Archive for Disember, 2015


FAHAMI KONSEP NASIHAT

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/presiden/39159-fahami-konsep-nasihat

APABILA saya menegaskan bahawa PAS mengambil pendekatan menjadi pembangkang yang menasihati kerajaan, ramai kalangan yang terlalu bersemangat, sehingga mahu menjadi pembangkang semata-mata, atau terpengaruh dengan  musuh Islam yang mencipta provokasi. Maka, yang lemah imannya menjadi tidak Istiqamah. Di sini saya kemukakan huraian Al-Quran dan Sunnah yang menjadi perkara dasar yang tertinggi dalam Undang-Undang Tubuh PAS.

PAS menetapkan supaya setiap majlisnya, usrah, perjumpaan besar dan kecil  ditutup dengan bacaan Surah Al-Asr, di dalamnya ayat yang menegaskan betapa konsep nasihat sangat penting kepada Jamaah Islam dan ummatnya dengan makna yang luas bagi diri dan terhadap semua pihak temasuk musuh yang paling zalim. Ini kerana mesejnya kepada seluruh manusia, firman Allah:

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

“Dan berpesan-pesan (Nasihat menasihati) dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.” [Surah Al-Asr: ayat 03]

Ayat ini menegaskan gabungan konsep nasihat dan sifat sabar.

Hadis Rasulullah SAW pula menegaskan:

الدِّينُ النَّصِيحةُ  قلنا : لِمَنْ ؟ قَالَ : لِلهِ وَلِرَسُولِهِ وَلأئِمَّةِ المُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

“Agama itu nasihat.
Kami (Para sahabat) bertanya: Untuk siapa?
Sabdanya: Kepunyaan Allah, Rasulnya, para pemimpin kaum muslimin dan seluruh mereka.” [Riwayat Muslim]

Hadis ini menegaskan nasihat dengan rukun Iman yang asasi dan hubungannya secara bermasyarakat madani yang menjadikan manusia bersaudara. Perkataan nasihat adalah salah satu daripada perkataan bahasa Al-Quran (mukjizat ilmu) yang sangat luas makna dan mafhumnya, sehingga merangkumi segala kata dan pendekatan untuk mengajak kepada kebaikan dan kebajikan, termasuk meninggalkan segala kemungkaran atau kejahatan dalam segala aspek. Jangan peduli kepada yang buta Al-Quran.

Allah juga mengesah dan menafsirkan dalam Al-Quran bahawa konsep nasihat dilakukan oleh semua Para Rasul AS terhadap manusia di zamannya, termasuk terhadap penentangnya yang paling zalim. Nabi Nuh AS menegaskan kepada kaumnya:

وَأنْصَحُ لَكُمْ

“Dan aku memberi nasihat kepada kamu.” [Surah Al-A’raf : ayat 62]

Nabi Hud AS menegaskan kepada Kaum Aad:

وَأنَا لَكُمْ نَاصِحٌ أمِينٌ

“Dan aku juga adalah penasihat yang amanah kepada kamu.” [Surah Al-A’raf: ayat 68]

Apabila seorang hamba Allah datang menasihati Khalifah Abbasiyyah Al-Makmun kerana ketelanjurannya, tiba-tiba menggunakan kata-kata yang kesat, kasar dan keras. Maka Al-Makmun menjawab ; “Sesungguhnya orang yang lebih baik daripadamu, diperintah Allah supaya menasihati orang yang lebih jahat daripadaku, dengan bahasa yang baik”. Allah menegaskan kepada Nabi Musa AS dan Harun AS yang lebih baik daripadamu, ditugaskan menghadapi Fir’aun  yang lebih zalim daripadaku supaya mengunakan bahasa yang lebih baik. Allah berfirman:

اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى * فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى *

“Wahai Musa dan Harun !, pergilah kamu berdua kepada Fir’aun. Sesungguhnya Dia toghut (terlalu melampau). Katakanlah kepadanya dengan ucapan yang lembut, mudah-mudahan dia menerima pengajaran atau merasa takut (kepada Allah).” [Surah Toha: ayat 43-44]

