Sumber : Web JHEAINS

Ibadah umrah secara relatifnya lebih mudah ditunaikan berbanding Haji kerana tiada kekangan kuota dan peraturan yang ketat. Saban tahun jemaah umrah dari Malaysia menunjukkan peningkatan yang sangat ketara. Bagi tahun 2013 sahaja seramai 230,000 orang telah mengerjakan umrah berbanding hanya sebanyak 28,000 jemaah yang menunaikan haji.

Berikutan permintaan yang tinggi untuk mengerjakan umrah dan tidak ada mekanisme kawalan yang komprehensif lagi efektif maka kes-kes penipuan berkaitan dengan pakej umrah juga didapati turut meningkat.

Statistik yang dikeluarkan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TPPM) menunjukkan peningkatan 100 peratus kes difailkan pada tahun 2013 iaitu 761 kes melibatkan kerugian berjumlah RM4.37 juta berbanding 2012. Malah jumlah taksiran kerugian terkumpul yang dilaporkan di TTPM dari tahun 2012 sehingga Ogos 2014 telah melebihi RM9.2 juta.

Mimbar pada hari ini akan memberikan pendedahan kepada masyarakat berkaitan penipuan pakej umrah, kaedah mengenali syarikat yang berlesen, saranan agama terhadap redha dengan ujian serta hak dan tanggungjawab penjual dan pembeli di dalam Islam khusus yang bersabit dengan muamalat pakej umrah.

Terdapat tiga bentuk penipuan yang utama telah dikenalpasti dalam kes-kes yang berkaitan dengan penipuan pakej umrah.

Pertama: Penipuan Dengan Niat Enggan Mengadakan Perkhidmatan

Kedua: Perkhidmatan Tidak Sama Seperti Yang Dijanjikan

Ketiga: Lain-Lain Penipuan Yang Berkaitan Dengan Pakej Umrah (Gores dan menang, cabutan bertuah, kad seumur hidup)

Dua punca utama dikenal pasti dalam peningkatan penipuan pakej umrah ini. Pertama adalah kerakusan pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menipu dan meraih untung; dan kedua adalah kelemahan pengguna sendiri yang mudah terpedaya dengan perangkap pakej umrah yang murah.

Terdapat juga kes di mana pada hari berangkat jemaah ini ditinggalkan di lapangan terbang. Sindiket ini mempromosikan pakej umrah melalui internet dan pelanggan hanya perlu mendaftar serta menjalankan transaksi secara atas talian. Sebaran maklumat hanya dibuat melalui whatsapp dan sms sahaja turut mampu menarik ramai mangsa kerana harga yang murah dan esklusiviti tajaan khas.

Taktik sindiket ini turut berubah dari masa ke semasa mengikut tempat dan kawasan yang disasarkan. Ada yang menggunakan tawaran menunaikan ibadah itu sambil berziarah dengan harga murah, malah adakalanya diberikan percuma. Di samping itu golongan yang tidak bertanggungjawab ini juga menggunakan alasan harga pakej umrah mereka lebih murah kerana ditaja oleh badan korporat, pemimpin politik, selebriti dan lain-lain sumber yang tidak dinyatakan dengan jelas.

Golongan ini sentiasa rakus mencari mangsa. Turut memburukkan keadaan adalah terdapat kes yang membabitkan urusniaga antara agensi tanpa lesen dengan syarikat berlesen untuk mendapatkan visa. Ini juga telah dikenalpasti sebagai salah satu punca menyebabkan penipuan semakin serius.

Memandangkan Visa hanya boleh dimohon oleh syarikat berdaftar dengan kerajaan Arab Saudi (Muassasah) sahaja, ada sesetengah pihak telah berkomplot dengan agensi berlesen untuk mendapatkannya. Apabila sebarang masalah berlaku kepada Jemaah, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab.

Bagi menangani masalah penipuan pakej umrah yang semakin meruncing, Kerajaan telah menubuhkan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) pada 28 Ogos 2014. Kerajaan dilihat komited dalam merangka strategi baharu dan memperkemaskan penguatkuasaan peraturan lama bagi menangani isu berkenaan umrah. Ini kerana isu ini membabitkan soal agama dan kemasalahatan umat Islam serta hubungan baik dengan Kerajaan Arab Saudi.

MKSU telah ditubuhkan untuk memberi fokus utama terhadap kawalan kes penipuan umrah dengan memperkenalkan syarat-syarat yang lebih ketat termasuk memperkenalkan lesen khas atau ‘sub license’ bagi syarikat pelancongan yang ingin menawarkan pakej umrah. Usaha ke arah membasmi penipuan pakej umrah secara tuntas turut dibincangkan di dalam MKSU.

Terma rujukan MKSU merangkumi:

i. Menetapkan mekanisme pengawalseliaan pengendalian pakej umrah;

ii. Merancang pelaksanaan kempen kesedaran kepada orang awam;

iii. Memantau status penguatkuasaan dan siasatan ke atas kes-kes penipuan secara bersepadu;

iv. Memantau pelaksanaan prosedur operasi piawai (SOP) yang disediakan oleh MATTA dan BUMITRA terhadap pengendalian pakej umrah; dan

v. Memantau pelaksanaan standard perkhidmatan syarikat pengendalian pelancongan dan agensi pengembaraan dalam mengendalikan pakej umrah.

MKSU turut menetapkan harga minimum pakej umrah pada kadar RM4900. Harga ini merupakan antara indikator asas untuk menentukan kesahihan sesuatu pakej umrah tersebut. Tiada mana-mana syarikat dibenarkan menjual pakej umrah di bawah RM4900.

Sebarang tajaan dan sumbangan yang diperolehi bagi mengurangkan harga pakej perlu mendapat kelulusan daripada MKSU terlebih dahulu sebelum diiklankan kepada orang ramai bagi memastikan pakej tersebut tiada sebarang elemen penipuan. Syarikat-syarikat berlesen juga tidak dibenarkan hanya menjual visa kepada syarikat lain tanpa sebarang pakej umrah yang sah. Ini bagi memastikan pengguna dan jemaah dapat dilindungi.