Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/39755-membina-agama-dalam-diri

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | 31 Januari 2016.

Agama adalah paling bernilai dalam kehidupan ini. Ia paling diperlukan terutama ketika ia dilihat paling tidak diperlukan. Ketika manusia dalam kemabukan dunia yang melekakan, hanya agamalah yang mampu menariknya keluar dan menyelamatkannya daripada terjunam ke lembah kecelakaan yang dalam.

Agama adalah nilai diri yang sebenar. Ia mendahului akhlak, apatah harta dan pangkat. Pada pandangan pertama, manusia dilihat dan dinilai pada kedudukan lahiriyahnya seperti kekayaannya dan kedudukannya. Tetapi lama kelamaan mereka dibenci kerana akhlaknya buruk. Masyarakat perlukan hartawan yang dermawan dan budiman.

Tetapi akhlak yang baik akan buntu di hujung tanpa sampai ke puncak yang diimpikan manusia. Akhlak menghubungkan sesama manusia untuk berkongsi kehidupan dengan sejahtera. Tetapi manusia yang saling memerlukan itu akan mendapati diri mereka juga saling tidak mampu memberikan semuanya.

Pertama, ke mana hujung akhlak ini? Adakah ia berakhir dengan kematian dan kemudiannya, kehidupan ini diwarisi oleh generasi lain? Kedua, bagaimana berhadapan dengan kumpulan manusia tanpa akhlak? Kita membina tetapi mereka pula datang menghancurkan apa yang kita bina. Persoalan yang akan timbul ialah mengapa akhlak yang baik selalu berhadapan dengan pembalasan yang buruk? Mana keadilan? Bukankah baik dibalas baik dan buruk dibalas buruk?

Kegagalan mendapat jawaban untuk persoalan pertama dan kedua akan merosakkan kebahagiaan dalam diri. Manusia mahukan jawaban yang jelas, kukuh dan membahagiakan dirinya. Tetapi sebagaimana harta dan kedudukan gagal memberi jawaban, begitulah akhlak yang mulia juga, walaupun bernilai tinggi, ia tetap gagal memberi jawaban.

Di situlah nilai agama. Ia adalah jawaban kepada kehidupan ini. Untuk soalan pertama, ugama berkata, hujung akhlak yang baik adalah balasan yang baik menanti daripada Allah. Allah mahu melihat hati manusia yang hebat sebagaimana diciptakanNya. Dia mahukan manusia membangun kehidupan dengan akhlak mulia yang lahir dari hatinya yang hebat.

Untuk jawaban kedua, agama menjawab, tiada sebarang kerugian pada kehancuran binaan yang baik akibat kejahatan akhlak manusia. Buruk akan menerima balasan buruk sebagaimana baik dibalas baik jua. Agamalah yang memberi jawaban penuh isi dan membahagiakan. Manusia tidak pernah merasa sia-sia dengan apa yang disumbangkannya dalam kehidupan walaupun tidak disyukuri manusia yang lain.

Agama dengan itu adalah kepuasan hidup. Kepuasan adalah kemuncak yang manusia mahukan daripada kehidupannya. Saat matinya, seperti diungkapkan, matanya tertutup rapat merelai kematian dan selamat tinggalnya kepada kehidupan dunianya.

Itulah agama. Akhlak adalah pembalasan dan terima kasih sesama manusia. Adapun agama, ia adalah ganjaran dan terima kasih dari dalam diri sendiri kepada diri sendiri. Agama yang dimilikinya memberitahunya, terima kasih di atas kehidupanmu yang hebat!

Maksudnya, ugama adalah wujud Allah di dalam dirinya. Allahlah yang berkata, terima kasih hambaKu. Aku adalah tuhanmu yang maha bersyukur. Kemudian Allah berkata lagi di dalam diri, Aku adalah tuhanmu yang akan membalas kejahatan manusia ke atas dirimu. Aku adalah tuhan yang maha membalas.

Begitulah agama membina manusia. Ia memberi nilai dan markah kepada semua sumbangan baik manusia kepada diri dan kehidupan. Ia menolak kesia-siaan. Justeru seperti disebut pada awal tadi, agama adalah paling bernilai dalam kehidupan ini.

Apakah agama? Bagaimana pula agama dibina? Ya, ia soalan awal paling utama.

Agama adalah satu. Ia mesti daripada sang pencipta. Pencipta alam ini adalah satu. Justeru agama adalah satu kerana ia adalah jalan penghubung antara al khalik dengan al makhluk (pencipta dan ciptaannya).

Maka ia mestilah datang dari Allah. Dialah pencipta alam ini dan pemiliknya. Oleh kerana Allah tidak dapat dilihat di alam zahir ini dengan mata kasar, Dia telah mengutuskan utusanNya untuk membawa ugama kepada manusia. Para rasul adalah ramai, bertali arus diutuskan mereka dengan kehendak Allah yang serba tahu perihal dan hajat manusia pada sepanjang masa dan ketika.

Maka ugama mestilah diterima oleh manusia sebagaimana asalnya. Ia bukanlah hasil akalan manusia. Ia tidak boleh diubah suai sehingga mengganggu dan merosakkan keasliannya. Akal pula bertindak menggerakkannya agar diterima dan berperanan dalam kehidupan.

Justeru di antara kalam ulama yang menjadi kaedah besar di dalam pengajian ugama ialah kata-kata Muhammad Ibn Sirin rahimahulllah, ‘Sesungguhnya ilmu ini adalah ugama. Maka hendaklah kamu melihat, daripada siapakah kamu mengambil ugama kamu itu?’

Ia adalah peringatan yang mensyaratkan dan mengisyaratkan keaslian dan kebenaran di dalam menerima dan membina ugama di dalam diri. Menokok tambah ugama dengan ilmu dan maklumat yang salah akan merosakkan ugama dan penganutnya. Ia seperti kerosakan komponen enjin di dalam sebuah kereta. Ia akan menggendalakan fungsi seluruh komponen yang lain.

Agama asasnya adalah mengenal Allah dan mengenal arahan dan laranganNya. Mengenal Allah adalah ilmu tauhid. Ia ilmu yang paling suci yang tidak boleh dicampur sebarang kesalahan yang boleh mendatangkan kesyirikan terhadapnya.

Mengenal arahan dan larangannya adalah ilmu ibadah kepadaNya. Ia juga ilmu yang tidak boleh dicampur aduk dengan arahan dan larangan daripada manusia. Jika tidak, ia juga membawa kesyirikan.

Adalah nyata hari ini bahawa umat Islam gagal menerima pakai peringatan ini. Agama mereka adalah mengikuti apa yang mereka fahami, bukan mengikut kehendak Allah melalui kaedah wahyu dan kerasulan yang diciptakannya.

Berlaku campur aduk antara ajaran wahyu yang asli dan hasil akalan manusia yang cuba mencorakkan ugama. Akhirnya sebahagian besar masyarakat mengamalkan Islam yang salah tanpa sumber yang benar dan kukuh.

Justeru adalah penting untuk setiap kita melihat kepada sumber agama dan ilmunya yang kita perolehi. Ia mesti jelas daripada al Quran dan al Sunnah. Ia mestilah daripada guru atau ulamak yang berkaliber.

Jangan diambil agama ini dari sumber yang berdasarkan kemasyhuran dan keramaian. Ia kadang-kadang menjadi punca kerosakan dalam memahami agama. Semoga kita kembali kepadaNya dengan Allah meredhai kita dan kita meredhaiNya. – HARAKAHDAILY 31/1/2016

* Artikel ini adalah untuk siri kolum ‘Terang Rembulan’ akhbar Harakah