Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/presiden/39682-mengapa-tppa-wajib-ditolak

FIRMAN Allah SWT: “Telah zahirlah keburukan di darat dan laut dengan sebab apa yang telah diusahakan oleh tangan manusia sendiri, supaya dirasakan kepada mereka sebahagian daripada perbuatan mereka, mudah-mudahan mereka kembali kepada kebenaran” (Ar-Rum: 41)

Sebenarnya, pengertian Globalisasi (al-‘Awlamah) adalah hampir sama dengan nilai Kesejagatan (al-‘Alamiyyah) yang dibawa oleh Islam, sebagaimana disebutkan dengan jelas dalam Al-Quran: “Dan tiadalah Kami mengutus kamu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam” (Al-Anbiya’: 107).

Namun, globalisasi dalam gambaran yang sangat ketara pada hari ini bererti membaratkan dunia (Westernisation) atau mengamerikakan dunia (Americanisation), dengan tujuan untuk menguasai dunia di bawah satu ungkapan yang lunak iaitu Globalisasi bagi menjayakan agenda pemaksaan pengaruh Amerika dan Eropah ke seluruh dunia.

Kini dunia hanya mengenali dua pendekatan ideologi ekonomi, sama ada dalam satu negara atau antara negara, iaitu sama ada Liberal Kapitalisma atau Sosialisma. Abad yang lalu kita menyaksikan keruntuhan ideologi sosialisma, sehingga kuasa besar yang mendukungnya paling ekstrem seperti China dan Rusia serta negara ikutannya melakukan pembaharuan kepada ekonomi bebas yang didukung oleh Liberal Kapitalisma, sehingga yang dikatakan tabir besi dahulu sudah tidak ada lagi, kerana semuanya sudah bergerak kepasaran bebas dalam aspek ekonomi.

Kini kita menyaksikan tanda-tanda kegagalan liberal kapitalisma dengan krisis ekonomi dunia yang kita juga ikut menumpang dan terpalit. Maka diciptakan gagasan baru bernama TPPA, yang arkiteknya ialah Amerika, yang tidak boleh diberi keyakinan dapat menyelamatkan ekonomi dunia, bahkan menjadi salah satu punca masalah. Kalau kita menumpang bahtera ini kita akan bersama melakukan kesilapan yang sama dan tenggelam bersama.

Kita sama-sama mengikuti ucapan Presiden Obama ketika menjelaskan kepentingan TPPA kepada ekonomi Amerika. Jelasnya, TPPA akan menjadi penyelamat kepada ekonomi Amerika dengan menjadikan peraturan perdagangan yang mereka tulis sebagai terma yang dipaksakan ke atas negara anggota blok TPPA bagi membantu Amerika berdepan dengan perkembangan mendadak ekonomi negara besar China.

Ini dapat dilihat berdasarkan negara anggota TPPA yang merentasi beberapa benua bermula dari lautan Hindi ke Pasifik dan turut melibatkan negara anggota Asean seperti Malaysia, Singapura dan Brunei. TPPA ingin mengukuhkan geopolitik dan pengaruh Amerika di Asia Pasifik dan Laut China Selatan. Lebih-lebih lagi, kedudukan Malaysia yang strategik amat penting untuk Amerika menguasai sebahagian Selat Melaka dan kawasan tertentu di Laut China Selatan.

TPPA adalah gagasan perdagangan berkonsepkan Liberal Kapitalisma yang diketuai oleh barat yang pernah menjajah dengan gabungan kuasa ekonomi, politik dan ketenteraan yang pernah membawa penderitaan ke seluruh pelusuk dunia. TPPA adalah pembaharuan daripada Syarikat Hindia British dan Belanda yang pernah menakluk rantau ini, menjajah tanah air, memperhambakan rakyat, dan mengangkut hasil buminya.

Hujah ini dikuatkan apabila merujuk kepada artikel 25.7 Perjanjian TPP menyebut negara anggota TPPA perlu lebih telus dan bertukar-tukar maklumat negara. Kita kena sedar ini satu bahaya besar terhadap keselamatan negara dan membuka ruang kepada ancaman kuasa asing. Sejauh manakah Kerajaan Malaysia mampu mengawal maklumat negara dari diserahkan kepada negara luar secara ‘halal’ sedangkan negara anggota terpaksa akur dengan langkah perundangan? Benarlah TPPA akan membuka ruang kepada kuasa asing mencampuri urusan dalaman negara dan menjajah negara bermula dengan penguasaan ekonomi.

Ideologi Liberal Kapitalisma masih menjadi ideologi yang dianut, maka perjanjian yang dimeteraikan oleh gagasan ini tetap berkonsepkan ekonomi bebas yang tidak beriman dan budiman, kerana konsep ekonomi bebas walau pun berpakat, tetap berpandukan siapa cepat dia dapat, di atas nama menggalakkan kemajuan ekonomi.