Hikmatnya ialah kerana Islam adalah rahmat Allah yang menyelamatkan manusia dengan memberi petunjuk ke jalan yang benar, adil dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Mesej para Rasul AS yang membawa Islam adalah  menyelamatkan manusia bukannya menghalau atau mencari musuh seramai-ramainya. Allah menegaskan kepada Rasulullah SAW supaya menjadi contoh kepada umatnya sehingga hari kiamat:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ * وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ * وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ * وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ *

“Siapakah yang lebih baik ucapannya daripada orang yang berdakwah kepada petunjuk Allah (Islam) serta dia mengerjakan amal soleh dan menegaskan ; Bahawa  saya termasuk dikalangan orang-orang  Islam. Tidak sama kebaikan dibandingkan dengan kejahatan. Maka balaskan yang terbaik terhadap orang yang berlaku jahat terhadapmu. Maka tiba-tiba  orang yang bermusuh antaramu dan dia bertukar menjadi  teman yang saling mengasihi. Dan tidaklah dapat menerimanya melainkan oleh orang-orang yang sabar dan tidaklah boleh menerimanya malainkan oleh orang-orang yang berhak mendapat ganjaran yang besar (daripada Allah). Dan apabila syaitan cuba memesongkan kamu dengan sesuatu caranya, maka mintalah perlindungan Allah. Sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah Fussilat: ayat 33-36]

Apabila Rasulullah SAW menyerahkan bendera perang Khaibar kepada menantunya Ali bin Abi Talib, yang terlalu tinggi semangatnya untuk memerangi kaum Yahudi pengkhianat perjanjian, ditegaskan dengan sabdanya:

انفذ على رسلك حتى تنزل بساحتهم، ثم ادعهم إلى الإسلام، وأخبرهم بما يجب عليهم من حق الله تعالى فيه، فوالله لأن يهدي الله بك رجلاً واحداً خيرٌ لك من حمر النعم

“Laksanakan tugas sehingga apabila kamu tiba dilapangan mereka, kemudian  ajak mereka kepada Islam dan beritahu kepada mereka apa-apa yang wajib keatas mereka terhadap Allah. Maka Demi Allah! Kejayaanmu menjadikan seseorang mendapat petunjuk Allah lebih baik daripada kenderaan yang paling mahal harganya.” [Muttafaqun Alaih]

Apabila berjaya membebaskan Mekah daripada jahiliyah maka jumlah yang dimaaf berlipat kali ganda daripada yang dihukum. Kita jangan berlagak lebih kuat Islam dan taqwa sehingga merasa lebih daripada Rasulullah SAW.

PAS memilih pendekatan semokrasi barat kerana perubahannya daripada demokrasi purba kepada demokrasi moden hasil kajian para orentalis mereka daripada penulisan para ulama Islam. Ini menunjukkan pengaruh Islam memilih pendekatan damai (muwajahah silmiyyah) dalam perubahan politik barat, dan Islam lebih berhak daripada mereka.

Maka ahli politik PAS yang menjadi pembangkang wajib mengambil contoh daripada Al-Quran dan Sunnah, bukannya  pembangkang daripada England, Amerika Syarikat, Amerika Latin, Taiwan, Korea, Jepun dan sebagainya.

Mesej kita  bukan merampas kuasa semata-mata kerana singgahsana, kerusi dan pangkatnya, tetapi menjadi penyelamat. Permulaannya menasihati pihak yang berkuasa supaya meninggalkan kemungkaran kepada yang baik, atau akhirnya kalau mereka tidak berubah caranya mengambil alih kuasa  menjadi penyelamat tanpa dendam kesumat.
Nasihat juga kena pada tempat dan keadaan. Allah juga berfirman:

وَلا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ

“Dan jangan kamu berdebat dengan ahli kitab malainkan dengan cara yang terbaik, malainkan terhadap orang-orang zalim di kalangan mereka.” [Surah Al-Ankabut: ayat 46]

Walaupun terhadap yang zalim sabda Rasulullah SAW:

انصر أخاك ظالما أو مظلوما

“Tolonglah saudaramu yang  zalim dan  dizalimi.”

