Sumber : Web JHEAINS

Bagi umat Islam, tiada suatu nikmat lain yang lebih besar daripada kelahiran dan pengutusan junjungan besar Nabi Muhammad SAW ke alam maya ini. Ini kerana, bermula dari detik kelahiran Baginda SAW pada tanggal 12 Rabiulawal Tahun Gajah bersamaan 20 April tahun 571 Masihi, seribu satu macam perubahan berlaku kepada kehidupan manusia.

Daripada penyembahan kepada berhala bertukar kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT; daripada sibuk berperang sesama sendiri bertukar kepada menyibukkan diri dengan ibadah-ibadah yang dituntut; daripada bergelumang dengan dosa dan perbuatan keji jahiliah bertukar kepada berpegang dengan nilai akhlak Islam seperti saling menghormati dan bertolak ansur sesama manusia.

Justeru, majlis sambutan Maulidur Rasul adalah hal yang amat digalakkan sebagai wadah bagi melahirkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW. Kita dituntut mencintai Baginda SAW kerana kita tidak akan merasai kemanisan iman yang sebenar melainkan Rasulullah SAW dijadikan orang paling dikasihi selepas cinta terhadap Allah SWT.

Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang memiliki tiga perkara ini akan dapat merasai kemanisan iman, iaitu cinta kepada Allah dan Rasul lebih daripada segalagalanya. Kedua, menyintai seseorang kerana Allah dan takut kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya seperti dia benci untuk dilemparkan dalam api neraka yang panas.” (HR Bukhari dan Muslim).

Dengan kata lain, untuk mengzahirkan kecintaan kepada Allah SWT hendaklah mengikut Nabi Muhammad SAW. Ini selaras dengan firman Allah SWT:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika kamu benar mengasihi Allah maka ikutlah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (S. Ali-Imraan: 31).

Sehubungan itu, dalam sabdanya yang lain, Rasulullah SAW menegaskan: “Demi nyawaku di tangan-Nya, tidak beriman seseorang kamu sehingga aku menjadi orang yang dia kasihi melebihi kasihnya terhadap ayah, ibu dan semua makhluk yang lain.” (HR Bukhari).

Dengan hal yang demikian, kita sebagai umatnya mesti meletakkan kecintaan terhadap Baginda di puncak rasa cinta. Ia membawa erti bahawa umat Islam mestilah patuh dan taat menurut segala sunnah Rasulullah SAW dan tidak melakukan penyelewengan terhadap aturan kehidupan sebenar seperti yang digariskannya.

Ini adalah satu perintah yang manfaatnya semata-mata untuk kepentingan manusia sendiri, dan bukannya untuk kepentingan Allah SWT atau Rasul-Nya. Hal ini sejajar dengan apa yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, supaya kamu diberi rahmat.” (S. AliImraan: 132).

Advertisements