Di samping itu, Langkah Perlindungan Sementara yang diperuntukkan hanya untuk tempoh maksima 3 tahun sahaja. Selepas tamat tempoh itu, tiada lagi perlindungan dibenarkan untuk melindungi industri tempatan dan pampasan mestilah dibayar kepada pihak yang terjejas. Kesan daripada Perjanjian TPP ini boleh membunuh industri tempatan.

Pakatan ini, kita yang diajak, serta dengan draf perjanjian yang disediakan, bermakna kita berpijak di atas asas landasan yang dibina oleh mereka yang mengajak, dengan syarat-syarat dan tawaran yang mungkin sangat menarik hasilnya pada zahir. Tetapi dalam perlumbaan berkonsepkan liberalisma ekonomi, sudah tentu lapangannya lebih berpihak kepada mereka, kita hanya sekadar menumpang kelajuan kenderaannya yang lebih besar dan canggih jenteranya, lebih laju perjalanannnya dan sudah pasti kita bukan pemandunya yang asasi, apabila aset mereka lebih besar, modal mereka lebih besar, pasaran mereka lebih besar.

Ini terbukti apabila tidak semena-mena, dalam tempoh dua tahun selepas perjanjian berat sebelah ini ditandatangani, kita terpaksa meminda tidak kurang daripada 26 akta dan beberapa pekeliling atau aturan kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri, supaya mematuhi segala peraturan yang terkandung dalam TPPA (patuh-TPPA). Inilah satu bentuk penjajahan undang-undang dan ekonomi yang berselindung di balik tirai pemulihan demokrasi dan keterbukaan ekonomi, yang wajib kita selaku Ahli Dewan Rakyat mempertahankan kedaulatan negara tercinta ini.

Ya!, kita akan mendapat limpahan ekonomi yang kaya raya dengan sebab menumpang, tetapi percayalah bahawa kita laksana kolam kecil yang membekalkan air untuk kolam tasik yang besar melaut, akan menjadikan air kita surut kering, kalau disedut, atau apabila dibuka tanpa sempadan air pasang tasiknya boleh menggelamkan kita sehingga mati lemas.

Segala-galanya berlaku nampaknya mudah di atas kertas, kerana Amerika yang menjadi arkitek utama perjanjian ini menjanjikan gagasan ekonomi alaf baru, berbeza dengan yang berlaku selama ini, kerana dikatakan sangat membantu negara anggota. Pihak kita pula terus berkempen bahawa syarikat-syarikat tempatan akan menembusi pasaran antara bangsa. Kebenarannya, percayalah bahawa ia akan bergantung kepada kemampuan kita berlumba dan bertanding dengan syarikat-syarikat gergasi, kerana sifat perlumbaan adalah konsep ekonomi liberal kapitalisma, ditambah pula dengan tidak ada akhlak.

Malangnya lagi, Malaysia sudah tidak lagi boleh menentukan dasar cukai dan duti, walaupun untuk kepentingan sendiri. Merujuk kepada perjanjian TPP, hanya diperlukan dua negara asing untuk memohon supaya duti Malaysia dikurangkan dan Malaysia mesti akur dan patuh. Malaysia juga harus memberikan layanan kepada pelabur asing setara dengan layanan yang diberikan kepada pelabur rakyat Malaysia, sama rata dan tiada pilih kasih.

Malah, hasil analisa pihak Price Waterhouse Coopers (PWC), konsultan yang dilantik kerajaan bagi menjalankan kajian kos dan manfaat ekonomi terhadap Malaysia mendapati kesan TPPA kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia tidaklah terlalu signifikan – hanya menyumbang kenaikan 1.1% KDNK dan kenaikan 0.9% eksport negara pada 2027, satu lonjakan yang sangat rendah dan tidak signifikan kepada ekonomi negara yang perlu berkembang pada kadar 5%-7% setahun.

Di samping itu, kajian PWC mendapati tiga sektor yang bakal mendapat kesan negatif adalah industri yang menghadapi persaingan yang lebih sengit pasca-TPPA seperti minyak & gas, minyak sawit, dan pembinaan, di mana sektor ini merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara dan dikuasai syarikat Bumiputera.

Manakala, tiga sektor yang bakal mendapat manfaat pasaran terbuka di bawah TPPA kelak adalah perniagaan yang berorientasikan eksport seperti tekstil, komponen automotif, dan elektrikal & elektronik, di mana sektor ini kebanyakannya dikuasai firma Amerika Syarikat dan Eropah.