قالوا يا رسول الله هذا ننصره مظلوما فكيف ننصره ظالما ؟

“Mereka bertanya: Wahai Rasulullah! yang ini kami menolongnya kerana dizalimi, maka bagaimana pula menolong orang yang zalim.”

Sabdanya:

تأخذ فوق يديه

“Kamu pegang tangannya (mencegahnya daripada berlaku zalim).”

Kita berdepan penganut Islam yang tenggelam dalam pengaruh penjajahan pemikiran, namun dalam hati mereka masih wujud kemanisan Iman dan kalangan bukan Islam pula  sudah berilmu dan mencari kebenaran.

Rasulullah SAW mengajar kebijaksanaannya bukan marah dan semangat tanpa kawalan yang istiqamah mengikut pasang dan surut. Sabda Rasulullah SAW lagi:

ليس الشديد بالصرعة، إنما الشديد الذي يملك نفسه عند الغضب

“Bukanlah orang yang gagah perkasa itu dengan bertindak keras melulu. Sesungguhnya orang yang sebenarnya gagah perkasa itu ialah yang dapat mengawal diri  ketika marah.” [Muttafaqun Alaih]

Di atas konsep ini, Rasulullah  SAW berhijrah setelah diwujudkan masyarakat Madinah yang menerima Islam dengan bai’ah ikatan perjuangan yang tidak ditukar dengan isteri, kawan, harta, pangkat serta menggabungkan  Tahaluf (Persefahaman kerjasama dalam perkara yag baik), Ta’awun dan lain-lain, bersama kalangan bukan Islam yang berdamai  tetapi menerima kedaulatan Islam.

Di atas konsep ini juga apabila Raja Masqat dan Oman, Raja Habasyah dan Bahrain yang menerima Islam dikekalkan memimpin kerajaan masing-masing, tanpa dirampas kuasa dan takhta mereka.

Di atas prinsip dan konsep Islam yang teguh juga para generasi awal bersedia menghadapi kuasa besar dunia Parsi, Rom dan lain-lain yang paling keras mengikut keadaan, tanpa menyerah kalah sehingga mati atau menang. Akhirnya kuasa paling besar, paling zalim dan keras jatuh dan tumbang. Berkonsepkan meruntuh jahiliyah dan menegakkan Islam, bukannya menggantikan jahiliyah dengan jahiliyah.

Maka perjuangan Islam tidak boleh dilaksanakan oleh mereka yang keras semata-mata dan selama-lamanya. Perjuangan Islam juga tidak layak dilaksanakan oleh kalangan yang malu meyebut Islamnya, lebih-lebih  lagi yang pengecut menyebut Islamnya. Perjuangan Islam juga tidak layak kepada mereka yang menyerah kalah menghadapi kekerasan, atau menentang kekerasan dengan kekerasan tanpa sempadan, atau terpukau dengan habuan jawatan dan harta sebelum menang dan selepas kemenangan, atau bermimpi dengan seronok  bersama kabinet bayangan.

Dalilnya apabila Rasulullah SAW tegas menolak semua tawaran, kemudahan dan kesenangan takhta, harta dan wanita yang menggadaikan prinsip. Konsep asas dan matlamat perjuangan Islam yang tidak disembunyikan, walaupun terpaksa menghadapi cabaran yang datang daripada segenap penjuru dan terpaksa  mengharungi perjalanan yang jauh tanpa dilihat penghujungnya dengan mata kasar.

Rasulullah SAW tidak berbaiah dengan para pemimpin Bani Amir yang meminta jawatan sebelum menang. Hanya berbaiah dengan kalangan Ansar yang beriman dan budiman bersama perjuangan dengan ikhlas meletakkan wawasan Akhirat. Namun melihat dengan cahaya iman kepada kebenaran daripada Allah dan janji Allah di dunia yang dekat dan akhirat yang belum dilihat. Menempah pahala menyelamatkan manusia seramai-ramainya. Bukannya merosak dan membunuh seramai ramainya.

