Sumber : Web JHEAINS

Hakikatnya, sama ada suka ataupun tidak suka, kita semua akan tua jika dikurniakan Allah SWT umur yang panjang. Ia adalah proses semula jadi yang tidak boleh dielakkan. Kita harus menerima segala ketentuan Ilahi dengan mengisi ruang usia kurniaan-Nya dengan perkara-perkara yang memberi manfaat kepada kehidupan di dunia dan kehidupan di akhirat.

Dalam erti kata yang lain, proses penuaan sememangnya tidak dapat dielak, tetapi tua dalam keadaan sihat dan beramal soleh adalah pilihan terbaik. Sebaik-baik manusia ialah orang yang lanjut usianya dan baik amalannya. Hal ini sejajar dengan hadith daripada Abdullah bin Bisr RA yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Sebaik-baik manusia ialah orang yang lanjut usianya dan baik amalannya.” (HR Ahmad).

Sehubungan itu, kehidupan kita yang sementara di dunia ini harus kita hiasi dengan amal-amal kebajikan atau soleh yang dapat mengukuhkan hubungan dengan Allah SWT dan mengukuhkan hubungan sesama manusia. Segala nikmat kurniaan Allah SWT kepada kita yang meliputi akal, tenaga, masa, umur atau usia, harta, ilmu dan sebagainya hendaklah kita pergunakan untuk berbakti pada jalan yang diredai-Nya Yang Maha Esa.

Maknanya, segala suruhan Allah SWT hendaklah kita tunai dan laksanakan manakala segala larangan-Nya wajib kita jauhi dan tinggalkan. Perkara ini perlu diambil perhatian dan dititikberatkan kerana pada akhirat kelak kita akan ditanya mengenai hal ehwal usia, harta dan ilmu kita sewaktu di dunia. Ini sebagaimana maksud sabda Rasulullah SAW:

“Tidak akan berganjak kedua-dua kaki manusia pada hari kiamat sehingga ditanya empat perkara, iaitu umurnya ke mana dihabiskan, usia mudanya ke mana dipergunakan, hartanya dari mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan dan ilmunya apakah sudah diamalkan.” (HR At-Tirmizi).

Mereka yang berumur 60 tahun ke atas secara amnya ditakrifkan sebagai orang tua atau warga emas. Istilah tersebut turut ditujukan kepada mereka yang telah bersara daripada perkhidmatan iaitu pada umur 60 tahun. Dan ramai yang semakin risau apabila usia menjejaki usia emas kerana dibayangi perubahan fizikal, penyakit, pergerakan terbatas, dipinggirkan masyarakat dan sebagainya.

Meskipun demikian, kita tidak patut menunggu usia mencecah 60 tahun baru mahu melakukan kebaikan serta beramal ibadat. Kita mesti berusaha mulai detik ini untuk berlumba-lumba melakukan amal kebajikan sementara masih sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati. Ini sejajar dengan anjuran Allah SWT dalam firman-Nya bermaksud :

“…Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberi tahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.” (S. Al-Maa’idah: 48).

Justeru, hari berganti hari yang kita tempuhi seharusnya kita jadikan sebagai peringatan untuk bermuhasabah dan memikirkan hala tuju kehidupan. Ini penting kerana usia dan keadaan fizikal bukanlah penentu ajal seseorang. Yang pasti, apabila ajal seseorang itu tiba, ia tidak akan dapat dilewatkan mahupun dipercepatkan walau sesaat sekalipun.

Advertisements