Sumber : Web JHEAINS

Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan berita sedih apabila Masjid Al-Aqsa yang terletak di Palestin yakni masjid yang ketiga suci bagi umat Islam telah diserang dan diceroboh oleh Zionis laknatullah. Mereka bertindak kejam dengan membakar bahagian dalam Masjid Al Aqsa serta memusnahkan kawasan sekitar masjid.

Serangan daripada pihak Zionis ini merupakan salah satu usaha mereka dalam meruntuhkan Masjid Al Aqsa agar mereka boleh membina Haikal Sulaiman yang menjadi matlamat utama mereka selama ini. Serangan serta pencerobohan zionis terhadap Masjid Al-Aqsa bermula pada 15 September yang lalu dan berlarutan sehinggalah ke saat ini.

Sepanjang pencerobohan ini, ramai dalam kalangan rakyat Palestin telah tercedera tidak kira lelaki mahupun wanita. Kekejaman zionis ini tidak pernag mengira jantina, sedangkan anak kecil yang sedang tidur pun akan menjadi mangsa kepada keganasan mereka. Pembunuhan umat Islam ini umpama pesta keramaian buat mereka yang perlu diraikan dan dijulang tinggi ketika mereka Berjaya membunuh rakyat Palestin.

Palestin merupakan tanah milik umat Islam yang telah dijajah secara rasminya pada 15 Mei 1948. Perjuangan membebaskannya merupakan suatu tuntutan iman dan tanggungjawab seluruh umat Islam. Isu Palestin mempunyai tempat yang istimewa dalam jiwa umat Islam, ia merupakan isu aqidah dan juga mempunyai kedudukan tersendiri di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Bumi Palestin, bumi perjuangan dan padanya kita mempunyai hubungan yang sangat dekat dan rapat kerana Masjid Al Aqsa terletak di bumi tersebut, wajib untuk kita pelihara dan wajib juga untuk kita perjuangkan walau dengan apa cara sekalipun. Antara kita dan Masjid Al Aqsa ada hubungan istimewa yang tidak boleh kita nafikan.

Marilah sama-sama kita menghayati bagaimana istimewanya bumi Baitul Maqdis ini seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quran dan As- Sunnah:

1. Kiblat Pertama Umat Islam

Palestin merupakan bumi yang diberkati kerana telah dipilih oleh Allah SWT untuk menjadikan Masjid AlAqsa sebagai kiblat pertama umat Islam. Rasulullah bersama-sama dengan para sahabat telah berkiblatkan Masjid Al-Aqsa setelah solat disyariatkan pada malam Israk dan Mikraj.

2. Bumi Israk dan Mikraj

Allah SWT telah menjadikan Masjid Al-Aqsa sebagai destinasi terakhir perjalanan Isra di bumi dan permulaan perjalanan Mikraj ke langit. Sebagaimana firman Allah SWT:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَیْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَھُ لِنُرِیَھُ مِنْ آیَاتِنَا ۚ إِنَّھُ ھُوَ السَّمِیعُ الْبَصِیرُ

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya pada malam hari dari Masjid Al-Haraam ke Masjid AlAqsa, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Israa’ : 1)

3. Masjid Ketiga yang dimuliakan

لا تُشَدُّ الرِّحالُ إلا إلى ثلاثةِ مساجدَ : المسجدِ الحَرامِ، ومسجدِ الرسولِ صلَّى االلهُ علیھ وسلَّم، ومسجدِ الأقصى

“Tidak ditekankan bepergian kecuali ke tiga masjid : Masjid Al-Haraam, Masjid Rasulullah SAW dan Masjid Al-Aqsa.” (HR Al-Bukhari)

Hadith lain juga diriwayatkan daripada Abu Darda’ RA:

فَضلُ الصَّلاةِ في المسجِدِ الحرامِ علَى غیرِه مائةُ ألفِ صلاةٍ ، وفي مَسجدِي ألفُ صَلاةٍ ، وفي مَسجدِ بیتِ المقدِسِ خَمسُمِائةِ صلاةٍ

“Kelebihan solat di Masjid Al-Haram berbanding selainnya 100,000 kali solat, dan di masjidku 1000 kali solat, dan di Masjid Baitul Maqdis 500 kali solat.” (HR Al-Bazzar)

4. Terletaknya Baitul Maqdis Kota Besar Umat Islam yang Ketiga

Baitul Maqdis merupakan kota besar Islam yang ketiga yang telah dimuliakan Allah dengan Masjid Al-Aqsa serta kawasan yang diberkati sekelilingnya. Berdasarkan Hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah dan Abu Said al-khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Janganlah kamu bersusah payah untuk bermusafir kecuali untuk menuju ke tiga masjid iaitu: Masjidil Haram, Nasjidku (Masjid Nabawi) dan Masjid Al Aqsa.”

5. Bumi Perjuangan

Bumi Palestin merupakan bumi perjuangan dan bumi Jihad, kerana di sana letaknya sekelompok umat Islam yang teguh berjuang dalam menegakkan kebenaran sehinggalah ke hari kiamat. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah al-Bahili bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Sentiasa akan ada sekelompok dari umatku yang sentiasa berjuang bersama-sama kebenaran, mencabar dan menentang musuh-musuh mereka. Musuh-musuh mereka tidak dapat memberi mudarat kepada mereka sehingga Allah mendatangkan keputusannya. Mereka tetap dalam keadaan demikian.” Maka para sahabat bertanya,”Di manakah mereka?” Jawab Rasulullah.” Di Baitul Maqdis dan sekitarnya” Hadis diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Ahmad dalam Musnad Ahmad.

Advertisements