Sumber : http://www.m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/39748-jawapan-tghh-tidak-semestinya-a-atau-b

ALANG IBN SHUKRIMUN | 31 Januari 2016.

TOK Guru saya (Ayah Chik) pernah ajar, sebagai pendakwah yang terlibat dibidang politik macam kita, kalau orang tanya soalan tak semestinya kita kena jawab mengikut kehendak mereka. Kena pandai menjawab agar kita selamat dan mesej yang kita bawa, sampai.

Ada yang bertanya memang mahu tahu, tetapi soalannya sangat komplikated. Kadang-kadang ada yang bertanya sudah tahu jawapan, tetapi bertanya hanya untuk memperkena atau memerangkap kita. Soalan mereka untuk mendapatkan jawapan yang boleh diputarbelit. Dia mahu kita jawab ya atau tidak, A atau B sahaja. Kalau jawab A pun tak kena, jawab B pun tak kena. Wartawan sangat mahir dengan helah sebegini.

Kini ternyata seluruh usia yang beliau korbankan telah mengajar banyak ilmu pengalaman untuk berhadapan dengan berbagai cabaran soalan. Puluhan tahun mencurah keringat dan darah gelanggang ini adalah guru terbaik untuk mempertingkatkan kebolehannya sebagai daie dan negarawan.

Antara kisah yang mengujakan ialah ketika wakil Whitehouse datang berjumpa dengan semua pemimpin parti pembangkang. Waktu itu, PAS masih dalam PR. Tok Guru kita ditanya oleh mereka, kalaulah PR memerintah Malaysia, PAS mahu pilih siapa jadi Perdana Menteri?

Soalan perangkap. Jika Tok Guru menjawab dirinya sendiri, sudah tentu orang mainkan bahawa dia gila jawatan dan melanggar prinsip PR yang sentiasa membuat keputusan secara konsensus. Jika dia jawab dari parti lain pula, tentunya sangat memberi kelebihan buat parti lain walaupun mereka tidak memiliki kekuatan tersebut. Ahli juga akan berantakan dan kecewa.

Namun Tok Guru dengan pantas melontar kembali bom tangan yang cuba diletupkan ke arah PAS. Beliau bertanya kembali pada wakil Amerika, “habis, siapa yang Amerika mahukan?”

Wakil Amerika terkedu tanpa jawapan. Mereka terus mengalih kepada isu-isu lain. Akhirnya topik tersebut dilupakan begitu sahaja.

Teringat pula kehebatan Syeikh Muhammad Al-Ghazali ketika ditanya, apa hukumnya seseorang yang tidak mengerjakan solat?

Jawab Syeikh berjiwa murabbi dan daie itu,

“Hukumnya adalah kamu perlu membawa ke masjid, dan mengajarnya solat! Kita pendakwah, bukan penghukum.”

Satu lagi kisah tentang Tok Guru kita ialah ketika Liqa Fikr di Selangor semalam. Ada seorang peserta menyatakan kerakusan DAP semakin menjadi-jadi di Penang. Lebih rakus dari BN dahulu dan mungkin akan bertambah rakus jika masih menang pada PRU13. Maka soal beliau bolehkah kita membantu memenangkan BN terutama untuk membela nasib Melayu dalam situasi tersebut?

Soalan ini juga sukar. Jika dikatakan ya, maka akan kelirulah ahli kononnya PAS mengiktiraf kerakusan yang pernah BN lakukan. Jika dijawab tidak, maka seolah PAS menyokong DAP pula.

Maka Tok Guru memberikan sebuah kata-kata yang menenangkan semua kerunsingan ahli PAS di sana. Juga satu ungkapan motivasi seorang murabbi haraki buat seluruh abnaul harakah. Jawabnya:

“Jangan fikir kalau DAP menang. Jangan fikir kalau BN menang. Kita harus fikir kalau PAS yang menang. Bekerja dalam keadaan bersungguh dan yakin bahawa PAS akan menang. Jangan pedulikan parti lain. Jangan ingat DAP akan kuat sampai kiamat. Dia pun ada pasang surutnya. Yakinlah Insya-Allah PAS akan memerintah Malaysia pula.”

Secara automatik, takbir bergema membingit dewan, menandakan roh perjuangan yang ditiup Tok Guru sudah meresap ke jiwa para peserta. Jawapan yang ringkas, tetapi lekas memperbetulkan set minda.

Allahuakbar. Ideologue ini bukan sekadar petah ‘memberitahu’ apa yang perlu dilakukan, bahkan turut ‘menunjukkan’ cara bagaimana ia perlu dilakukan. Berkat gigih usahanya mendidik ummah, moga lahir lebih ramai orang hebat sepertinya untuk generasi akan datang. Dunia Islam masih tagihkan ramai rijal sehebatnya! – HARAKAHDAILY 31/1/2016