Tarikh : 24 September 2015
Menarik juga kami melihat di kawasan pemeriksaan masuk terminal NAIA ada pembahagian jantina antara penumpang lelaki dan wanita. Penerbangan dari NAIA ke destinasi Zamboanga International Airport mengambil masa satu jam 40 minit.
Sesuatu yang kami terkesan sejak tiba di Zamboanga sehinggalah meninggalkannya, kami sentiasa diiring oleh seorang pembantu. Saudara Abdul Ghani dikhususkan untuk kami sebagai pengiring dan memenuhi keperluan kami sepanjang berada di sini, kemudian ke Pulau Basilan dan kemudian kembali ke Zamboanga sentiasa diiring oleh Saudara Abdul Ghani yang boleh bertutur baik dalam bahasa Melayu.
Di sini, selepas menjamu selera di sebuah restoran muslim, kami menyertai dan menghadiri ibadah qurban di sebuah kampung yang menyembelih dua ekor lembu. Sembelihan diadakan di perkarangan Masjid al-Jannah yang cantik dan Maahad Islamiyah Salamat yang agak uzur.
Saya turut berkenalan dengan bapa kepada Ustaz Bahrul Ulum iaitu Tuan Haji Tungau yang juga seorang guru agama Islam. Beliau boleh berbahasa Arab dengan baik dan berperanan dalam mendidik masyarakat di sini. Beliau juga menunjukkan parang sembelihannya yang bertulis ‘Kota Belud’ yang sebenarnya hadiah daripada Hj Abu Aslam beberapa tahun lalu.
Keletihan dalam permusafiran sejak awal pagi, kami kemudiannya berehat di sebuah hotel dan bermalam di sini. Kami akan meneruskan permusafiran ke Pulau Basilan pada awal pagi.