Sumber : Web JHEAINS

Tentu ramai yang perasan akan keadaan cuaca panas dan kering yang sedang melanda negeri kita pada masa ini. Tetapi malangnya, tidak ramai pula yang mahu memahami sebab-musabab fenomena ini, apatah lagi memikirkan dan menghayati kekuasaan Allah SWT yang mengatur dan mentadbir alam ini.

Yang kedengaran ialah suara mengeluh kepanasan dan kepenatan. Anjuran agama supaya beristighfar dan berdoa dijauhi daripada bencana dan musibah kurang diberikan perhatian. Allah SWT berfirman dalam kitab suci-Nya:

Maksudnya: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta.” (S. Al-Ankabut: 2-3).

Dengan berpandukan kepada ayat ini, kita beroleh pengajaran bahawa ujian dan cabaran hidup sama ada yang berat mahupun yang ringan adalah lumrah kehidupan bagi umat Islam. Ia bertujuan menguji sejauh mana tahap keimanan kita. Kerana itu, kalau ujian itu berupa musibah, maka kita hendaklah sabar dan tabah menghadapinya sambil memohon doa kepada Allah SWT supaya dipermudahkan menghadapi segala cabaran.

Sesungguhnya setiap kesulitan disertai kemudahan. Dan jika ujian itu berupa kemewahan ataupun kesenangan, jangan sekali-kali lalai daripada mengingati, bersyukur dan beribadat kepada Allah SWT. Sesungguhnya sifat sombong dan angkuh manusia menjadi sebab-musabab Allah SWT menurunkan bencana sebagai pengajaran seperti halnya dengan keadaan cuaca panas dan kering yang sedang kita alami kini.

Keadaan cuaca panas dan kering yang dijangka akan berlarutan hingga bulan Mac ini berlaku kerana keadaan cuaca yang lebih aktif di sebelah barat Lautan Pasifik dan di Lautan Hindi telah menarik kelembapan di negara kita ke sana. Apabila sesuatu tempat mempunyai cuaca yang aktif bermakna akan ada tempat yang mengalami cuaca tidak aktif atau kering.

Oleh kerana Negara kita berada di tengahtengah antara kedua-dua kawasan aktif ini, maka kita yang mengalami cuaca kering. Inilah yang dikatakan fenomena El-Nino, yang pernah melanda Negara kita pada 1998, di mana suhu tertinggi iaitu 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998. Ia biasanya berlaku setiap dua hingga empat tahun sekali.

Ia boleh menyebabkan rantaian perubahan iklim berlaku di seluruh dunia dan antara kesannya ialah hujan lebat di sesetengah kawasan sementara di kawasan lain, berlaku kemarau berpanjangan. Antara tanda-tanda awal fenomena ini yang sudah dapat dilihat di negeri kita adalah statistik taburan hujan yang kurang daripada normal sejak kebelakangan ini.

Situasi ini seharusnya membuat kita lebih bersedia menghadapi segala kemungkinan kerana tahap El Nino yang kuat boleh menyebabkan kekurangan air dan bekalan makanan akibat dari musim kemarau melampau. Malah, cuaca panas dan kering yang melampau juga memungkinkan berlakunya kebakaran belukar dan hutan yang boleh mencetuskan jerebu dan masalah kesihatan.

Hakikatnya, Allah telah menciptakan alam ini mengikut kadar yang seimbang atau Tawazun serta lengkap sempurna. Namun, manusialah yang mengundang kecelakaan dengan melakukan kerosakan di muka bumi kerana merasakan dialah yang paling kuat dan gagah. Manusia juga tidak mahu bersyukur atas nikmat kurniaan-Nya, suka membantah, melampaui batas dan berlaku zalim. Malah tidak keterlaluan dikatakan manusia secara umumnya tidak lagi berlaku amanah lagi pada diri sendiri, pada alam, pada Tuhannya.

Justeru, apa jua fenomena alam yang berlaku tersirat saranan agar manusia memahami dan memikirkan kenapa ia terjadi. Ini kerana sumber sesuatu perubahan dan musibah itu datangnya daripada diri manusia, maka cara menanganinya juga harus datang daripada manusia sendiri.