Sumber : Web JHEAINS

Peristiwa hijrah Rasulullah SAW telah memberikan impak serta perubahan yang positif terhadap kehidupan umat Islam sama ada dari segi ibadat, muamalat, tarbiah, sahsiah, perpaduan dan sebagainya. Ia adalah hasil daripada penghayatan dan penterjemahan sepenuhnya semangat hijrah yang menyaran serta mennyeru umat Islam agar meninggalkan segala larangan Allah SWT menuju reda-Nya melalui pematuhan terhadap segala perkara yang disuruh dan diperintahkan oleh-Nya. Hal ini bertepatan dengan hadis yang bersumber daripada Abdullah bin Habsyi bahawa Rasulullah bersabda bermaksud:

“Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.” (HR Abu Dawud).

Dalam hadith lain yang bersumber daripada Abdullah bin Amr, Rasulullah SAW bersabda:

“Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT.” (HR Bukhari).

Jelas di sini, berhijrah meninggalkan larangan Allah SWT dan melaksanakan perintah-Nya menjadikan hati, perkataan dan perbuatan bersih daripada segala maksiat, dosa serta syirik.

Dengannya, akan terwujud keadaan hidup lebih baik, lebih maju, lebih mulia dan lebih bermakna serta berada dalam lingkungan rahmat dan keredaan Allah SWT. Pendek kata, semangat hijrah untuk meninggalkan segala larangan Allah SWT mampu menjana umat yang perkasa dan Negara yang aman makmur.

Dunia adalah ladang beramal untuk dituai hasilnya di akhirat. Sesiapa memanfaatkan waktu lapang dan sihat dalam rangka agenda ketaatan, maka dialah yang akan berbahagia. Sebaliknya sesiapa mempergunakan kedua-dua nikmat itu dalam kancah kemaksiatan, dialah yang benar-benar telah tertipu.

Oleh itu, marilah kita berjihad membebaskan diri daripada cengkaman hawa nafsu yang mendorong melakukan kejahatan dan kemaksiatan. Keazaman serupa ini penting bagi memastikan diri cenderung melakukan amal ibadat mengabdi diri kepada Allah SWT sekali gus terhindar daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang dan dibenci Allah SWT.

Meskipun manusia dikurniakan nafsu yang baik, iaitu Mutmainnah yang mendorong kea arah kebaikan, namun nafsu jahat akan sentiasa menguasai orang yang lemah imannya serta tidak tahu dan mahu memanfaatkan akal kurniaan Ilahi. Tambahan pula, nafsu mendorong melakukan kejahatan sebagaimana terakam di dalam al-Quran bermaksud:

“Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (S. Yusuf: 53).

Dengan hal yang demikian, seseorang yang dicengkam keinginan nafsunya akan menurut sahaja runtunan hawa nafsunya tanpa memikirkan buruk baiknya. Hakikat ini terpapar pada kisah Qabil yang membunuh saudaranya, Habil disebabkan dorongon hawa nafsunya yang amarah dan tidak berpuas hati. Al-Quran merakamkan kisah yang menyayatkan ini sebagaimana maksud berikut:

“Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga dia tergamak) membunuh saudaranya, lalu dia membunuhnya, oleh itu menjadilah dia dari golongan orang yang rugi.” (S. Al-Maidah: 30).

Advertisements