Sumber : Web JHEAINS

Sudah acapkali kita diuji oleh Allah SWT dengan bencana alam. Selain hujan lebat yang menyebabkan banjir dan kemarau yang menyebabkan kebakaran, jerebu, kemusnahan hutan dan hidupan liar, kita juga diduga dengan gempa bumi, pelbagai jenis penyakit dan bermacam lagi bentuk ujian.

Walaupun bencana itu telah menyebabkan banyak kemusnahan harta benda dan meragut nyawa, namun cahaya kesedaran serta keinsafan untuk menghentikan segala aktiviti yang menyumbang kepada kemusnahan alam sekitar seperti penerokaan hutan secara sewenang-wenang, pencemaran air, pencemaran udara dan sebagainya belum lagi menyerlah.

Akibatnya, kita tidak boleh lagi menikmati udara yang bersih kerana hutan sudah banyak ditebang, kita tidak boleh lagi menikmati ikan yang segar kerana sungai dan laut telah dicemari dengan sisa kumbahan dan sampah-sarap, tidak lagi boleh menikmati sayur yang sihat kerana dicemari sisa toksik dan tidak lagi dapat berehat dengan tenang di rumah kerana bunyi yang terlalu bising dari pelbagai jenis kenderaan dan kilang-kilang perusahaan.

Kenyataan ini adalah isyarat jelas bahawa kemusnahan atau kerosakan yang berlaku di atas muka bumi ini adalah angkara manusia sendiri. Ia berakar-umbi daripada sikap segelintir manusia yang mementingkan diri sendiri untuk keuntungan dan atas nama pembangunan.

Dan sebagai Muslim, kita harus melihat kehadiran bencana sama ada yang berupa penyakit mahupun yang berupa musibah banjir, kebakaran, jerebu, peperangan, gempa bumi dan sebagainya itu sebagai peringatan daripada Allah SWT supaya segera mengurangkan kesan kerosakan terhadap alam sekitar kurniaan Ilahi yang tidak ternilai ini. Tindakan ini penting kerana segala punca permasalahan alam sekitar adalah perbuatan tangan manusia. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya bermaksud:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (S. Ar-Ruum: 41).

Hakikatnya, kita memerlukan alam sekitar yang bersih, indah dan selamat daripada aktiviti pencemaran agar hidup kita sentiasa terjamin dan terhindar bencana. Justeru, Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) Peringkat Kebangsaan yang berlangsung pada 21 hingga 27 Oktober ini mengajak orang ramai supaya sama-sama menjaga alam sekitar.

Objektif sambutan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan orang ramai, mengeratkan dan mempertingkatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam pengurusan alam sekitar, dan menggalakkan kerjasama antara pelbagai agensi seperti pertubuhan bukan kerajaan, agensi swasta, individu dan sebagainya dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.

Dan pastinya, kesedaran alam sekitar bermula dari dalam diri individu sendiri dan tindakan yang diambil pula adalah pilihan menurut kapabiliti dan kapasiti masing-masing. Yang penting, buatlah pilihan yang bijak dengan kesedaran, pengetahuan, kefahaman, perubahan sikap dan penyertaan fizikal.

Ia adalah cara bagi menghargai kepentingan alam sekitar yang mana kejayaan memulihara alam sekitar tentunya memerlukan kerjasama bersepadu daripada setiap lapisan masyarakat. Penjagaan alam sekitar adalah tanggungjawab kita bersama. Semua pihak harus memastikan alam sekitar yang kita huni ini berada dalam keadaan bersih, indah dan selamat bagi menjamin kesejahteraan hidup masyarakat.

Advertisements