Allah SWT mengingatkan akan kita semua dengan Firman-Nya di dalam Al-Quran:

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ * وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ

“Beristiqamah sebagaimana engkau diperintah (Wahai Muhammad SAW) bersama sesiapa yang bertaubat bersamamu, dan kamu  jangan melampau, sesungguhnya Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu amalkan. Dan jangan cenderung kepada orang-orang yang zalim nanti kamu disambar api neraka, dan tiada wali (yang wajib diberi kesetiaan) bagi kamu selain Allah, nanti kamu tidak diberi pertolongan.” [Surah Hud: ayat 113]

Dan Firman Allah kepada Rasul-Nya yang menjadi ikutan kita:

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ * وَإِمَّا يَنزغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نزغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

“Ambillah sikap bermaafan dan suruh kepada yang baik. Jangan peduli terhadap orang-orang yang jahil. Jika kamu dirasuk syaitan oleh apa-apa cara rasakannya, mintalah perlindungan Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” [Surah Al-A’raf: ayat 199-200]

Sebenarnya kini, kita tenggelam dengan bencana zaman orang-orang jahil menulis dan bercakap tanpa ilmu di bawah langit tanpa sempadan. Perjuangan kita bukan akal tanpa sempadan dan hidayah, kita mengikut sempadan Allah menghadapi peganut Islam yang paling baik, sederhana dan menzalimi diri sendiri, menghadapi golongan munafik, kafir yang berdamai dan bermusuh, namun semuanya adalah hamba Allah dan ummat Dakwah Muhammad SAW.

“BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

13 Rabiul Awwal 1437 / 25 Disember 2015 – HARAKAHDAILY 25/12/2015

Sumber : Web JHEAINS

Bersedekah amat digalakkan oleh Islam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 261:

‘Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas rahmatNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya’.

Ayat ini menceritakan tentang kelebihan bersedekah. Setiap sesuatu yang disedekahkan, akan digandakan pahala oleh Allah SWT. Namun, Dalam mengerjakan amalan bersedekah, kita perlulah melakukannya dengan hati yang ikhlas kerana Allah SWT, bukan disebabkan sesuatu seperti kerana nama atau asal bersedekah sahaja.

Supaya perbuatan bersedekah itu tidak menjadi sia-sia, agama Islam telah mengajar umatnya bahawa ketika bersedekah, maka biarlah menepati erti sedekah itu sebenarnya. Dan harus diperhatikan juga bahawa barang yang disedekahkan itu hendaklah baik dan elok. Adalah tidak wajar dan munasabah andainya benda yang disedekahkan itu jika disedekahkan kepada kita, kita sendiri tidak menyukainya dan tidak rela menerimanya.

Biarlah yang disedekahkan itu daripada benda-benda yang disenangi oleh penerimanya. Kerana itulah Allah Subhanahu Wataala melarang bersedekah dengan benda-benda yang tidak baik. Perlu diingat bahawa bersedekah adalah merupakan ibadat dan tanda mensyukuri nikmat yang dianugerahkan Allah Subhanahu Wataala kepada kita. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 267 yang bermaksud:

“Wahai orangorang yang beriman! Belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu kalau diberikan kepada kamu kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi sentiasa terpuji”.

Umat Islam mempunyai peluang yang amat luas untuk melipatgandakan pahala khususnya bagi mereka yang dikurniakan harta dan wang ringgit yang banyak. Oleh itu, beruntunglah orang-orang yang diberi oleh Allah SWT kelebihan suka menolong orang lain dan bersedekah di dalam perkara kebajikan. Sabda Rasulullah SAW: Bermaksud:

“Sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain”.

Berdasarkan hadis ini, maka beruntunglah bagi sesiapa yang menjadi orang yang banyak memberi manfaat kepada sesama manusia. Selain itu, mereka juga suka memberi bantuan dalam kerja-kerja kebajikan dan berusaha mengurangkan penderitaan terhadap musibah yang ditanggung oleh seseorang.

Oleh itu, seruan amalan suka menolong dan membantu orang lain adalah termasuk dalam amal ibadah, bahkan pahalanya sangat besar. Islam tidak membataskan sedekah pada harta semata-mata, bahkan Islam menganggap semua kebaikan sebagai sedekah. Saban hari media massa memaparkan kisah penderitaan masyarakat, ada dalam kalangan mereka yang terlantar sakit, fakir dan miskin.

