Sumber : Web JHEAINS

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW menjadi neraca serta petunjuk akhlak Islam. Ini kerana Baginda adalah tokoh yang diistiharkan oleh Allah SWT sebagai sebaik-baik individu untuk dicontohi dan diikuti oleh seluruh umat manusia, sebagaimana firman-Nya:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (S. Al-Ahzab: 21).

Menurut sirah Nabi, sejak kecil lagi Baginda sudah biasa hidup dalam kesederhanaan. Rumah Baginda kecil dan tidak mempunyai perabot. Tempat tidur Baginda dikatakan hanya selembar tikar pelepah kurma. Lalu, pernah seorang sahabat menawarkan tempat tidur yang lebih layak bagi seorang Rasul Allah.

Namun, Baginda menjawab, “Apalah ertinya dunia bagiku … bukankah engkau rela mereka memperoleh dunia sedangkan kita memperoleh akhirat?” Selain itu, Rasulullah mudah berkomunikasi dengan sesiapapun, beradab sopan, lemah lembut, penyabar, tidak marah walau disakiti. Tetapi, wajah Baginda akan berubah merah padam bila melihat kemungkaran atau hak-hak Allah diinjak- injak dan dihina.

Rasulullah juga seorang yang rendah hati. Walau seorang Nabi dan pemimpin Negara, Baginda tidak mahu disanjung dan dihormati serta disanjung-sanjung. Anas bin Malik RA berkata, “Para sahabat yang mahu berdiri menyambut kehadiran Rasulullah, tidak jadi berdiri ketika mengetahui bahawa Rasulullah tidak mahu dihormati seperti itu.” (HR Ahmad).

Orang yang berakhlak baik akan mencapai darjat seperti seorang berpuasa dan berqiamulail. Ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud:

“Sesungguhnya seorang mukmin yang berakhlak mulia mencapai kedudukan seperti seorang yang berpuasa dan berqiamulail.” (HR Ahmad dan Abu Daud).

Oleh itu, kita sebagai Muslim harus berusaha mencontohi seluruh kehidupan Rasulullah SAW seberapa daya yang boleh. Segala sunnah dan panduan hidup yang telah dipertunjukkannya wajib kita pelajari, hayati dan teladani kerana ia adalah manifestasi ketaatan kita kepada Rasulullah SAW. Dan, sesiapa yang mentaati Rasulullah, maka sesungguhnya dia juga telah mentaati Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan).” (S. AnNisaa’: 80).