Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/39702-pas-dan-pemugaran-sistem-pendidikan-pondok

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 27 Januari 2016.

Institusi pondok mengalami sedikit kemerosotan dalam dekad 1960-an dan dekad 1970-an akibat modenisasi yang melanda negara ini dan krisis keyakinan terhadap Pendidikan Islam yang dianggap tidak komersil seperti mana disiplin ilmu yang lain.

Pendidikan pondok dianggap tidak berdaya saing dan tidak menjanjikan mobiliti sosial. Sistem nilai dan cara hidup barat yang liberal telah meresapi cara hidup dan cara pandang orang Melayu di negara ini. Bahkan di sekolah-sekolah kerajaan sendiri, jumlah calon yang mengambil subjek Pendidikan Islam dalam peperiksaan awam sangat merosot.

Kaum Melayu mengambil sikap sambil lewa terhadap Pendidikan Islam dalam dekad 1970-an, contohnya dalam tahun 1972 terdapat hampir 40,000 orang bumiputera yang tidak mengambil pelajaran agama Islam di dalam peperiksaan SRP dan 8996 orang calon peperiksaan pula tidak mengambil subjek ini dalam SPM dan MCE. Angka-angka ini menunjukkan samada Bumiputera tersebut tidak mempelajari langsung agama ataupun mereka hanya mengambil sambil lewa sahaja pelajaran tersebut kerana tidak ada kena mengena dengan peperiksaan mereka. Kedua-dua ini memberikan kesan yang tidak baik dari segi kualiti dan kuantiti agama Bumiputera (Harun Din: 1980).

Pendidikan Islam termasuk pendidikan pondok mula mendapat nafas baru apabila berlakunya kebangkitan Islam yang bersifat fenomena di seluruh dunia. Serentak dengan kesedaran untuk mengembalikan kesedaran dan kemuliaan Islam, seruan supaya Pendidikan Islam dimartabatkan kembali berlaku serentak dengan permintaan yang tinggi peserta-peserta kebangkitan Islam untuk mendapatkan ilmu-ilmu Islam. Sekolah-sekolah pondok di negara ini mula bertenaga kembali, bahkan mula menawarkan kemahiran teknikal yang lain seperti asas perniagaan.

Di Kelantan, dengan kemenangan PAS pada tahun 1990, menyaksikan sekolah-sekolah pondok yang sedia ada mengalami penyuburan dan ransangan daripada kerajaan negeri. Antaranya dengan penubuhan Pusat Pembangunan Pondok, bantuan ‘one off’, penubuhan pondok moden di Kandis, Bachok. Kelantan selepas tahun 1990 menyaksikan juga penubuhan pondok-pondok baru di seluruh negeri itu.

Di samping itu, kerajaan Negeri Kelantan juga menyediakan sumbangan kepada pusat-pusat pengajian pondok. Ini dilakukan sebagai mengenangkan jasa yang telah disumbangkan oleh pusat pengajian tersebut dalam mengembangkan agama Islam. Ia juga berperanan memastikan Islam itu sentiasa terpelihara sebagai warisan dari generasi ke generasi sehingga ke hari ini.

Terengganu juga menyaksikan sekolah-sekolah pondok sebagai tempat PAS berkembang. Antaranya Pondok Alor Keladi, Pondok Tok Jiring, Pondok Kuala Ibai, Pondok Losong dan beberapa buah  lagi pondok yang lain.

Kerajaan PAS di Terengganu juga sepanjang pemerintahan singkatnya (1999-2004) telah mengambil usaha untuk membantu pondok-pondok tradisional yang sedia ada di negeri itu. Kerajaan negeri telah memberikan bantuan kepada pelajar pondok seperti bantuan zakat melalui MAIDAM. Beberapa pondok seperti Pondok Kuala Ibai telah dibantu melalui bantuan ‘one off’ serta bantuan zakat untuk pelajarnya melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Di tanahair kita dan di rantau yang tercinta ini, institusi pendidikan agama tumbuh di zaman penjelajahan dengan nama pondok, pesantren dan sekolah-sekolah agama rakyat (SAR), dengan melahirkan pemimpin-pemimpin di semua peringkat, daripada pemimpin di peringkat kampung yang bergelar lebai, imam, bilal sehinggalah di peringkat lebih tinggi sebagai pemimpin politik Islam yang menerokai perjuangan menentang penjajahan dengan segala cara dan jiwa raga. – HARAKAHDAILY 27/1/2016

Penulis adalah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Tarbiah Pusat.