Sumber : Web JHEAINS

Hakikatnya, ibadah korban tidak hanya merupakan satu bentuk penzahiran ketaatan dan taqarrub seorang hamba kepada Khaliqnya, yakni Allah SWT, malah ia juga mempunyai misi sosial mempererat hubungan dan silaturahim di antara golongan yang berkemampuan dengan golongan fakir dan miskin.

Ia dijana melalui pengagihan daging korban yang membolehkan golongan fakir dan miskin dalam masyarakat menikmati hasil korban sekali gus menyuburkan rasa kasih sayang sesama insan. Ini membuktikan bahawa ibadah korban mempunyai nilai pengajaran dan hikmat yang banyak. Di antaranya ialah:

Pertama, berbakti dan mendekatkan diri kepada Allah SWT;

Kedua, melapangkan kehidupan keluarga dan fakir miskin pada hari raya melalui pengagihan daging korban;

Ketiga, bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan Allah SWT seperti haiwan yang disembelih sebagai korban;

Keempat, melatih dan membentuk individu Muslim supaya selalu sedia berkorban – mengorbankan sebahagian nikmat yang dikurniakan Tuhan untuk kepentingan manusia lain yang memerlukannya;

Kelima, mentarbiah diri supaya tidak mementingkan diri sendiri dalam kehidupan harian; dan

Keenam, kesediaan berkorban tunjang kejayaan dalam mengatasi kesulitan dalam kehidupan dan perjuangan.

Dapat dirumuskan bahawa tuntutan korban bukanlah semata-mata menyembelih binatang korban seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri pada hari raya Aidiladha dan hari-hari tasyrik, akan tetapi ia adalah ketaatan sepenuhnya terhadap seluruh perintah Allah SWT.

Tunaikan serta kerjakanlah segala suruhan Allah SWT dengan baik dan sempurna dengan niat penuh keikhlasan kerana sesungguhnya Yang Maha Esa tidak memerlukan apa pun dari kita selaku makhluk dan hamba-Nya. Sebaliknya, kitalah yang selalu memerlukan hidayah, rahmat, nikmat, inayah serta maghfirah-Nya.

Oleh itu, sementara hayat masih dikandung badan, marilah bersama-sama kita bermuhasabah diri terhadap sikap dan kealpaan kita dalam mematuhi perintah dan larangan Allah SWT. Marilah kita menukar cara hidup acuh tak acuh terhadap perintah agama dengan peluang keemasan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada kita dengan berlumba-lumba melakukan kebaikan.

Kesediaan kita untuk berkorban dan berjihad dalam erti kata yang sebenarnya akan membawa kepada kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Jadi, mulai saat ini marilah kita berazam untuk berkorban mengetepikan kepentingan kebendaan, berkorban meninggalkan segala perkara yang sia-sia dan melalaikan, berkorban untuk membahagiakan orang lain yang kurang bernasib baik di samping berkorban untuk membela agama, bangsa dan Negara.

Semangat perjuangan mesti dibentuk dengan membina sifat ingin berjihad dan sedia berkorban demi memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT dan memperkukuhkan hubungan sesama manusia. Ia penting bagi mengelakkan diri daripada ditimpa kehinaan sebagaimana diperingatkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya bermaksud :

“Mereka ditimpa kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah…” (S. Ali-Imran: 112).

Sehubungan itu, pengorbanan yang dilakukan Nabi Ibrahim sepatutnya menjadi contoh umat mutakhir ini. Sebagai insan berjiwa hamba, Baginda tidak pernah mempertikaikan suruhan Allah SWT itu meskipun yang akan menjadi korban adalah anaknya sendiri.

Demikian juga halnya dengan Nabi Ismail yang meletakkan perintah Allah SWT dan kewajipan mentaati ibu bapa sebagai perkara utama hingga sanggup menggadai nyawa sendiri perlu menjadi iktibar serta diteladani oleh generasi muda hari ini.

Advertisements