Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/39666-surah-al-ashr-menolak-kerugian

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | 25 Januari 2016.

Surah al Asr adalah antara surah al Quran yang amat bermakna walaupun ianya pendek sahaja, sekadar 3 ayat. Ia sepertilah surah al Ikhlas, pendek tetapi penuh makna dan isi. Bahkan, pendek itulah sebenarnya menjadi satu isyarat daripada Allah agar manusia mentadabburnya pada setiap patah perkataan yang diturunkan olehNya itu.

Imam al Syafi’ie rahimahullah telah berkata bahawa jikalah manusia mentadabbur surah ini dengan baik, ia sudah cukup bagi mereka untuk memahami dan menginsafi kehidupan beragama.

Ia surah Makkiyyah, diturunkan di Mekah sebelum penghijrahan baginda ke Madinah. Ia mengandungi satu pernyataan yang jelas mengenai inti ugama Islam yang kembali bertapak di Mekah melalui perutusan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam selepas agama tauhid itu ditelan zaman beribu tahun selepas pembinaan kaabah oleh datuk kita nabi Ibrahim alaihissalam.

Ia menegaskan pernyataan bahawa tanpa Islam, kehidupan manusia di dunia adalah satu kerugian. Kerugian sepenuhnya tanpa untung dan laba sedikit pun. Ia pernyataan dan deklarasi yang jelas dan keras. Manusia semuanya hidup dalam kerugian kecuali dia adalah muslim yang beriman dengan Allah dan melaksanakan tuntutan imannya itu dalam kehidupan.

Perhatikan kekuatan pada patah-patah perkataan dan ayat surah ini:

Demi masa,
Sesungguhnya manusia,
Berada dalam kerugian,
Kecuali mereka yang beriman,
Dan mereka beramal soleh,
Dan saling berpesan sesama mereka Dengan al haq (kebenaran)
Dan saling berpesan sesama mereka Dengan kesabaran.

Allah bersumpah dengan masa. Masa berjalan setiap saat dan detik penuh bernilai. Setiap kita dikurnia masa dan diberi ajal atau penamatnya. Ia sungguh bernilai dan tiada lagi senilainya. Ia seperti bekas atau kapsul yang mengisi pergerakan dan amal buat manusia, samada baik atau buruk. Apabila bekas itu penuh, maka ia ditutup. Tiada lagi amal selepas itu. Dilubang kubur nanti, kapsul dibuka pada tayangan pertama kali dan manusia melihat amalnya satu persatu, baik dan buruk, untung dan rugi.

Masa seperti emas. Ia modal kehidupan daripada Allah. Setiap detik berlalu adalah modal yang dihabiskan untuk memburu kehidupan terbaik. Setiap detik berupa modal itu mampu menghasilkan laba berganda untuknya. Ia sebaliknya juga boleh menghanguskan modal itu, bahkan lebih menakutkan, ia mungkin saja menanggung hutang pula.

Setiap hari, adalah perniagaan dan untung rugi. Seperti sabda al Rasul: “Setiap manusia berpagi, lalu dia meniagakan dirinya. Dia samada membebaskan dirinya (beroleh laba) atau menghancurkannya (menanggung rugi).”

Masa juga diibarat seperti pedang. Ia samada kita libaskan untuk kegunaan dan keuntungan kita atau kita biarkan ia melibas kita dan mendatangkan kerugian teruk ke atas kita.

Dengan masa, Allah bersumpah bahawa manusia semuanya di dalam kerugian. Masa yang menjadi modal kehidupan itu hangus begitu sahaja dijilat api kerugian. Dia hidup di dunia tanpa apa-apa laba dan untung buat kehidupannya di kemudian hari.

Kehidupan senang lenangnya di dunia hakikatnya hanyalah kegembiraan dan kemewahan pada hari pertama dia membuka kedai perniagaannya tanpa dia sedari bahawa keesokan dan hari-hari seterusnya adalah malapetaka dan kerugian yang bakal menjilat segala modalnya itu.

