Sumber : Web JHEAINS

Ramai manusia hari ini semakin tersasar daripada landasan kehidupan Islami yang betul lurus. Akibatnya, godaan dunia yang mempesonakan menjebakkan mereka dalam kancah kerosakan akidah, akhlak dan kesejahteraan hidup. Antara sebabnya ialah sikap atau tabiat suka meniru budaya kuning yang menyalahi syariat agama.

Padahal, kita sudah diperingatkan oleh Rasulullah SAW supaya tidak sekali-kali terikut-ikut atau meniru perbuatan orang bukan Islam terutama perkara-perkara yang boleh menjejaskan akidah, akhlak dan kesejahteraan hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara. Ini sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud:

“Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka”. (HR Abu Daud).

Kita mengetengahkan isu meniru budaya yang menyalahi ajaran Islam pada hari ini mengingat bahawa menjelang bulan Febuari setiap tahun, focus kebanyakan golongan muda terarah kepada tanggal 14 Februari untuk meraikan Hari Kekasih atau Valentine’s Day. Ia dihangatkan lagi dengan iklan mengenainya oleh media massa yang mempromosi pelbagai acara yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu seperti restoran, hotel, kedai bunga dan lain-lain lagi.

Walaupun tradisi ini hanya disambut di Barat, tetapi kini pengaruh sambutan “hari mengingati kekasih” itu sudah meresap dalam masyarakat Islam di negara kita. Maka, bukan setakat memberi bunga dan hadiah kepada buah hati masing-masing, malah sampai ke tahap melakukan perkara-perkara yang menyalahi ajaran agama dan budaya tempatan. Kes-kes khalwat pasangan Islam yang belum berkahwin pada Hari Valentine adalah antara contoh jelas bahana sambutan tersebut.

Ketahuilah bahawa sesungguhnya perayaan Hari Kekasih atau Valentine’s Day haram disambut oleh umat Islam. Ini kerana, roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan sangat dilarang oleh Islam.

Dalam erti kata yang lain, menyambut atau meraikan Hari Kekasih adalah bertentangan dengan syarak. Ini selaras dengan ketetapan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 pada 22 hingga 24 November 2005, yang menjelaskan dengan keras dan tegas mengatakan Hari Kekasih daripada Kristian, wajib dijauhi dan dihindari umat Islam kerana ia boleh meruntuhkan akidah umat Islam.

Sebab itu, umat Islam dituntut supaya lebih berhati-hati dalam melakukan sesuatu yang boleh menyerupai kaum-kaum lain seperti halnya dengan meraikan Hari Kekasih. Ini kerana, perayaan berkenaan yang mempromosi menzahirkan cinta kepada pasangan yang bukan mahram dengan berdua-duan dan berhibur boleh dikira sebagai perbuatan yang menghampiri zina. Dan, perbuatan menghampiri zina sudah dilarang keras, apatah lagi melakukannya. Hal ini sejajar dengan firman Allah SWT di dalam al-Quran:

Yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (S. al Isra’: 32).

Dengan berpandukan kepada mafhum ayat tersebut, terdapat beberapa kewajipan yang perlu dilaksanakan umat Islam dalam isu Hari Kekasih ini. Antaranya ialah:

Pertama, Muslim tidak boleh menyambut Hari Valentine atau menyertai orang lain dalam sambutan berkenaan sama ada dengan menghadiri atau membantu mereka yang meraikannya.

Kedua, Muslim tidak boleh membantu sama ada umat Islam atau bukan Islam yang menyambutnya. Ini termasuklah menyediakan tempat sambutan, mengiklankan, menjual barangan yang berkaitan seperti kad ucapan, bunga, kek dan lain-lain kerana ia dikira bersubahat dengan mereka mempromosi melakukan kemungkaran.

Ketiga, seorang Muslim hendaklah mengingatkan saudara seagama akan larangan menyambut Hari Valentine.