Sebenarnya, kita boleh membantu mereka sama ada dengan wang ringgit atau sokongan moral. Ada juga dalam kalangan mereka memerlukan pelbagai bantuan, antaranya bantuan organ untuk meneruskan kehidupan. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 32:

Maksudnya:“ Dan sesiapa yang menjaga kehidupan manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga kehidupan manusia semuanya.”

Rumusan.

Pertama: Secara Fitrahnya Umat Islam tidak boleh hidup bersendirian. Oleh sebab itu, mereka hendaklah hidup bermasyarakat dan membantu antara satu sama lain. Sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW: Yang bermaksud:

“Orang yang beriman itu seperti satu binaan yang saling menguatkan diantara satu dengan yang lain.”

Kedua: Anggota masyarakat hendaklah hidup dalam suasana ukhuwah. Ini akan menjamin hidup mereka dalam keadaan aman sejahtera, makmur dan bahagia. Allah SWT berfirman:

“Sesunggunhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Ketiga: Tuntutan bersedekah dan menderma adalah sebahagian daripada cabang iman. Sesiapa yang melaksanakan tuntutan ini akan mendapat ganjaran pahala serta dikasihi Allah SWT dan Rasul SAW.

Tarikh : 19 Disember 2015

Lokasi : Dewan MTQQNS

Guru Tasmik : Ustaz Sahiful Rahmat

IMG-20151219-WA0157 IMG-20151219-WA0158IMG-20151223-WA0060-1

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/presiden/39150-tegak-sunnah-rasulullah-saw-sepanjang-hayat

Sesungguhnya perasaan kita penuh dengan kerinduan terhadap Rasulullah SAW. Sebagai seorang yang mencintai dan mengasihi baginda, tentu sekali kita sentiasa terkenang akan sirah atau lakaran-lakaran pengorbanan Rasulullah SAW sehingga kita semua dapat menerima cahaya keislaman, hidayah dari Allah bagi mengecapi nikmat iman dan Islam yang sangat berharga.

Namun kita sebagai seorang Muslim perlu sentiasa bermuhasabah sejauh manakah kecintaan yang diungkapkan ini benar-benar tertanam dengan kukuh di lubuk hati kita? Sejauh manakah kita menunaikan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dalam lakaran perjuangannya, yang kemudiannya disambung silih berganti hingga ke hari ini?

Wajib bersama kita hayati firman Allah SWT yang termaktub di dalam Al-Quran:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ.

“Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).” [Surah Saba’: ayat 28]

Baginda Rasulullah SAW telah pergi meninggalkan kita, dengan sama sekali tidak mewariskan kepada kita harta pusaka kekayaan, tetapi yang diwariskan adalah ilmu yang menjadi panduan hakiki, akhlak yang terpuji, sebuah perjuangan suci dan sebuah cara hidup yang sempurna, melalui adanya Al-Quran serta Sunnah Rasulullah SAW.

Marilah kita sama-sama menjadikan sambutan Maulidur Rasul kali ini  dengan menguatkan iltizam. Bersama kita menegakkan sunnah baginda sepanjang tahun dan sepanjang hayat kita. Tidak cukup kita menunjukkan rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan atau perbarisan dan berslogan mencintai Rasulullah. Akan tetapi gembirakanlah Rasulullah SAW dengan mengamalkan serta menegakkan segala suruhan baginda, meninggalkan dan berusaha menghalang segala yang dibenci oleh Baginda.

Rasulullah SAW meninggalkan sebuah perjuangan suci sebagai rahmat ke seluruh alam untuk kita sambung dan teruskannya. Segala kezaliman, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, jenayah, yang berlaku pada hari ini hatta dari seorang yang mengaku Islam, menunjukkan jauhnya si pelakunya dari tinggalan Rasulullah SAW walaupun dia menyambut kelahiran Baginda SAW saban tahun.

