Sumber : Web JHEAINS

“ Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar. (Iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan ‘INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAAJI’UUN’. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah yang mendapat petunjuk”. (Surah Al-Baqarah, ayat 155-157)

Ayat ini menjelaskan beberapa bentuk ujian, keutamaan orang yang sabar ketika menerima ujian dalam bentuk musibah atau bala bencana. Dan orang yang beriman serta sabar di sisi Allah SWT akan mendapat keberkatan, rahmat dan petunjuk hidayah Allah SWT. Antara bentuk ujian dan cubaan disebutkan dalam ayat ini, ialah :

1. Ketakutan. Takut tidak selamat, tiada makanan, penyakit berjangkit, takut musuh dan bermacammacam bentuk ketakutan.

2. Kelaparan. Mungkin atas sebab tiada makanan, kemiskinan, fakir dan sebagainya

3. Kekurangan harta. Disebabkan kemiskinan, kemarau, banjir, dirompak, dicuri dan sebagai

4. Kekurangan jiwa. Ada yang mati, mungkin punca sebabnya ialah berlakunya peperangan, kemalangan, gempa, bencana, penyakit dan lain-lain.

5. Kekurangan buah-buahan, termasuk kurang makanan yang juga disebabkan banyak punca seperti berlaku kemarau, ditimpa banjir dan sebagainya.

Ketahuilah, bahawa ujian dan cubaan sedemikian menguji orang yang beriman dan orang yang sabar. Rasulullah SAW menegaskan berbahagia orang yang tahan diuji itu, sabdanya yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang bahagia itu ialah orang yang dijauhkan daripada fitnah-fitnah dan orang yang bila terkena ujian dan cubaan dia bersabar”. (HR Imam Ahmad dan Abu Daud)

Ingatlah, sesungguhnya setiap ujian dan cubaan yang kita tempuh itu, sebenarnya adalah untuk Allah SWT tentukan siapakah hamba-hamba-Nya paling baik amalnya. Sebagaimana firman-Nya bermaksud:

“Sesungguhnya telah Kami jadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, kerana Kami hendak memberi cubaan (ujian) kepada mereka, siapakah di antara mereka yang paling baik amalnya”. (Surah Al-Kahfi, ayat 7)

Yakin dan percayalah bahawa segala kesusahan atau bala bencana termasuk jerebu, kemarau, banjir dan sebagainya adalah dalam ilmu pengetahuan Allah SWT, sebagaimana firman-Nya di dalam Al Quran, menyebutkan perkara berkenaan:

Maksudnya:”Tidak ada sesuatu kesusahan atau bala bencana yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya, sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. Kamu diberitahu tentang itu supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira secara sombong dan bangga dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan ingatlah, Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membangga diri”. (Surah Al-Hadid, ayat 22-23)

Advertisements