Sumber : Web JHEAINS

Perkahwinan atau pernikahan merupakan satu akad yang menghalalkan pergaulan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram dan menimbulkan hak serta kewajipan antara kedua-dua mereka. Ia adalah satu ikatan sangat murni antara lelaki dan perempuan untuk hidup bersama dalam sebuah rumah tangga untuk memperoleh zuriat keturunan dan mengembangbiakkannya dengan perasaan penuh kemesraan dan kasih sayang. Ini sejajar dengan hikmah perkahwinan itu yang digariskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” (S. Ar-Rum: 21).

Jelas dari firman Allah SWT tersebut, perkahwinan dalam Islam mempunyai pengertian dan konsep yang sangat suci dan berbeza dengan agama lain. Ini kerana, apabila seorang lelaki dan perempuan Muslim bersetuju untuk berkahwin, mereka pada hakikatnya berjanji untuk menjaga amanah, menunaikan tanggungjawab dan memberikan hak kepada pasangannya. Ia membolehkan pasangan terbabit mengecap nikmat yang membawa kedamaian, menjauhkan maksiat, menghilangkan keresahan hati serta dapat meningkatkan nilai ibadat di sisi Allah SWT.

Sesungguhnya agama Islam yang diturunkan oleh Allah SWT telah sempurna dan tiada yang tertinggal untuk diperbaiki atau ditukang oleh manusia. Ia sempurna dalam segenap segi yang merangkumi soal ibadat, muamalat, akhlak dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan syariah.

Disebabkan kesempurnaannya itulah maka umat Islam dilarang meniru serta menerapkan adat atau budaya dalam kehidupan harian yang bertentangan atau tidak selari dengan ajaran Islam yang sebenar. 3 Ini termasuklah dalam soal perkahwinan. Pernikahan dan majlis jamuan meraikan pengantin serta para tetamu hendaklah mengikut lunas-lunas syariat dan bukannya adat. Matlamatnya adalah untuk memastikan pernikahan dan majlis jamuan yang mengiringinya beroleh berkat dan rahmat dari Allah SWT.

Sehubungan itu, sesiapa yang berhasrat mendirikan rumah tangga bukan sahaja harus bersedia dari segi jasmani, rohani, emosi dan material, malahan apa yang lebih utama adalah bersedia dari segi ilmu agama, ilmu keibubapaan, ilmu mendidik anak-anak dan lain-lain lagi yang berkaitan.

Di samping itu, bakal pasangan juga hendaklah mengajukan permohonan bernikah kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri supaya pernikahan dikendalikan oleh juru nikah yang bertauliah. Ini adalah untuk memastikan pernikahan itu dijalankan mengikut syariat, mendapat sijil nikah yang sah selain memudahkan urusan pendaftaran kelahiran anak di Jabatan Pendaftaran Negara.

Perkara ini kita ketengahkan kerana masih terdapat pasangan Islam yang berkahwin tidak mengikut peraturan. Ada yang berkahwin melalui sindiket dan ada juga yang “kahwin kampung”, iaitu perkahwinan yang biasanya dikendalikan di kampung tanpa dihadiri oleh jurunikah bertauliah. Perkahwinan seumpamanya bukan sahaja dikhuatiri tidak sah dari segi syarak, malahan turut berkemungkinan menghadapi kerumitan dalam urusan pendaftaran kelahiran anak.

Advertisements