Marilah sama-sama kita pasakkan keazaman untuk menyambung perjuangan Rasulullah SAW hingga ke akhir hayat kita. Sebagai seorang individu, marilah pula kita menghayati dan mengamalkan peninggalan Rasulullah SAW, seorang pemimpin meletakkan azam untuk menegakkan sunnah di dalam kepimpinannya. Sebuah kerajaan lebih-lebih lagi berkomited mengamalkan segala suruhan Allah SWT dan Rasul di dalam segala aspek pentadbirannya.

Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah SAW dan beroleh cinta Allah dan Rasul-Nya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1437H.

BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
12 Rabiul Awwal 1437 / 24 Disember 2015 – HARAKAHDAILY 24/12/2015

Tarikh : 19 Disember 2015

Lokasi : Giant Putatan

Anjuran : Muslim Care Malaysia & Nisa Malaysia

C360_2015-12-19-10-39-18-314 IMG-20151219-WA0026 IMG-20151219-WA0049 IMG-20151219-WA0068 IMG-20151219-WA0084 IMG-20151219-WA0088 IMG-20151219-WA0124

Tarikh : 24 Disember 2015

Lokasi : Kelas Semester 6 MTQQNS

Guru Tasmik : Ustazah Mahliana Mohammad

C360_2015-12-18-09-27-59-242 C360_2015-12-18-09-28-04-433 C360_2015-12-18-09-28-28-433 C360_2015-12-18-09-28-46-967 C360_2015-12-18-09-29-31-166 C360_2015-12-18-09-39-47-278 C360_2015-12-18-09-45-16-928

Tarikh : 17 Disember 2015

Lokasi : Masjid al-Fattah IPD Penampang

C360_2015-12-17-20-05-42-101 IMG-20151217-WA0093 IMG-20151218-WA0003 IMG-20151218-WA0004 IMG-20151220-WA0002 IMG-20151220-WA0003 IMG-20151220-WA0004 IMG-20151220-WA0019

Tarikh : 17 Disember 2015

Lokasi : Dewan MTQQNS

Guru Tasmik : Azrina Abdul Karim

C360_2015-12-17-09-46-27-184 C360_2015-12-17-09-46-59-474 C360_2015-12-17-09-47-50-952 C360_2015-12-17-09-48-02-748

KENDURI KESYUKURAN AZAM YAMANI

Tarikh : 16 Disember 2015

Lokasi : Jalan Sang Kancil Karamunsing

C360_2015-12-16-20-37-50-499 C360_2015-12-16-20-38-24-051 C360_2015-12-16-20-38-30-473 IMG-20151216-WA0093

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/39104-bagaimana-islam-menyatukan-manusia

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | 21 Disember 2015.

Manusia sering berpecah belah. Mereka berperang dan berbunuhan sesama sendiri. Dulu hinggalah kini. Seperti satu keyakinan sudah tertanam teguh di dalam sesetengah manusia bahawa peperangan adalah bagai nyawa kehidupan.

Kini, peperangan lebih ditakuti. Dengan senjata moden yang semakin menggila ciptaannya, dalam sekelip mata saja, puluhan ribu, malah ratusan ribu nyawa manusia boleh melayang dan kehidupan hancur teruk. Pun begitu, peperangan dan perbalahan terus berlangsung. Keperitan tidak pernah mengajar manusia.

Apabila perdamaian berlaku, ia seperti waktu emas bagi kehidupan. Ia saat bahagia yang dikecapi manusia dan seluruh kehidupan. Tetapi untuk menikmati saat itu, ia juga sesukar memperolehi emas.

Semuanya kerana sifat manusia yang tamak dan enggan berkongsi sesama mereka. Mereka ingin menguasai dan merajai. Mereka tidak pernah merasa cukup, sering menunjuk kekuatan dan tiada timbang rasa dan belas kasihan.

Tetapi, manusia juga tidak pernah berhenti untuk berdamai dan hidup bersatu. Ada jiwa yang lebih teguh dah tidak kalah untuk memperakui bahawa manusia adalah seperti haiwan buas di hutan rimba. Bahkan mereka beriman bahawa manusia adalah makhluk yang mulia dan tercipta untuk membangunkan muka bumi.

