan lebih daripada sekadar kekuatan fizikal yang mampu menanggung berat 10 atau 20 kilogram selama 9 bulan. Lelaki tidak layak untuk hamil kerana perasaan lelaki tidak sekuat perempuan. Justeru jangan dimusuhi perasaan wanita. Kerana perasaan itulah, ibumu lulus melahirkan kamu dan adik beradik kamu.

Namun wanita juga harus belajar untuk faham. Ketika perasaan menjadi kelebihan dirinya, akibat mengikut perasaan itulah juga sering menimbulkan kesulitan kepada suami, yang diciptakan Allah pertimbangannya lebih kepada akal. Jangan sering membebankan suami dengan kehendak perasaan.

Sebaliknya hargai suami yang biar pun kurang menunjukkan emosi, tetapi sering panjang akal fikirannya. Allah SWT memberi hak kepada suami sebagai pemegang amanah menguruskan TALAQ kerana suami sebagai lelaki ,harus panjang akal. Hitungannya mendalam. Fikirnya tidak mengikut keadaan dan perasaan. TALAQ musnah jika dikendalikan dengan emosi.

Justeru suami harus menyedari akan hal ini, demikian juga sang isteri. Kedua-duanya mesti belajar menguasai ilmu untuk kenal perbezaan di antara lelaki dan wanita. Di dalam al-Quran ilmu itu ada. Di dalam Sunnah ilmu itu luas. Di dalam ilmu-ilmu moden juga panduan sudah banyak dirumus dan dibukukan. Hanya tinggal kemahuan untuk belajar. Supaya jangan suami dan isteri terus bermusuhan dengan perbezaan yang dia tidak tahu, dan tidak bisa mengendalikannya.

Perbezaan dalam sebuah komuniti Demikian juga dengan perbezaan bangsa, bahasa dan budaya. Jika kita melihat kewujudan masyarakat majmuk ini sebagai punca masalah, maka ia akan terus memberi masalah kepada kita. Tetapi sebagai Muslim, kita sedar bahawa kemajmukan itu Allah SWT yang mengadakannya. Dan Allah tidak mencipta apa sahaja hatta seekor lalat sekali pun, tanpa sebab dan sia-sia.

Justeru kita harus kembali kepada tujuan tersebut dan mengambilnya sebagai tanggungjawab. Apa sahaja ilmu yang bisa membantu kita untuk lebih kenal dengan siapa jiran, siapa rakan dan siapa manusia yang berada di sekeliling kita, mesti diangkat sebagai ilmu yang fardhu untuk dipenuhi.

Lihat sahaja bagaimana kepelbagaian bangsa, memberikan pelbagai manfaat apabila ia diambil secara positif di dalam catatan Sirah. Umat Islam mengambil idea bangsa Parsi daripada Salman al-Farisi untuk menjaga keselamatan Madinah yang bakal diserang Tentera Ahzab, dengan membina parit besar di Timur Laut kota itu. Idea yang tiada dalam pemikiran bangsa Arab ketika itu, tetapi biasa di kalangan bangsa Parsi.

Demikian juga selepas berlakunya Perang Badar, tawanan-tawanan perang ditawarkan pembebasan dengan syarat kemahiran membaca yang ada pada mereka digunakan untuk mengajar anak-anak umat Islam. Selain anak-anak Muslim mendapat manfaatnya, pengalaman mengajar itu juga pasti memberikan kesan positif kepada diri tawanan perang tersebut.