Sumber : Web JHEAINS

Doa merupakan saluran bagi seseorang hamba menyampaikan permohonan serta hajatnya kepada Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Maka, seorang Muslim sentiasa memohon dan meminta kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh dan penuh pengharapan. Ia berdasarkan kepada keyakinan bahawa Allah SWT akan memperkenankan setiap doa hambanya sebagaimana firman-Nya di dalam al-Quran:

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.” (S. Al-Mukmin: 60).

Sungguhpun demikian, ada yang bukan sahaja tidak dimakbulkan akan doanya, malahan langsung tidak dipedulikan oleh Allah SWT. Mereka itu ialah yang tidak mahu bertaubat daripada mengambil, memakan, meminum atau menggunakan harta yang haram. Ini berdasarkan sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud:

“…Seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku…wahai Tuhanku… sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya.” (HR Muslim).

Melalui Hadith ini, Nabi SAW menerangkan perihal seorang pemuda yang sentiasa berdoa kepada Allah dengan tawaduk dan bersungguh-sungguh. Bagaimanapun, doanya tidak dimakbulkan oleh Allah SWT meskipun dia berada dalam keadaan musafir. Ia kerana pemuda itu tidak mempedulikan persoalan harta yang digunakannya , sama ada daripada sumber yang halal atau yang haram.

Hakikatnya, setiap Muslim perlu pastikan agar doa yang dipanjatkan ke hadrat Allah SWT tidak terhijab atau terhalang daripada dimakbulkan. Pada masa sama, umat Islam perlu prihatin dan tidak mengamalkan sikap ambil mudah terhadap kehalalan serta kesucian apa jua yang dimakan, diminum dan digunakan. Ia penting kerana kehalalan makanan mengikut syariat agama mempunyai pengaruh besar kepada pembentukan serta perkembangan peribadi seseorang Muslim. Caranya sudah tentulah dengan memastikan apa jua yang dimakan, diminum atau digunakan adalah halal lagi baik. Piawaian ini ditetapkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (S. Al-Baqarah: 168).

Jelas di sini, piawaian pemakanan yang seharusnya diambil kira oleh setiap manusia sama ada orang Islam mahupun bukan Islam adalah “Halalan Thoyiban” yang membawa maksud halal lagi baik. “Halal” membawa makna “dibenarkan” atau “dibolehkan” oleh hukum Syarak. Manakala perkataan “Thoyiba” pula merujuk kepada aspek positif seperti berzat, bersih, berkualiti, selamat dan tidak membawa kemudaratan kepada manusia.

Jadi, piawaian “Halalan Thoyiban” bukan hanya terbatas kepada bersih dan suci daripada babi atau najis tetapi juga mengambil kira aspek yang lebih meluas untuk apa sahaja yang hendak dimakan, diminum atau digunakan. Ia termasuk halal dalam cara memperolehnya yang tidak melalui cara haram seperti mencuri, merompak, rasuah dan sebagainya.

Piawaian ketat Islam ini juga mencakupi cara pemprosesan serta penyimpanan bermula dari ladang sampai ke meja. Ia membabitkan penyediaan pemprosesan serta penyimpanan yang tidak bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak memenuhi apa-apa benda yang dihukum najis mengikut hukum Syarak.

Advertisements