Lahir dalam lipatan sejarah jiwa-jiwa yang hebat memimpin ke arah perdamaian. Ada yang sedia mati demi sebuah perdamaian. Justeru kadang-kadang peperangan berlaku dengan hak, bukan hanya sekadar melampias nafsu serakah manusia yang tamak dan haloba. Sebagaimana kejahatan menolak kebaikan, begitulah kebaikan perlu membalas balik demi kelangsungan kehidupan yang lebih baik.

Sejarah Islam 1,400 tahun adalah rakaman kejayaan umat manusia hidup bersatu padu dan kejayaan Islam merangka asas-asas penyatuan umat manusia yang lebih kekal dan sentiasa dinamik mendepani zaman dan perubahan.

Hari ini umat Islam hidup berpecah-belah dan mudah sekali dipecah-belahkan oleh anasir buruk dan kufur yang kembali menguasai kehidupan selepas ugama Islam ditinggalkan oleh umatnya sendiri. Maka perpecahan, pergolakan dan peperangan berlangsung tanpa solusi ke arah kesatuan yang benar.

Hari ini, Amerika yang mendakwa diri sebagai polis dunia untuk kedamaian, Amerika itulah yang datang membunuh manusia di seluruh dunia, terutama di bumi umat Islam. Kuasa-kuasa besar melutut di hadapan kekuasaan bangsa Yahudi Zionis, sekutu Amerika yang mencatur dunia untuk matlamat dan kepentingan khusus negara mereka, Israel yang dibina di atas tanah Palestin yang dijajah.

Jadi bagaimanakah boleh ditemui jalan ke arah kesatuan yang benar? Jawaban kita mudah, kembali kepada ugama Islam. Islam hari ini mampu memindahkan manusia daripada kegelapan peperangan dan perbalahan sebagaimana Islam telah berjaya melakukannya dulu pada zaman kegelapan jahiliyah.

Mari kita melihat asas-asas yang perlu dibina dan bagaimana Islam berjaya melepasi kongkongan yang sering membantutkan kemahuan tinggi umat manusia untuk bersatu.

Kesatuan adalah didorong oleh kepentingan bersama yang perlu dijaga. Semakin banyak dan luas kesamaan itu ditemukan, semakin membesar dan melatakan ruang kesatuan dibina.

Rasa kepentingan dan kebersamaan yang pertama adalah daripada dalam sebuah keluarga yang kecil yang menjadi nukleus dan batu-bata kepada pembinaan sebuah masyarakat yang lebih besar.

Maka keinginan untuk bersatu dan hidup saling berkerja sama adalah bermula dari dalam setiap keluarga. Setiap ahli keluarga akan saling membantu sesama mereka, menjaga kepentingan kelompok mereka daripada dicerobohi dan bersedia merebuti malah mencerobohi kepentingan kelompok lain.

Terjadi perbalahan di kawasan kejiranan kerana perebutan dan ketamakan bagi menjaga kepentingan keluarga masing-masing. Justeru walaupun sebuah keluarga boleh bersatu teguh, tetapi faktor kekeluargaan tidak akan mampu menjadi asas penyatuan bagi sebuah kampung kerana ia hanya menjaga sebuah keluarga sahaja tanpa rasa tanggung jawab untuk turut menjaga kepentingan keluarga yang lain.

Maka berlaku usaha memupuk kepentingan bersama di antara kelompok kejiranan atau kampung atau daerah yang lebih besar. Akhirnya, walaupun mungkin sebuah keluarga itu terpaksa kehilangan kepentingannya, tetapi ia boleh menerima dan meredhainya demi kepentingan dan kebaikan kelompoknya yang lebih besar.

Manusia akhirnya sedar bahawa mereka perlu melepaskan kepentingan khusus masing-masing demi kepentingan bersama yang lebih besar dan umum bagi mencapai kesepakatan dan kesatuan yang lebih besar dan diperlukan.