Begitu gambaran pernyataan daripada Allah yang keras dan menakutkan. Dialah yang menghadiahkan kehidupan kepada manusia dan seperti Dialah juga yang mengisytiharkan kebangkrapan kehidupan mereka. Mengapakah begitu dahsyat dan menakutkan pernyataan kehidupan di dunia ini?

Hakikat adalah sebaliknya. Bukan Allah yang mahukan manusia hidup dalam kerugian. Bahkan Dia mengurniakan kehidupan ini dengan pesanan dan bekalan yang cukup agar manusia memperolehi sebaik-baik dan sebesar-besar laba melalui nikmat masa yang dikurniakan itu.

Ia adalah perniagaan iman dan amal soleh. Bilah-bilah hari dalam kehidupan adalah digunakan untuk memperkukuhkan keimanan kepada Allah dan melaksanakan tuntutan iman itu melalui amal soleh atau segala perbuatan baik yang disenangi dan diredhai Allah. Itulah satu-satunya perniagaan yang mendatangkan keuntungan daripada modal masa yang dihabiskannya selama 70 tahun umurnya itu.

Bayangan surah al Asr adalah jelas. Allah menolak kehidupan tanpa Islam. Islam adalah satu-satunya ugama yang diredhainya. Walau apapun sistem dan ugama kehidupan selain Islam, ia adalah tertolak dan dikira tanggungan kerugian yang teruk.

Sudah pasti ia pernyataan yang dibenci oleh kebanyakan manusia. Manusia enggan berjual beli dengan Allah semata-mata. Ia mahukan kesenangan dan keuntungan tanpa mengambil mengira peringatan dan petunjuk daripada Allah. Mereka tanpa sedar telah melayari kehidupan menuju lembah kerugiaan yang takkan mampu ditebus lagi.

Justeru berlaku perbezaan pada peringkat awalnya di antara dua jalur kehidupan yang saling bertentangan. Perbezaan ini kemudiannya membawa kepada pertembungan, penentangan dan saling berbalahan.

Manusia yang beriman dengan kesyirikan dan kenafsuan akan mengerahkan segala keringat mereka untuk menonjolkan bahawa kebenaran berada di pihak mereka. Maka berlakulah kepalsuan yang melata dan sekatan-sekatan yang menghalang manusia daripada mengenal ugama Islam.

Justeru keadaan menjadi sukar. Sukar untuk mengenal dan menerima kebenaran Islam dan sukar juga untuk mempertahankannya akibat permusuhan yang nyata. Manusia yang beriman dan beramal soleh masih berada di dalam bahaya ditipu, diperdaya, didorong dan dipaksa meninggalkan ugama mereka.

Daripada kepayahan inilah, Allah mempertegaskan bahawa agama ini mestilah didukung secara bersama di antara para penganutnya demi keselamatan dan keamanan. Orang yang beriman akan sentiasa diambang bahaya sehinggalah mereka memperkukuhkan kedudukan mereka dengan saling bantu membantu dengan nasihat dan pesan memesan sesama mereka.

Membezakan kebenaran daripada kepalsuan adalah sukar. Kemudian berpegang kepada kebenaran dan mendukungnya adalah lebih sukar. Justeru bahu membahu dengan budaya pesan memesan adalah syarat utama keselamatan dan keberuntungan dalam kehidupan.

Begitulah tabiat ugama Islam. Ia agama tauhidiyah yang menolak kesyirikan. Ia juga solo tanpa agama lain yang berkongsi kebenaran dengannya. Ia memonopoli keuntungan tanpa dikongsi bersama ugama lain. Ia mempertegaskan bahawa kerugian manusia adalah pasti jika mereka menolak Islam.

Ia adalah satu kekuatan buat penganutnya untuk menjadi pendakwah yang didorong oleh kewajiban yang pasti. Mereka wajib menyampaikan Islam kepada sesama manusia agar kehidupan ini bukanlah kerugian yang nyata, bahkan keuntungan yang besar daripaada modal masa penuh bernilai yang dikurniakan Allah kepada mereka. – HARAKAHDAILY 25/1/2016

*Artikel ini adalah untuk siri kolum ‘Terang Rembulan’ akhbar Harakah.