Archive for 23 Oktober 2015


Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/38023-perjuangan-pas-dan-pengaruh-pondok

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 22 Oktober 2015.

KEHADIRAN ribuan ulama serta para asatizah ke Ijtimak Pondok yang berlangsung pada 16 Oktober di Pondok Pasir Tumbuh Kelantan membuktikan bahawa PAS masih merupakan wadah perjuangan yang tak mampu dipisahkan daripada institusi agama tradisional berpengaruh negara ini.

Kawasan yang subur dengan tradisi pondok ini pula terbukti menjadi kawasan yang kuat menerima pengaruh PAS. Secara tidak langsung negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu menjadi pertapakan kepada PAS dalam meluaskan sokongan massa.

Pimpinan PAS terus memanfaatkan ruang untuk mendekati guru-guru pondok kerana kedudukan guru pondok yang dihormati dalam hierarki masyarakat Melayu. Menguasai guru pondok bermakna PAS akan terus relevan kepada masyarakat, ini adalah kerana justifikasi sosial seseorang guru agama dengan kebenaran. Di Kelantan pada zaman awal penubuhan PAS usaha-usaha terus dibuat untuk mendapatkan dokongan guru-guru pondok.

Dalam jajahan Bachok pula ialah Tuan Guru Haji Muhammad, Tuan Guru Haji Awang Padang, Tuan Guru Haji Muhammad Zain Osman dan beberapa orang lagi tokoh ilmuwan Islam. Manakala di sebelah Tumpat, Tuan Guru Haji Sulaiman Haji Omar, Tuan Guru Haji Yaakob Kelong, Tuan Guru Haji Daud Geting dan lain-lain lagi.

Manakala di Jajahan Machang ialah Tuan Guru Haji Razali Ismail di Pulai Chondong dan Tuan Guru Wan Yusuf Che Tengah. Di Kuala Krai ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Sulaiman. Di Tanah Merah ialah Tuan Guru Haji Nik Daud Bukit Remah. Di Pasir Puteh, Tuan Guru Haji Muhammad. Di Selising, Tuan Guru Haji Abdul Muttalib Bukit Abal, Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal dan lain-lain lagi.

Kejayaan PAS adalah kerana cita-cita politik Islamnya diterima oleh rakyat Kelantan dan Terengganu kerana rakyat kedua-dua negeri ini memandang tinggi tok guru dan guru-guru agama yang menjadi calon-calon parti itu.

Pengaruh tok-tok guru ini cukup kuat pada masa itu, iaitu apabila guru-guru pondok ini memberi sokongan kepada PAS, juga rakyat juga mudah terpengaruh dan mencontohinya seperti yang berlaku kepada Tuan Guru Haji Abdullah Tahir di Pondok Bunut Payong, Kelantan. Begitu juga dengan kemenangan Tuan Guru Haji Ahmad Hussien pada tahun 1955.

Pondok telah menjadi sebahagian institusi yang penting dalam Pendidikan Islam di alam Melayu ini termasuk di Indonesia, Thailand, Malaysia. Pondok dan PAS telah begitu sinonim dan dikenal pasti semenjak dekad 1950-an lagi, guru-guru dan pelajar pondok telah mendokong PAS.

Pandangan bahawa pondok dan tuan guru pondok telah memberikan lonjakan besar terhadap pengaruh PAS turut dipersetujui oleh tokoh veteran PAS Kelantan, Salahuddin Abdullah (2010):

“Boleh dikatakan majoriti tokoh agama di Kelantan menyokong penuh perjuangan PAS. Mereka terdiri daripada tuan-tuan guru yang memimpin pondok pengajian agama di seluruh negeri Kelantan dan menggunakan pengaruh mereka untuk kepentingan PAS.

Antara mereka ialah Tuan Guru Haji Abdul Ghani Kubang Bemban, Pasir Mas. Tokoh ini telah memberi sokongan padu kepada PAS dan menyebarkan konsep perjuangan PAS kepada rakan-rakan sejawatnya, tuan guru yang lain di Pasir Mas.

Di Kota Bharu, Tuan Guru Haji Abdullah Tahir, Bunut Payong begitu amat menonjol menyokong PAS meskipun sudah agak berusia. Beliau sering diwakili oleh menantunya, Tuan Guru Haji Husin Rahimi. Di Kubang Kerian, Tuan Guru Haji Ahmad Kenali, Tuan Guru Abdul Aziz, Tuan Guru Haji Mustafa Abu Bakar di Pondok Terusan Limbat, Tuan Guru Haji Hasan Ketereh, Tuan Guru Haji Ismail Perol, Tuan Guru Haji Yusuf Padang Kala dan semua tok-tok guru institusi pondok di Kota Bharu ini menjadi penyokong PAS.”

