Tarikh : 25 September 2015

Pagi itu pagi jumaat. Sekali lagi Abdul Ghani mengiringi kami. Beliau sendiri menguruskan hal tiket dan pengangkutan kami. Dari Zamboanga kami menuju ke Bandar Lamitan, Pulau Basilan menaiki feri yang mengambil masa sekitar 90 minit. Selain feri, terdapat juga perkhidmatan bot laju yang mengambil masa 40 minit.

Kenderaan yang siap menanti, membawa kami ke pasar untuk membeli sedikit keperluan makanan sebagai buah tangan ke kampung yang bakal kami tuju. Di kampung tersebut nanti akan dilangsungkan ibadah qurban yang peserta qurban tersebut dari umat Islam di Malaysia.

Pulau Basilan mempunyai 170 ribu penduduk dengan 85% majoriti muslim. Pekerjaan majoriti penduduk Pulau Basilan sebagai nelayan dan pekebun kelapa. Pulau ini juga terkenal dengan pokok kelapa dan sedikit pokok getah.

Dari pasar kami bergerak ke Kg Tambulig yang mengambil masa setengah jam. Di sempadan kampung, kami disambut oleh pasukan pihak berkuasa keselamatan bermotor lengkap beruniform. Mereka mengiring kami sehingga tiba di rumah tempat kami berehat. Sempat juga kami bergambar kenangan dengan mereka. Berehat sebentar sebelum ibadah qurban dimulakan. Ustaz Dr Norazamuddin mengambil giliran untuk melakukan sembelihan buat kali pertama dalam hidupnya.

Kami dimaklumkan bahawa sehari sebelum ini ada krew tv dari Malaysia bersama beberapa selebriti datang membuat liputan tentang ibadah qurban di kampung yang sama kami berziarah ini. Namun saya kurang pasti saluran tv mana satu, wallahu a’lam.

Kami solat fardhu jumaat di masjid berhampiran. Ustaz Bahrul Ulum naik menyampaikan khutbah dalam bahasa Iyakan. Menariknya Ustaz Bahrul yang pernah menuntut ilmu di Pakistan satu ketika dahulu, beliau menguasai sembilan bahasa antaranya Iyakan, Iranun, Suluk, Bajau, Tagalog, Maranau, Inggeris, Melayu dan Arab.

Selepas solat jumaat, kami dijamu dengan makanan tengah hari, ikan segar yang siap disalai. Kami benar-benar diraikan oleh penduduk kampung, walaupun kelihatannya mereka bukan orang yang senang. Selepas makan, ada lagi sesi sembelihan aqiqah. Saya pula mengambil kesempatan untuk melakukan sembelihan tersebut.

Tidak lama selepas itu, rombongan kami berangkat balik menuju ke bandar Isabella.

IMG_8587 IMG_8594 IMG_8607 IMG_8616 IMG_8618 IMG_8623 IMG_8633 IMG_8647 IMG_8659IMG-20150927-WA0035 IMG_8726IMG_8736 IMG_8741 IMG_8745 IMG_8752 IMG_8755 IMG_8764 IMG_8769 IMG_8774 20150925_121953IMG-20150927-WA0037 20150925_131700 20150925_134311 20150925_134439

Advertisements