Sumber : Web JHEAINS

Di awal tahun baru 2016 ini, gementar hati mengimbas kembali catatan kealpaan diri dalam menunaikan perintah agama di tahun-tahun yang telah berlalu pergi. Ini disebabkan oleh kesibukan melaksanakan pelbagai urusan dunia di samping berhadapan dengan berbagai ujian serta cabaran hidup sama ada yang berat mahupun yang ringan.

Dan ada kalanya ujian serta cabaran hidup yang dialami dan ditempuhi itu menyebabkan berubahnya hati dan turun naiknya iman, pasang surutnya amalan dan bertambah atau berkurangnya dosa dan pahala.

Menyedari akan keadaan tersebut, amatlah wajar bagi kita melakukan perhitungan atau muhasabah diri. Ia penting kerana sukar bagi kita menghilangkan keaiban atau kekurangan pada diri kita jika tidak nampak keaiban yang ada. Demikian juga kita tidak akan dapat memperbaiki diri kita jika gagal mengesan kekurangan-kekurangan pada diri sendiri.

Maka, adalah penting bagi kita melakukan muhasabah diri dengan mengkaji dan menilai semula apa yang berlaku dan yang telah kita lakukan sama ada memenuhi tuntutan-tuntutan yang ditentukan Allah SWT atau sebaliknya. Meneliti segala yang berlaku sama ada kerana takdir Tuhan atau lebih merupakan padah atau akibat-akibat dari apa yang telah kita lakukan sendiri. Tujuannya adalah untuk mengenal pasti keaiban dan kekurangan diri, seterusnya berusaha memberbaiki atau mengatasinya.

Sebagai orang Islam, sewajarnya kita mencari kelemahan dan menangisi kerugian yang ditanggung. Kita hendaklah merumuskan makna kejayaan dan peningkatan pencapaian sebenar dalam kehidupan berpandukan ajaran agama. Dengan kata lain, jika kita mendapati ada keaiban pada diri kita, maka hendaklah kita membencinya dan berusaha sedaya upaya menanganinya.

Untuk ini, kita hendaklah berfikir dan mengkaji serta menilai mengapa perkara tersebut berlaku ke atas diri kita. Selanjutnya, mengenal pasti jalan penyelesaian yang terbaik bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang kembali.

Pada masa sama, kita hendaklah melihat ke dalam diri sendiri mengenai perkara yang perlu dikerjakan dan ditinggalkan. Seterusnya, berusaha mengawal diri daripada hasutan syaitan yang sentiasa mengajak kepada melakukan kemungkaran dan dosa. Langkah ini sejajar dengan anjuran Allah SWT:

Yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hakamnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (S. Al-Baqarah: 208).

Sesungguhnya melawan godaan syaitan dan hawa nafsu menjadi keutamaan dalam kerangka bermuhasabah diri dan beriltizam untuk menjadikan amal perbuatan kita hari ini dan hari-hari seterusnya lebih baik dari semalam. Ini kerana, syaitan dan hawa nafsu adalah musuh manusia yang paling licik berada di sekeliling kita. Ia tidak memilih sama ada orang itu alim atau jahil, ahli ibadat atau ahli maksiat, mukmin atau kafir.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya syaitan itu mengalir di dalam tubuh anak Adam laksana mengalirnya darah dan sesungguhnya aku bimbang dia akan menimbulkan di dalam hati kamu sesuatu yang jahat.” (HR Bukhari dan Muslim).

Oleh hal yang demikian, syaitan tetap syaitan, dan ia pasti akan berusaha menjerumuskan anak-anak Adam ke lembah kemaksiatan dan dosa tanpa mengenal erti putus asa. Ini adalah janji syaitan dan koncokonconya untuk terus menyesatkan dan menggelincirkan manusia dari jalan Allah SWT dari dulu dan selamanya hingga ke hari kiamat.

Inilah sebabnya maka perjuangan melawan syaitan dan hawa nafsu tiada noktahnya. Hikmahnya adalah untuk memastikan diri kita mempunyai kekuatan untuk terus mengabdikan diri kepada Allah SWT dan sentiasa berada di jalan yang diredai-Nya.