Pendidikan Islam termasuk pendidikan pondok mula mendapat nafas baru apabila berlakunya kebangkitan Islam yang bersifat fenomena di seluruh dunia. Serentak dengan kesedaran untuk mengembalikan kesedaran dan kemuliaan Islam, seruan supaya Pendidikan Islam dimartabatkan kembali berlaku serentak dengan permintaan tinggi peserta-peserta kebangkitan Islam untuk mendapatkan ilmu-ilmu Islam. Sekolah-sekolah pondok di negara ini mula bertenaga kembali, bahkan mula menawarkan kemahiran teknikal yang lain seperti asas perniagaan.

Di Kelantan, dengan kemenangan PAS pada tahun 1990, menyaksikan sekolah-sekolah pondok yang sedia ada mengalami penyuburan dan rangsangan daripada kerajaan negeri. Antaranya dengan penubuhan Pusat Pembangunan Pondok, bantuan ‘one-off’, penubuhan pondok moden di Kandis, Bachok.

Kelantan selepas tahun 1990 menyaksikan juga penubuhan pondok-pondok baru di seluruh negeri itu. Di samping itu, kerajaan negeri Kelantan juga menyediakan sumbangan kepada pusat-pusat pengajian pondok.

Ini dilakukan sebagai mengenangkan jasa yang telah disumbangkan oleh pusat pengajian tersebut dalam mengembangkan agama Islam. Ia juga berperanan memastikan Islam itu sentiasa terpelihara sebagai warisan dari generasi ke generasi sehingga ke hari ini.

Terengganu juga menyaksikan sekolah-sekolah pondok sebagai tempat PAS berkembang. Antaranya Pondok Alur Keladi, Pondok Tok Jiring, Pondok Kuala Ibai, Pondok Losong dan beberapa buah sekolah pondok yang lain.

Kerajaan PAS di Terengganu juga sepanjang pemerintahan singkatnya (1999-2004) telah mengambil usaha untuk membantu pondok-pondok tradisional yang sedia ada di negeri itu. Kerajaan negeri telah memberikan bantuan kepada pelajar pondok seperti bantuan zakat melalui MAIDAM. Beberapa pondok, seperti Pondok Kuala Ibai telah dibantu melalui bantuan “one off” serta bantuan zakat untuk pelajarnya melanjutkan pelajaran ke luar negara. – HARAKAHDAILY 22/10/2015

(Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan.

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/38029-tarbiyah-anak-muda-benteng-hadapi-krisis

HAZMI DIBOK | 22 Oktober 2015.

ADA pelbagai faktor kemasukan anak muda ke dalam PAS. Ada yang masuk kerana warisan, kerana ibu bapanya PAS, maka dia juga PAS. Ada yang masuk secara kebetulan. Terikut-ikut kawan menghadiri program himpunan anjuran PAS, lalu mendaftar sebagai ahli di kaunter yang disediakan. Seronok memiliki kad ahli sebagai koleksi.

Ada yang menyertai PAS kerana isu, marah pada Dr Mahathir, Umno dan BN ketika era reformasi, ada yang menyertai PAS. Setelah kejayaan pembangkang menguasai 5 negeri pada tahun 2008, berbondong-bondong anak muda menyertai PAS termasuk parti-parti pembangkang yang lain.

Begitulah juga tatkala PAS dilanda krisis selepas muktamar yang lalu. Tiba-tiba ramai anak muda menyerah borang permohonan keahlian PAS. Mereka masuk mungkin kerana benci dengan Umno-BN. Mungkin juga meluat dengan tindakan sebahagian bekas ahli PAS yang dilihat sanggup mensabotaj PAS demi mengikut telunjuk DAP.

Apa pun alasannya, anak-anak muda ini wajib dilihat oleh PAS sebagai potensi dan pelapis yang mesti dibina dan dibentuk secara tersusun dan istiqamah. Tujuan penyertaan mereka bersama PAS hendaklah diluruskan. Mereka mestilah difahamkan bahawa PAS bukanlah semata-mata sebuah parti politik.