Semua syarat-syarat perjanjian adalah ditulis oleh mereka untuk mendapat persetujuan kita, walaupun kita boleh tidak bersetuju, tetapi tentu sahaja perundingan yang sebegitu besar jangkauannya itu mempunyai agenda tersembunyi oleh kuasa besar. Kerisauan ini adalah berasas apabila meneliti perjanjian TPP yang menyebut tentang satu entiti Penyelesaian Pertikaian Negara-Pelabur (ISDS) akan memberi kesan dan membuka lebih ruang untuk Kerajaan Malaysia disaman dengan alasan “keadilan dan kesamarataan”.

Langkah-langkah perundangan yang terpaksa diakur oleh kerajaan Malaysia apabila TPPA dilaksanakan juga adalah bercanggah dengan prinsip perundangan antarabangsa yang sepatutnya bersifat sukarela dan atas dasar kontrak moral. Ditambah pula, ia nanti akan dikawal oleh undang-undang perdagangan antara bangsa dan mahkamahnya adalah laksana sarang labah-labah. Akhirnya hanya dapat menghukum syarikat syarikat kecil dari negara kecil seperti kita. Apakah jaminan negara besar yang menjadi anggota boleh mematuhinya dan bersedia diambil tindakkan undang-undang yang adil?.

Adalah lebih berhikmah kita membina gagasan ‘Masyarakat Madani Global’ bersama negara serantau (Agenda 1-Asean) dan sesama negara Islam (Agenda 1-Ummah) dengan konsep kita yang adil dan saksama. Kita bina kekuatan sendiri terlebih dahulu dengan sumber kita, kemudian boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja di seluruh pelusuk dunia, timur dan barat, bukan sahaja terikat dengan pintu TPPA bahkan lebih banyak pintu yang boleh dimasuki dan dibuka tanpa ikatan dengan sesiapa.

Adalah lebih baik diperkenalkan konsep Islam kepada dunia, setelah kegagalan sosialisma dan tanda kelemahan liberal kapitalisma. Di antaranya ialah penyakit muamalah riba, senjata zionis yang sedang meruntuhkan ekonomi Amerika sendiri. Inilah Firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. (Al-Baqarah: 278-279)

Inilah kerja Tabung Kewangan Antara Bangsa (IMF) yang dibayangi Zionis dan inilah juga urusan institusi kewangan yang memangkin TPPA bersama Amerika. Maka TPPA adalah ibarat menjadikan negara anggotanya laksana tongkat untuk berdepan dengan krisis ekonomi dan berdepan dengan gagasan kuasa besar ekonomi yang baru iaitu China, Rusia dan kumpulannya dalam gagasannya, bukan untuk berpakat secara saksama dan adil.

Sepatutnya kerajaan kita menunaikan yang wajib terlebih dahulu daripada sumber sendiri, iaitu mengolah hasil bumi kita dengan baik, dan bumiputera yang menjadi sumber manusia terbesar, tetapi masih terkebelakang kerana program pembangunan manusia yang salah, sehingga kaum bumiputera masih ketinggalan, walaupun sudah merdeka lebih daripada setengah abad.

TPPA tidak mampu menjadikan sumber kita untuk kemajuan kita sendiri, tetapi lebih menjadi khadam atau abdi sekali lagi kepada pihak yang lebih besar dalan konsep ekonomi liberal ini. Pembahagian kelas masyarakat dalam negara kapitalis juga menjadi acuan dalam masyarakat antara negara. Mereka sudah membahagikan kepada Kumpulan Negara Maju dan kumpulan yang dinamakan sedang membangun, dalam konsep kapitalis tetap meneruskan sumber kekayaan berpusing di kalangan yang kaya dan maju sahaja. Al Quran menyebut:

“Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.” (Al-Hasyr: 7)

Sepatutnya negara bekas tanah jajahan ini sedar dan insaf, betapa peranan yang zalim daripada negara bekas penajah, sejak zaman mereka memerintah kita secara langsung, sehinggalah selepas dikatakan kita sudah merdeka dan diletakkan di dalam bakul bekas jajahan dengan berbagai nama yang disenaraikan dalam negara sedang membangun yang tidak diizinkan bangun sendiri.

Bersamalah kita selaku Ahli Dewan Rakyat yang bertanggungjawab ke atas kepentingan negara, menghalang sebarang bentuk campurtangan asing dalam menentukan urusan politik dan ekonomi tanah air, dengan menolak usul penyertaan Malaysia ke dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik ini, demi masa depan negara dan generasi akan datang.

Saya sangat yakin akan kemampuan kita untuk berdiri di atas kaki sendiri, dan begitu optimis terhadap kebolehan yang ada di kalangan generasi muda negara, untuk mencorak kejayaan di abad ini dan melakar kecemerlangan di masa akan datang, mengikut acuan dan kebijaksanaan kita sendiri. – HARAKAHDAILY 26/1/2016

Ucapan Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada persidangan khas Dewan Rakyat mengenai TPPA pada 26 Januari 2016.