Dari situlah, manusia mengagungkan kelompok kekabilahan ke atas kekeluargaan dan kedaerahan ke atas kedesaan. Walau bagaimanapun, ia terus tidak memadai kerana walaupun sebuah kabilah besar berjaya disatukan, tetapi ia pastinya akan bertembung pula dengan kabilah lain yang turut menjaga kepentingan khusus mereka. Begitulah yang berlaku ke atas kesatuan yang berdasarkan kedaerahan dan kenegerian. Ia akan bertembung dengan daerah dan negeri lain apabila konflik kepentingan berlaku.

Kerana gagal mewujudkan kefahaman yang menemukan noktah bagi ‘kepentingan bersama manusia’, maka perpecahan dan perbalahan terus berlaku dan sukar dimatikan kerana sentimen tiap-tiap kumpulan untuk menjaga hak dan kepentingan masing-masing.

Dalam konteks negara Malaysia misalnya, parti Umno yang memerintah berhadapan kesukaran untuk menyatukan negara kerana Umno sering mengangkat dan menunjukkan kepada kepentingan bangsa Melayu. Ia meresahkan bangsa Cina dan India kerana pastinya kerajaan akan menjaga kepentingan puaknya iaitu bangsa Melayu.

Maka kerajaan Malaysia telah berusaha meluaskan kerangka kepentingan bersama yang lebih besar bagi mengelakkan permusuhan di atas dasar perkauman. Lalu dicetuskan konsep negara bangsa. Slogan 1 Malaysia ditanam agar rakyat Malaysia bersatu menjaga kepentingan negara dan bangsa Malaysia mengatasi kepentingan kelompok warna kulit dan kenegerian. Ia berjaya menyatukan sentimen rakyat Malaysia bagi menjaga kepentingan bersama walaupun terpaksa mengorbankan kepentingan khusus keluarga, kampung, negeri dan warna kulit masing-masing.

Walau bagaimanapun, kesatuan di atas jenama negara bangsa terus gagal menemui noktah perpaduan umat manusia.

Amerika hampir berjaya menghapuskan sentimen warna kulit. Daripada perkahwinan campur antara kulit putih dan kulit hitam yang menjadi fenomena biasa sehinggalah kejayaan mereka memilih pemimpin kulit hitam sebagai presiden di negara mereka, Amerika terus dianggap punca kerosakan dunia.

Bagaimanakah Amerika yang berjaya menyatukan negaranya yang besar, tiba-tiba gagal menjadi contoh kejayaan buat dunia? Ya, sebabnya mudah. Amerika meletakkan kepentingan Amerika mengatasi kepentingan manusia seluruhnya. Amerika berjuang untuk bangsa Amerika, bukan untuk manusia dan dunia.

Begitulah manusia bersilat dan berteka-teka mencari formula terbaik membina asas dan faktor penyatuan umat, tetapi masih gagal. Ada blok-blok negara yang dibentuk berdasarkan ideologi pemikiran dan ugama. Walaupun ia berjaya menyatukan di antara beberapa negara, tetapi ia tetap bagai api yang bersedia mencetuskan peperangan di antara negara-negara besar sebagaimana berlakunya perang dunia 1 dan 2 pada abad ke-20 dulu.

Sekarang kita melihat betapa sukarnya penyatuan umat. Kerana berebut kepentingan antara kelompok, alangkah sukarnya manusia menemui formula paling mujarab.

Apakah cadangan Islam untuk penyatuan? Apakah faktor dan asas utama yang berjaya dibangunkan oleh Islam dan umatnya sehingga mereka berjaya dalam sejarah hebatnya menyatukan umat manusia, seterusnya berjaya membina tamadunnya yang gilang-gemilang dalam sejarah manusia?

Jawabannya ialah faktor Islam. Anda pastinya bertanya, bukankah agama-agama itu memecah-mecahkan antara manusia dan telah terjadi banyak berbalahan dan persengketaan ugama sepanjang zaman?

Ia persoalan yang baik. Tetapi Islam mampu menjawabnya. Kita bincangkan nanti di keluaran akan datang.

*Artikel ini adalah untuk siri kolum ‘Terang Rembulan’ dalam akhbar Harakah.

%d bloggers like this: