Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/38706-catatan-dari-turki-ummah-kita-tanggungjawab-kita

MUHTAR SUHAILI | 28 November 2015.

Alhamdulillah, puji dan sanjungan kepada Allah Azza Wajalla Tuhan seluruh alam kerana masih beroleh kesempatan untuk meneruskan penghidupan dan mensyukuri rahmat kasih sayangNya. Semoga selawat dan salam sentiasa tercurah buat kekasih Allah dan Rasul yang paling mulia, Nabi Muhammad SAW, keluarganya, para sahabatnya, para tabi’in, para tabi’at-tabi’in dan sesiapa sahaja yang mengikuti jalan yang lurus berpaksi kepada kebenaran Islam sehingga hari Kiamat.

Catatan ini ditulis pada jam 3.00 pagi di Istanbul, Turki (jam 9.00 pagi di Malaysia), kini musim sejuk dengan suhu sekitar 18degC. Di musim sejuk waktu siang lebih pendek, dengan waktu Subuh 5.29 pagi dan Maghrib masuk pada jam 4.39 petang.

Alhamdulillah, hari ini sehari suntuk mengikuti Persidangan Antarabangsa Belia Islam di Wow Convention Center, Istanbul, Turki yang dihadiri sekitar 200 perwakilan dari pelbagai gerakan Islam dari seluruh dunia.

Prof. Dr. Mustafa Kamalak, Presiden Parti Saadet telah merasmikan persidangan ini semalam dan in shaa Allah kemuncak kepada persidangan 26-28 November ini ialah program Pidato Umum yang mana salah seorang jemputan khasnya untuk memberi Ucapan Penggulungan ialah Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Naib Ketua Kesatuan ‘Ulamak Sedunia merangkap Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang dalam Bahasa Turkinya Malezya Islam Partisi (PAS) Lideri. Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia juga telah diberi penghormatan menyampaikan ucapan berkenaan Politik Antarabangsa.

Persidangan ini diadakan dalam keadaan pelbagai propaganda yang memusuhi Islam dicanang di seluruh dunia dan Muslim cuba dipersepsi bahkan disinonimkan dengan keganasan. Negara-negara Islam pula seakan-akan terus bangga untuk berpecah-belah dan tidak bersatu-padu serta majoriti selesa dan rela (atau paksa rela) ditarik telinga sesuka hati oleh kuasa-kuasa besar dunia.

Justeru tema persidangan yang dipilih iaitu “Unity Of Islam, Unity Of Ummah”, atau “Kesatuan Islam, Kesatuan Ummah” adalah amat tepat pada waktunya. Turki pula menjadi salah satu negara yang terus berani menganjurkan persidangan Diskusi Islam di saat negara-negara Timur Tengah terus bergolak dan menjadi bacul bila berhadapan dengan Amerika Syarikat dan sekutunya (namun menyinga bila berberantakan dan berperang sesama mereka) dan negara-negara Islam lain terus dibelenggu pelbagai masalah tersendiri.

Peranan Turki dan persidangan-persidangan antarabangsa yang berterusan diadakan di bumi yang dulunya tertegak Khilafah Uthmaniyah ini bagi saya adalah petanda positif ke arah masa depan ummah yang lebih baik. Meski ramai yang skeptikal sejauhmana dapatan persidangan ini mampu menghasilkan tindakan yang konkrit, namun saya kekal positif bahawa ini adalah api-api kecil kebangkitan yang sekiranya diteruskan dengan berstrategi mampu memarakkan usaha mengembalikan Daulah Islamiyah yang diimpikan.

Persidangan ini mengumpulkan delegasi dari pelbagai benua, dari New Zealand di Lautan Pasifik sampailah ke Maghribi di Lautan Atlantik. Perwakilan dihidangkan dengan pelbagai ucapan dan pembentangan yang memperihalkan kondisi semasa yang dihadapi. Kita diberitahu tentang Palestin dan Al-Aqsa yang terus bermandi darah dan saban hari dilanyak oleh Zionis laknatullah, isu hak asasi manusia yang parah di Bangladesh yang tanpa berhati perut terus memangsakan ahli-ahli gerakan Islam, isu pemerkosaan demokrasi di Mesir yang mana sehingga kini Presiden pertama yang dipilih secara pilihanraya terbuka meringkuk di penjara, isu negara Tanzania yang banyak fakta disembunyikan untuk memastikan umat Islam di sana yang dikatakan merangkumi 50% penduduk terus merempat di bumi sendiri dan dianggap rakyat kelas kedua, isu kemanusiaan masyarakat minoriti Muslim seperti Rohingya, Uygur, Moro dan lain sebagainya, pertembungan dan percaturan NATO vs Rusia di Timur Tengah yang semakin berselirat, dan rencam isu serta pelbagai lagi kisah-kisah yang boleh dibukukan untuk menggambarkan parahnya kondisi umat saat ini.

Atas segalanya, saya terinspirasi dengan ucapan perasmian oleh Prof. Dr. Mustafa Kamalak, Presiden Parti Saadet yang meneruskan barton perjuangan yang dimulai oleh Necmetin Erbakan. Beliau mengajak seluruh hadirin agar umat Islam terus meribatkan tangan, bahu-membahu dan bersatu-padu untuk Islam. Gerakan Islam dengan dasar perjuangan Islam perlu memimpin dan memandu ummah serta istiqamah terus mara dengan jalan yang lurus.

Dengan jumlah penganut Islam seramai 2 Billion di seluruh dunia dan 78% dari sumber tenaga dunia (minyak, gas dan bahan galian lain) berada di bumi umat Islam, maka kita sebenarnya mampu menjadi kuasa besar dunia, bahkan inilah keyakinan kita bahawa masa depan di tangan Islam.

Prof. Dr. Mustafa Kamalak menyebut bahawa kita perlu bertindak dalam berhadapan dengan 3 jenis imperialisme yakni penjajahan alaf baru:

1. Imperialisme Ketenteraan.
2. Imperialisme Ekonomi.
3. Imperialisme Budaya.

Kita lemah dari segi ketenteraan bahkan lebih lemah lagi dari segi penyatuan amal. Kita berbangga menaiki kapal terbang yang semakin canggih, merasa tinggi diri dengan kenderaan hebat yang kita miliki dan sebagainya, sedangkan semuanya buatan import dan teknologi orang lain. Kita bangga dengan budaya Barat sedangkan kita umat Islam sebenarnyalah pemilik kebudayaan terunggul yang dijana dari sumber terhebat yakni Al-Qur’an dan Al-Hadith.

Secara rumusannya, kita lemah kerana meninggalkan Islam. Sedang itulah sebenarnya sumber kekuatan kita! Kita memakai baju Islam tetapi tiada roh Islam! Kita berpolitik tetapi mengkesampingkan siasah Islamiyah! Kita berekonomi tetapi tidak menggunakan sistem muamalat Islam! Dan kita kononnya berbudaya sedang sebenarnya hanya ciplakan dari dunia Barat yang semakin celaru dan keliru!

Masih ada sinar di hadapan? Ya, masih ada lagi! Renungilah jua sabda Baginda Rasulullah SAW: Dari ‘Amru bin ‘Auf Al-Anshary, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda kepada orang-orang Anshar pada suatu hari: “Bergembiralah kamu sekalian, nescaya kamu akan mendapati apa yang kamu inginkan; Demi Allah, bukanlah kefakiran yang lebih aku takuti (menimpa) kamu, tetapi aku takut (kalau) dunia ini dibentangkan ke atas kamu (diberi kekayaan dan dimurahkan rezeki) sebagaimana ia telah dibentangkan ke atas orang-orang sebelum kamu; maka kamupun berlumba-lumba (mencari) nya (dunia) sebagaimana mereka berlumba-lumba dengannya, lalu duniapun memusnahkan kamu sebagaimana dia memusnahkan mereka.” (Muttafaq ‘Alaihi).

Atas segalanya, dalam menghadapi mehnah dan tribulasi umat saat ini, kita perlu melaksanakan peranan kita masing-masing. Kita perlu terus menjadi penggerak kepada perubahan, pelaksana kepada kebangkitan dan menjadi abnaul harakah mata rantai perjuangan ini. Ummah Kita Tanggungjawab Kita, maka kitalah yang perlu memikul amanah mencemerlangkan ummah dalam usaha megembalikan kegemilangan Islam. Nampak sukar, tapi pasti ada jalannya in shaa Allah..

Saya ingin mengajak kita semua untuk mencontohi seorang sahabat bernama Khalid ibn Zayd ibn Kulayb. Anda kenal siapa Khalid ibn Zayd ibn Kulayb? Mungkin nama ini tidak familiar dengan ramai dalam kalangan kita. Namun sekiranya saya menyebut nama Abu Ayyub al-Anshari ra, siapakah di antara kita kaum Muslimin yang tidak mengenal nama besar ini? Pusaranya ada di bumi Istanbul ini berhampiran Masjid Eyyub.

Abu Ayyub al-Anshari ra atau nama sebenarnya Khalid ibn Zayd ibn Kulayb dari Bani Najjar merupakan seorang sahabat yang mulia dan terkenal dengan keindahan budi pekerti. Beliau merupakan salah seorang sahabat yang sangat akrab dengan Rasulullah SAW dan bersama Baginda di dalam semua peperangan. Malah Allah telah memuliakan penduduk Timur dan Barat yang me­nyebutnya, manusia yang paling tinggi darjatnya yang mana rumah­nya telah dipilih di antara rumah kaum Muslimin lainnya untuk persinggahan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda tiba di Madinah dalam peristiwa Hijrah. Ini merupakan kemuliaan terbesar bagi Abu Ayyub al-Anshari ra.

Apakah motto hidup anda? Adakah sekadar Que Sera Sera (apa nak jadi, jadilah)? Anda ingin mengetahui motivasi unggul yang digenggam utuh oleh Abu Ayyub al-Anshari ra? Mari kita hayati motto hidup sahabat yang hebat ini. Beliau sentiasa membawa motto diri yang mana sepanjang hari Abu Ayyub al-Anshari ra sering mengulang-ulang suatu ungkapan yang diangkat menjadi motto kepada dirinya.

Saya juga telah menjadikan kata-kata ini sebagai salah satu motto hidup dan ingin mengajak sahabat dan kenalan sekalian untuk sama-sama kita menilai dan mengaplikasikannya dalam kehidupan. Pasti ada khairnya dunia dan Akhirat, in shaa Allah.

Inilah motto hidup beliau yang sangat tinggi nilainya:

Infiru khifafan wa tsiqalan! …Berjuanglah kamu, sama ada senang mahupun susah… (Surah At-Taubah, ayat 41)

Sungguh, sekiranya kita mampu menjadikan “Infiru khifafan wa tsiqalan! …Berjuanglah kamu, sama ada senang mahupun susah…” sebagai motto hidup, pasti hidup akan bahagia. Musibah yang menimpa terasa nikmat dan tenang kerana ia adalah ujian dari Allah SWT buat hambaNya. Mehnah yang tiba dihadapi dengan redha dan sabar. Tribulasi yang melanda disungguhi dengan keyakinan.

Musibah, mehnah dan tribulasi bukan alasan untuk kita berhenti berjuang. Malah kita akan sentiasa berjuang sama ada susah mahupun senang demi redha Allah sehinggalah kita beroleh kemenangan atau syahid di jalanNya. Inilah motto hidup terunggul. ‘Isy ‘azizan aumut syahidan!

Selain itu, ada satu lagi motivasi hebat yang kita boleh pelajari dari kisah kehidupan Abu Ayyub al-Anshari ra ini. Anak muda wajar tercabar dengan kisah ini. Bagi orang tua pula, jangan pernah berhenti dalam perjuangan!

Abu Ayyub al-Anshari ra terlibat secara langsung di dalam usaha dakwah menawan dan membebaskan kota Konstantinople pada tahun 44H/ 666M di dalam satu ketumbukan tentera yang diketuai oleh Yazid bin Muawiyah bagi merealisasikan Motivasi Nabawi berdasarkan hadith:

“Konstantinople itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawanan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya” (Hakim, 4.422; Bukhari, Tarikh al-Saghir, 139; I. Hanbal, 4.335)

Tahukah anda bahawa Abu Ayyub al-Anshari pada ketika itu usianya sudah mencecah lebih 80 tahun! Ya, beliau sudah cukup tua. Namun beliau membuktikan bahawa tokoh lanjut usia yang penuh uban di kepalanya juga mampu memberi sumbangan dan berprestasi besar dalam perjuangan Islam!

Maka sebagaimana yang diceritakan dalam perkisahan sejarah, tentera Islam telah bertembung dengan Tentera Byzantine di Konstantinople dan terjadilah perang yang berkecamuk. Saat jatuh sakit menjelang wafat di antara pasukan Muslimin yang tengah dalam perjalanan berperang, Yazid bin Muawiyah telah bertanya kepadanya apa permintaan terakhir beliau. Maka dengan semangat juang, Abu Ayyub al-Anshari menjawab dalam keadaan nazak:

“Bawakan tubuhku dan teruskan perjuangan bersama-sama dengan tubuhku di tengah musuh. Dan sekiranya aku syahid meninggal dunia.. Kau kebumikanlah aku di Konstantinople.. Supaya pada suatu hari nanti apabila tentera Islam berjaya menawan Konstantinople.. Maka aku akan mendengar bunyi tapak-tapak kaki kuda tentera Islam di atas kuburku… Dan pada hari itu tahulah aku bahawa janji Nabi SAW sudah terlaksana!”

Sebahagian riwayat menyatakan Abu Ayyub al-Anshari dengan sepenuh keyakinan mengatakan; “Jika aku mati maka bawalah jenazahku. Jika kalian bertemu dengan musuh, kuburkanlah jasadku di sana. Aku ingin jasadku dikubur di tengah medan pertempuran atau yang dekat dengannya, sehingga rohku bergerak di atas medan tempur.”

Itulah permintaan Abu Ayyub al-Anshari dan ditunaikan oleh Yazid bin Muawiyah. Beliau menginginkan kehidupan Akhiratnya dalam keadaan berjihad sebagaimana semasa hidupnya di dunia. Akhirnya di jantung Konstantinople, ketika pasukan Islam berperang melawan pasukan musuh, di sanalah jasad Abu Ayyub al-Anshari yang mulia itu dimakamkan.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, lebih 800 tahun kemudian, tentera Islam pimpinan Muhammad bin Murad yang lebih dikenali sebagai Muhammad Al-Fateh pada tahun 857H/ 1453M berjaya menawan Konstantinople dan menukar namanya kepada Islam Bul yang bermaksud Kota Islam (kini dikenali sebagai Istanbul). Maka Abu Ayyub al-Anshari pastinya gembira mendengar bunyi tapak-tapak kaki kuda tentera Islam di atas kuburnya pada ketika itu. Dan benarlah bahawa janji Nabi SAW pasti terlaksana!

Akhirul kalam.. Infiru khifafan wa tsiqalan!

Wallahu a’la wa a’lam.

Catatan Muhtar Suhaili As-Sarawaki
27 November 2015, 4.57am
Wow Hotel, Istanbul, Turki