Sumber : Web JHEAINS

Bersedekah amat digalakkan oleh Islam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 261:

‘Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas rahmatNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya’.

Ayat ini menceritakan tentang kelebihan bersedekah. Setiap sesuatu yang disedekahkan, akan digandakan pahala oleh Allah SWT. Namun, Dalam mengerjakan amalan bersedekah, kita perlulah melakukannya dengan hati yang ikhlas kerana Allah SWT, bukan disebabkan sesuatu seperti kerana nama atau asal bersedekah sahaja.

Supaya perbuatan bersedekah itu tidak menjadi sia-sia, agama Islam telah mengajar umatnya bahawa ketika bersedekah, maka biarlah menepati erti sedekah itu sebenarnya. Dan harus diperhatikan juga bahawa barang yang disedekahkan itu hendaklah baik dan elok. Adalah tidak wajar dan munasabah andainya benda yang disedekahkan itu jika disedekahkan kepada kita, kita sendiri tidak menyukainya dan tidak rela menerimanya.

Biarlah yang disedekahkan itu daripada benda-benda yang disenangi oleh penerimanya. Kerana itulah Allah Subhanahu Wataala melarang bersedekah dengan benda-benda yang tidak baik. Perlu diingat bahawa bersedekah adalah merupakan ibadat dan tanda mensyukuri nikmat yang dianugerahkan Allah Subhanahu Wataala kepada kita. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 267 yang bermaksud:

“Wahai orangorang yang beriman! Belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu kalau diberikan kepada kamu kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi sentiasa terpuji”.

Umat Islam mempunyai peluang yang amat luas untuk melipatgandakan pahala khususnya bagi mereka yang dikurniakan harta dan wang ringgit yang banyak. Oleh itu, beruntunglah orang-orang yang diberi oleh Allah SWT kelebihan suka menolong orang lain dan bersedekah di dalam perkara kebajikan. Sabda Rasulullah SAW: Bermaksud:

“Sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain”.

Berdasarkan hadis ini, maka beruntunglah bagi sesiapa yang menjadi orang yang banyak memberi manfaat kepada sesama manusia. Selain itu, mereka juga suka memberi bantuan dalam kerja-kerja kebajikan dan berusaha mengurangkan penderitaan terhadap musibah yang ditanggung oleh seseorang.

Oleh itu, seruan amalan suka menolong dan membantu orang lain adalah termasuk dalam amal ibadah, bahkan pahalanya sangat besar. Islam tidak membataskan sedekah pada harta semata-mata, bahkan Islam menganggap semua kebaikan sebagai sedekah. Saban hari media massa memaparkan kisah penderitaan masyarakat, ada dalam kalangan mereka yang terlantar sakit, fakir dan miskin.

Sebenarnya, kita boleh membantu mereka sama ada dengan wang ringgit atau sokongan moral. Ada juga dalam kalangan mereka memerlukan pelbagai bantuan, antaranya bantuan organ untuk meneruskan kehidupan. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 32:

Maksudnya:“ Dan sesiapa yang menjaga kehidupan manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga kehidupan manusia semuanya.”

Rumusan.

Pertama: Secara Fitrahnya Umat Islam tidak boleh hidup bersendirian. Oleh sebab itu, mereka hendaklah hidup bermasyarakat dan membantu antara satu sama lain. Sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW: Yang bermaksud:

“Orang yang beriman itu seperti satu binaan yang saling menguatkan diantara satu dengan yang lain.”

Kedua: Anggota masyarakat hendaklah hidup dalam suasana ukhuwah. Ini akan menjamin hidup mereka dalam keadaan aman sejahtera, makmur dan bahagia. Allah SWT berfirman:

“Sesunggunhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Ketiga: Tuntutan bersedekah dan menderma adalah sebahagian daripada cabang iman. Sesiapa yang melaksanakan tuntutan ini akan mendapat ganjaran pahala serta dikasihi Allah SWT dan Rasul SAW.

Advertisements