Sumber : Web JHEAINS

Maal Hijrah adalah antara bukti ingatan kita kepada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah yang menjadi salah satu langkah yang amat strategik dalam memperluaskan syiar Islam. Ternyata, hijrah yang bersandarkan keimanan dan ketakwaan yang padu telah berjaya mengubah lanskap pegangan akidah, amalan ibadah, akhlak, sosial dan ketamadunan serta masa depan ummah. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 100 bermaksud :

“Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati dibumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati, maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Hari ini kita hidup dalam sebuah dunia yang sering menimbulkan pelbagai konflik baharu yang mengancam kedaulatan agama Islam dan keselamatan negara. Ancaman ini jika tidak ditangani dengan baik akan menimbulkan kemusnahan atas apa yang kita nikmati hari ini. Apa yang membimbangkan, terdapat kelompok tertentu yang berusaha melebarkan ideologi sesatnya untuk membangkitkan perasaan benci dan permusuhan.

Menyedari hakikat ini, langkah penting seperti pengukuhan sifat sebenar Islam perlu disampaikan kepada masyarakat melalui penjelasan yang berterusan terhadap fahaman-fahaman yang bertentangan dengan prinsip Maqasid Syariah. Secara tidak langsung, kita mendidik diri dengan penggayaan ilmu pengetahuan dalam memastikan kesucian Islam terpelihara serta mengekalkan perpaduan sesama kita.

Aspek pendidikan adalah sangat penting di dalam membina masa depan ummah. Namun, peredaran zaman telah memberi kesan kepada perubahan gaya hidup manusia termasuklah cara bertindak dan berfikir. Bagi memastikan Maal Hijrah tahun ini lebih bermakna, maka marilah kita sehati sejiwa menjana kualiti diri dengan ilmu agar menjadi benteng keutuhan iman.

Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradhawi menyatakan, “Pendidikan merangkumi keseluruhan hidup termasuklah akal, hati, rohani, jasmani, akhlak dan tingkahlaku, ia bertujuan untuk membentuk manusia bagi menghadapi masyarakat yang sering berhadapan dengan kebaikan, kejahatan, kemanisan dan kepahitan”.

Kita yakin, umat Islam yang berilmu serta terbangun rohaninya tidak mudah terpengaruh dengan anasir jahat. Mimbar bimbang, umat Islam yang lemah ilmu dan rohaninya akan menyebabkan kepincangan dalam pelbagai perkara seperti krisis akidah, akhlak, institusi keluarga dan masyarakat.

Marilah kita mengatur semula urusan kehidupan berdasarkan prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh syarak demi kebaikan bersama. Hijrah memerlukan pengorbanan yang besar dari segi harta, masa dan tenaga. Apalah ertinya hijrah tanpa pengorbanan kerana pengorbanan itu bukan untuk kepentingan diri dan orang lain, tetapi semata-mata untuk mendapat rahmat dan keredaan Allah SWT.

Advertisements