Sumber : Web JHEAINS

Setiap kita mempunyai tanggungjawab dan amanah. Setiap tanggungjawab dan amanah itu akan dipersoalkan dan ditanya kelak di hari akhirat. Khatib ingin mengajak para Jemaah untuk melihat beberapa tingkat-tingkat atau kategori amanah itu, antaranya:

1. Amanah kita kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Firman Allah SWT di dalam Al Quran:

“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”. (Surah Al-Anfaal, ayat 27)

Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan lagi maksud ayat ini, bahawa mengkhianati amanah Allah SWT dan Rasul-Nya ialah dengan meninggalkan suruhan-Nya dan melanggar larangan-Nya. Mengkhianati amanah pula ialah amanah orang sama ada yang berupa harta benda atau rahsia atau apa jua.

2. Amanah dalam kepimpinan. Termasuklah atas nama kita sebagai pemimpin, suami, isteri serta sebagai pembantu itu adalah amanah yang berat dan akan dipersoalkan ketika di dunia dan juga di hari kiamat kelak.

Sebagaimana ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepimpinannya. Seorang amir (pemerintah, pemimpin atau ketua) akan diminta pertanggungjawaban terhadap rakyat yang dipimpinnya. Seorang lelaki (suami) adalah pemimpin akan ditanya terhadap keluarga yang dipimpinnya. Seorang wanita (isteri) adalah pemimpin terhadap rumahtangga suaminya akan dipertanggungjawabkan terhadap tugasnya. Bahkan seorang hamba (pembantu) juga adalah pemimpin yang dipertanggungjawabkan terhadap barang milik tuannya, juga akan ditanya dari hal yang dipimpinnya. Dan kamu semua adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta pertanggungjawaban terhadap hal dipimpinnya”. (HR Imam Bukhari dan Muslim)

3. Amanah dalam memberikan keadilan dan hak. Allah SWT memerintahkan supaya kita menjaga amanah serta serahkan segala amanah kepada orang yang berhak, firman-Nya:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat” .(Surah An-Nisaa’, ayat 58)

Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan tentang perkara amanah berkenaan, bahawa amanah itu ialah sesuatu yang wajib dipelihara dengan sebaik-baiknya dan diserahkan kepada tuannya. Orang yang tidak menjaga amanah dan tidak menyampaikannya, menjadilah dia orang yang khianat.

4. Amanah dalam dalam mesyuarat. Yakni perkara yang dibincang dan diputuskan dalam satu-satu mesyuarat juga merupakan amanah yang mesti dijaga, yakni tidak wajar diberikan atau disebarkan kepada orang yang tidak berhak, sebagaimana sabda Rasulullah SAW lagi dalam Hadithnya yang bermaksud:

“Apa yang dibicarakan dan terjadi dalam majlis-majlis (mesyuarat atau pertemuan) hendaklah dijaga dan dipelihara sebagai amanah”. (HR Abu Daud)

5. Amanah dalam perniagaan. Firman Allah SWT:

“…maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah, Tuhannya…”. (Surah Al-Baqarah, ayat 283).

Termasuklah para peniaga sama ada perniagaan besar, kecil atau sebagai penjaja dan sebagai, jika mereka menjaga dan melaksanakan amanah sebaik-baiknya dalam urusan perniagaan, jujur, tidak menipu dalam timbangan dan seumpamanya. Ingatlah, sungguh tinggi darjat mereka, kerana di hari kiamat nanti mereka merupakan golongan VIP yang akan duduk sebaris dengan para Nabi, siddiqin dan para syuhada, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Pedagang yang jujur amanah bersama-sama para Nabi , siddiqin dan para syuhada kelak di hari kiamat”. (HR At-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Juga kepada peniaga yang sentiasa menjaga amanah dalam memastikan makan, minum dan barang/bahan gunaan yang benar-benar halal, bersih dan berkhasiat. Beruntunglah mereka, selain memperolehi keberkatan dalam perniagaan, mendapat pula redha di sisi Allah SWT serta keuntungan berupa wang ringgit dan sebagainya.

6. Amanah dalam kemasyarakatan. Firman Allah SWT:

“Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya”. (Surah Al-Mu’minun, ayat 8)

Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan lagi mafhum ayat ini, yakni orang yang beriman yang Berjaya itu ialah mereka yang apabila diberikan memegang amanah, mereka tidak mengkhianatinya, bahkan mereka akan menjaganya serta menyerahkannya kepada tuannya dan apabila mereka berjanji, mereka tidak mencabulinya, bahkan mereka akan menepatinya, kerana perbuatan khianat dan mencabuli janji itu ialah sifat orang munafik, sebagaimana yang tersebut di dalam Hadith-Hadith Nabi SAW.

Advertisements