PAS adalah jamaah Islam yang bertunjang aqidah dan sumber rujukan tertingginya ialah al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qias. PAS meletakkan keutamaan dan penekanan yang seimbang dalam tiga sektor utama perjuangannya iaitu sektor tarbiah, dakwah dan siasah.

PAS tidak maksum. Tiada pimpinan dan ahli yang mendakwa PAS maksum atau terpelihara dari silap. Tetapi sejarah panjang perjuangan PAS semenjak ditubuhkan pada tahun 1951 hingga kini, ia terus kekal bertahan, berkembang dan terus relevan dalam arus perdana walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, rintangan dan krisis.

Kuncinya ialah kerana keikhlasan sebahagian ahlinya yang mendokong perjuangan PAS dan terus mempertahankan dasar dan prinsip perjuangannya yang berteraskan Islam. Benarlah kata-kata Saidina Umar RA yang mafhumnya : “Kita adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Maka tatkala kita mencari kemuliaan tanpa Islam, kita akan ditimpa kehinaan oleh Allah.”

Anak-anak muda ini hendaklah didedahkan dengan kurikulum tarbiah PAS (Nizam Tarbiah). Mereka mestilah difahamkan dengan serius bahawa mereka mestilah mengikuti aktiviti tarbiah secara rutin dan tersusun. Secara ringkasnya, ada tiga marhalah atau fasa pemeringkatan tarbiah.

Fasa Takrif (pengenalan), fasaTakwin (pembinaan) dan fasa Tanfiz (pelaksanaan). Bagi setiap fasa tersebut ada program tarbiah wajib iaitu usrah (satu aktiviti kelompok pembinaan berskala kecil dengan penyertaan terhad secara mingguan atau dwi bulanan) dan tamrin (satu program kem latihan sebagai medan pengukuhan).

Program Usrah ada teksnya yang tersendiri merangkumi tajuk tafsir, hadis, sirah dan fikrah bagi setiap fasa pentarbiyahan. Begitulah juga dengan pengisian tamrin, ada tajuk-tajuk tertentu yang telah disusun dalam teks mengikut kurikulum ditetapkan oleh Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat.

Seterusnya di sana ada program nilai tambah dalam tarbiyah yang dijalankan setelah program Usrah dan Tamrin dapat diikuti dengan baik. Program-program tersebut seperti qiamullail, ijtimak tarbawi, daurah atau kursus latihan, perkhemahan, muhasabah amalan harian dan lain-lain.

Untuk tujuan tersebut, lajnah tarbiyah di semua peringkat hendaklah memainkan peranan secara bersungguh, berstrategi dan berfokus. Program hendaklah disusun secara berjadual mengikut kurikulum tarbiyah. Mekanisme pemantauan, pelaporan dan penaziran mestilah diperkasa dalam organisasi tarbiyah di semua peringkat.

Jentera tarbiyah mestilah memiliki manual prosedur kerja yang jelas dan sistematik setanding jentera pilihan raya, penerangan dan lain-lain. Jika perlu, jentera tarbiyah disemua peringkat boleh menggajikan seorang pegawai tarbiyah bagi memastikan segala proses dan teknikal aktiviti tarbiyah dapat berlangsung dan berjalan mengikut jadual yang ditetapkan. Kerja secara bersungguh dan berfokus tidak dapat tidak mestilah dijadikan budaya dalam jamaah khasnya dalam sektor tarbiyah.

Hari ini rata-rata ahli di pelbagai peringkat, menyuarakan kembali akan peri pentingnya tarbiyah diperkasa dan dipersada setelah melalui krisis parti dewasa ini yang juga turut dilihat berkaitan dengan kecelaruan fikrah.

Elemen kesatuan amal atau keseragaman tindakan dalam organisasi PAS perlu dikembalikan setelah berlakunya perpecahan disebabkan krisis. Kesatuan amal datangnya dari kesepaduan hati dan keselarasan fikrah. Semua elemen ini perlu dibina dan dijana melalu program tarbiyah. Ayuh anak muda, kita sediakan jiwa untuk ditarbiyah! Tanpa tarbiyah, gerenti rebah. – HARAKAHDAILY 22/10/2015

Penulis ialah Timbalan Pengerusi Akademi Tarbiyah DPPM merangkap AJK Lajnah Tarbiyah Pas Pusat dan Ketua Pemuda Pas Pahang.

%d bloggers like this: